SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday 22 July 2015

Kisah Wakaf Tuan Farrer di Pasir Puteh : Siri Binaan Bersejarah

Wakaf Tuan Farrer pada 2008 setahun sebelum ia roboh dirempuh kereta.

Pendahuluan
Hampir semua warga jajahan Pasir Puteh, Kelantan mengetahui lokasi wakaf ini, malah ia adalah tanda nostalgia serta mempunya nilai sentimental buat warga sekitar wakaf tersebut. Ia mula dibangunkan oleh penduduk Pasir Puteh pada 1917 hingga 1919 khas untuk kemudahan para pengembara untuk berhenti rehat. Ia kemudian dinamakan sempena Pemangku Penasihat British di Kelantan merangkap Ketua Jajahan Pasir Puteh ketika itu iaitu Roland John Farrer.  

Di Kelantan, hanya beberapa tempat dinamakan sempena pegawai-pegawai British antaranya Jambatan Guillermard, Tangga Bradley, Tanjung Duff, dan Wakaf Tuan Farrer. Jadi semestinya Tuan Farrer mempunyai kedudukan yang istimewa di Pasir Puteh hingga nama beliau dicatatkan pada wakaf yang menjadi tempat tumpuan orang ramai itu.

Siapa Tuan Farrer

Nama penuh beliau adalah Roland John Farrer dilahirkan pada 2 Mac 1873 di Marylebone, London. Beliau membesar sebagai seorang yang pintar dengan umur 14 tahun telah berjaya menempatkan diri di Eton College pada 1887. Beliau berada di kolej tersebut sehingga berumur 19 tahun, setelah itu beliau telah melanjutkan pelajaran ke Oxford University pada 1892. Tiga tahun kemudian beliau telah berjaya menamatkan pengajian di universiti terulung di dunia itu dengan jayanya pada 1895.

Muda, berkelayakan serta pintar menjadi keutamaan untuk beliau diterima untuk berkhidmat dalam Strait Settlement Civil Service dengan bermula sebagai Cadet pada 1896 pada usia 23 tahun.

Beliau telah ditempatkan di Wellesley Province (Seberang Prai) selamat empat tahun sebelum dipindahkan ke pejabat sekratariat di Singapura pada 1900,  dua tahun kemudian beliau kembali semula ke Wellesley Province dan ditempatkan disana sehingga 1907. Sepuluh tahun berkhidmat dengan perkhidmataan awam negeri-negeri selat, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Land Officer di Singapura pada 1908 sehingga 1911. Seterusnya, atas kecemerlangan beliau dalam perkhidmatan awam telah melayakkan beliau untuk dinaikan pangkat sebagai Assessor to The Municipality di Singapura dari 1911 hingga 1915. 

Pada tahun 1915 menyaksikan tercetusnya penentangan rakyat Kelantan di Pasir Puteh terhadap pengelibatan Inggeris di negeri ini. Penentangan rakyat Kelantan pada waktu itu berada di tahap yang serius hingga memaksa Gabenor Negeri-Negeri Selat di Singapura terpaksa menghantar sepasukan The Malays States Guard yang dibarisi oleh tentera Gurkha untuk membenteras penentangan yang telah berlaku di Pasir Puteh. Langkah tersebut telah diambil berikutan Ketua Jajahan Pasir Puteh ketika itu, Encik Latiff telah melaporkan hal tersebut ke pejabat sekratariat di Singapura. Akhirnya penentangan tersebut telah berjaya dipatahkan, dan tentera Inggeris kembali menguasai jajahan Pasir Puteh dan sebagai langkah pemulihan pentadbiran British di Kelantan, Rolland John Farrer telah dihantar dari Singapura ke Kelantan sebagai Pemangku Penasihat British merangkap Ketua Jajahan Pasir Puteh dari 1915 hingga 1919. Atas sebab inilah nama beliau telah diabadikan pada wakaf yang terletak di tengah-tengah Jalan Pasir Puteh - Machang. 

Latar belakang Tuan Farrer ini menyatakan bahawa selepas beliau mejawat jawatan Pemangku Penasihat British di Kelantan, beliau telah dilantik sebagai Presiden dan Pesuruhjaya Perbandaran Singapura sehingga 1931, hal ini membuatkan beliau terus menetap di Singapura sehingga keakhir hayatnya begitu juga dengan isterinya. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 83 tahun pada 24 Julai 1956, jasad beliau telah dikebumikan di Perkuburan Bidadari, Singapura. 

Wakaf Tuan Farrer
Ia dibangunkan secara beransur-ansur dari tahun 1917 sehinggalah siap pada 1919 oleh penduduk Pasir Puteh dengan tujuan untuk kemudahan penduduk sekitar berehat seketika setelah penat berjalan. Jajahan Pasir Puteh adalah sebuah kawasan yang luas, merangkumi beberapa mukim, dekad itu berjalan kaki menjadi kelaziman, justeru dengan kewujudan wakaf memberikan keselesaan kepada semua pejalan kaki untuk berehat dan solat, selain menjadi tempat berteduh.

Wakaf ialah satu perkataan Arab yang merujuk kepada satu cara bersedekah sama ada menyerahkan harta atau wang untuk kegunaan orang ramai dan orang yang bersedekah akan menerima ganjaran pahala. Di Kelantan, Wakaf sinonim dengan sebuah pondok yang dibina oleh tuan tanah untuk kegunaan orang ramai, adakala wakaf dilengkapkan dengan perigi untuk berbagai tujuan. 

Di Pasir Puteh terdapat banyak Wakaf, bagaimanapun hanya terdapat satu sahaja di Pekan Pasir Puteh, justeru ia telah dinamakan sempena Ketua Jajahan Pasir Puteh ketika itu, semenjak itu ia dikenali dengan Wakaf Tuan Farrer. Pada awalnya wakaf ini mempunyai senibina yang unik dengan campuran senibina Inggeris dan Melayu dimana bumbungnya berbentuk "A" dan dihiasi dengan dihiasi dengan dekorasi perabung. Selain itu, di wakaf tersebut tercatat nama wakaf itu dalam tulisan khat jawi serta rumi. 

80 tahun megah berdiri dilokasinya itu, hingga penduduk sekitar menganggapnya sebagai monumen bersejarah yang mempunyai nilai sentimental, malah ia pernah menjadi mercu tanda kepada Pasir Puteh, lebih membanggakan pelancong asing wajib merakamkan wakaf tersebut andainya melalui Jalan Nara. 

Mac 2008, Wakaf yang menjadi mercu tanda Pasir Puteh telah runtuh kerana telah dirempuh kereta, dipercayai dipandu oleh seorang pemuda yang dibawah pengaruh dadah, sekaligus memusnahkan tinggalan Ikonik Inggeris di Pasir Puteh. 

(A) Bangunan Asas Tuan Farrer, (B) Wakaf Tuan Farrer yang musnah dirempuh Kereta, (C) Kereta yang merempuh

Majlis Daerah Pasir Puteh telah mengambil langkah yang proaktif dalam mengekalkan tinggalan sejarah yang menjadi mercu tanda Pasir Puteh telah membaik pulih serta membina semula Wakaf Tuan Farrer serta mengukuhkan pagar batu yang mengelilingi Wakaf tersebut. 

Wakaf Tuan Farrer yang telah dibaik pulih.

Rujukan:
  • http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm
  • http://basikalgunung.blogspot.com/2008/07/desaru-3.html [Sumber Gambar]
  • http://www.saxonlodge.net/getperson.php?personID=I2441&tree=Tatham
  • http://www.worldstatesmen.org/Malay_states.htm#Kelantan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...