SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 20 July 2015

Kartunis Wanita Melayu Pertama Asal Kelantan : Siri Orang Kito

Puan Nora Abdullah, Kartunis Wanita Pertama Tanah Melayu

Pendahuluan
Penulis mula diperkenalkan dengan komik melalui Majalah Gila-Gila dan kemudiannya dengan Majalah Ujang, seterusnya minat membaca komik berkembang dengan membaca komik-komik dari Jepun, Hong Kong, Taiwan dan Amerika Syarikat. Beberapa artis komik yang popular digelar sebagai Kartunis menjadi pujaan antaranya Dato Lat, Imuda, Ujang, Gayour, Lepat dan Ubi bagi kartunis tempatan, manakala Tony Wong, Akira Toriyama, dan Fujio F. Fujiko antara kartunis luar negara yang penulis minati berikutan hasil karya mereka yang tulus dan ikhlas. 

Seperti yang kita maklum dunia komik amat sinonim dengan golongan lelaki dan adakala mereka yang meminati dengan komik digelar sebagai nerd, itu perkara biasa dan tidak menghairankan sangat kerana penggemar komik tahu dimana duduk dan letaknya diri mereka. Di Malaysia, kerjaya kartunis ramai disandang oleh golongan lelaki, dan jarang golongan wanita yang terlibat dalam menjadikan kartunis sebagai kerjaya. Satu mengejutkan apabila mendapat tahu bahawa kartunis wanita pertama merupakan Orang Kelantan dan hasil karya beliau merupakan antara komik yang terawal wujud di Malaysia semenjak sebelum merdeka lagi.

Liku-liku Dunia Komik Tanah Air
Insan yang bergelar Nor Zahrah Abdullah yang lebih dikenali sebagai Nora Abdullah seorang wanita yang berasal dari Kelantan. Beliau mula berkarya pada 1955 iaitu selepas tiga tahun komik mula diperkenalkan di Malaya dan beliau mencipta sejarah tersendiri dengan tampil sebagai Kartunis Wanita Melayu Pertama di Malaysia, dengan terbitnya naskhah berjudul "Cik Siti Wan Kembang" ketika itu beliau baru berusia 15 tahun.

Guru-guru beliau seperti Tuan Haji Omar dan Cikgu Khairuddin menjadi pendorong utama kepada beliau untuk menghasilkan karya komik, selain itu naskhah komik luar negara seperti Captain Marvel, Batman dan Superman menjadi inspirasi kepada beliau untuk menghasilkan karya komik sedemikian berikutan pada pengamatan beliau, anak tempatan juga boleh menghasilkan karya setaraf dengan kartunis luar negara.

Sepanjang tahun 1955 hingga 1961 beliau telah menghasilkan 12 naskhah komik bertemakan kisah purba dan pergolakan sosial masyarakat dengan Geliga Press Limited Singapore menjadi penerbitan kesemua naskhah beliau. Berikut antara komik yang dihasilkan beliau:

  • “Cik Siti Wan Kembang” (1955), 
  • “Gelombang Hidup” (1956), 
  • “Ibu” (1957), 
  • “Bawang Putih Bawang Merah” (1957), 
  • “Dugaan Ilahi” (1957), 
  • “Pengembaraan Naim dan Naimah” (1957), 
  • “Duyung Emas” (1958), 
  • “Pengaruh (1958)”, 
  • “Armina” (1961), 
  • "Anak Angkat”, 
  • “Batu Belah”, dan 
  • “Cempaka”.

Babak dalam komik Duyung Emas karya Nora pada 1958



Berdasarkan rekod, Nora Abdullah telah berhenti menghasilkan komik selepas Geliga Press Limited ditutup pada tahun 1961 dan perkara itu telah merentap semangat beliau untuk terus berkarya kerana selama beliau aktif dalam bidang tersebut syarikat itu yang menjadi tulang belakangnya. Sebenarnya semasa berkhidmat di syarikat tersebut, Nora juga menghasilkan ilustrasi untuk bidang-bidang lain juga seperti untuk bidang fesyen, iklan dan juga ilustrasi dalam naskhah buku.


Setelah 20 tahun lebih, Nora telah muncul kembali dengan karya komik terbaru beliau dengan tajuk Puteri Saadong yang diterbitkan dalam Majalah Salina pada 1986. Karya ini diterbitkan berikutan keinginan yang membuak untuk kembali aktif menghasilkan karya.


Komik Puteri Saadong dari Majalah Salina BIL. 147 September 1987

Selepas itu, Nora Abdullah diberi peluang untuk berkarya dalam Majalah Gila-Gila untuk keluaran 694 bermula Disember 2008. Pada tahun 1978, Nora telah melontarkan pendapat beliau bahawa pada masa tersebut kartunis muncul ibarat cendawan tumbuh bagaimanapun industri komik tetap tidak sepertimana tahun-tahun 60an.

Komik Malaysia
Di Malaysia industri komik seolah tidak terlalu berkembang kerana naskhah tempatan dilihat sukar untuk bertahan lama, manakala penerbit lebih berminat untuk menerbitkan karya luar yang telah terjemah terutama daripada Jepun, Korea dan Hong Kong. Malah siri komik Jepun lebih digemari oleh pembaca membuatkan karya tempatan dipandang sepi tidak seperti komik-komik alih bahasa dari Jepun.

Namun, seni lukis kartun di Malaysia lebih berkembang dalam dunia animasi seperti Upin Ipin, Boboboy, dan Siri Pada Zaman Dahulu. Bagaimanapun satu kebangaan untuk mengetahui bahawa kisah lagenda Kelantan seperti Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong pernah disampaikan oleh Nora Abdullah dalam bentuk Komik.

Ihsan : Pusat Sejarah Rakyat

Rujukan
  • http://duniacarton.blogspot.nl/2013/05/pelukis-komik-wanita-ulung-nora-abdullah.html
  • https://www.facebook.com/pusatsejarahrakyat/photos/a.399103666798755.84180.399097443466044/904603522915431/?type=1#
  • https://www.facebook.com/groups/11676812694/
  • Majalah Murni, Majalah Fantasi, National Library Board Singapore



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...