SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 4 May 2015

Sebalik Nama Padang Merdeka, Kota Bharu : Siri Orang Kito

Padang Merdeka, Kota Bharu, Kelantan

Pendahuluan
Sebenarnya nama Padang Merdeka agak janggal pada pendengaran kebanyakkan masyarakat Kelantan terutama yang berasal dari Kota Bharu serta berdekatan dengan ibu negeri Kelantan itu. Rata-rata rakyat Kelantan mengenal padang tersebut sebagai Padang Bank. Namun ramai yang tidak menyedari bahawa padang tersebut dahulunya merupakan sebahagian daripada Kota Kebun Menseta yang pernah menempatkan Istana Sultan Kelantan semenjak zaman almarhum Sultan Muhammad I lagi. 

Di padang ini telah dirakamkan pelbagai peristiwa penting yang melibatkan Kerajaan Negeri Kelantan dan rakyat. Keramaian, perarakan, persembahan dan pelbagai keraian berlangsung di padang ini. 

Nama Padang Bank
Kota Kebun Menseta menjadi pusat pentadbiran Kelantan selama 42 tahun sahaja, iaitu ketika pemerintahan Sultan Muhammad I dan diawal pemerintahan Sultan Muhammad II, setelah itu ia musnah dalam bencana alam dan hakisan tanah. Sultan Muhammad II pula telah mengarahkan pembinaan kompleks pemerintahan yang baru diatas tapak tanah seluas 40 ekar pada 1840, kawasan diRaja seluas 25 ekar itu telah dipagari dengan buluh peleting dan ia dikenali sebagai Buluh Kubu juga dikenali orang tempatan sebagai Dalam Kubu. 

Setelah pemagaran dibuat, maka wujudlah satu kawasan lapang yang dahulu adalah bahagian daripada Kota Kebun Menseta. Asalnya ia tiada nama, namun pada tahun 1912 Bank Kerapu telah dibina berhampiran dengan kawasan lapang itu, istilah bank pada masa itu agak sofisikated pada pendengaran rakyat Kelantan ditambah pula binaan bangunan bank tersebut agak ganjil pada dekad itu. Justeru, rakyat tempatan telah menggelarkan padang berhampiran bank tersebut sebagai Padang Bank.

1915 menjadi tahun berdarah di Kelantan dimana pada tahun tersebut telah tercetusnya Perang Pasir Puteh. Sepertimana yang kita ketahui perang tersebut menyaksikan Kampung Dalam Pupoh dan Kampung Jeram telah musnah dibakar oleh Askar Gurka-Inggeris dan sebagai mengaburi mata rakyat, Inggeris telah menayangkan mayat yang kebarangkalian adalah askar Gurkha yang terbunuh dalam perang tersebut di Padang Bank. Sumber terdekat dari waris Tok Janggut menyatakan beliau terselamat dalam serangan di Pasir Puteh itu dan dibawa berundur oleh pengikut setianya, setelah itu Tok Janggut hidup dalam penyamaran sekitar Kelantan.

Pada 1908 Padang Bank hanya disebut sebagai "Padang"


Lokasi di Padang Bank - 1915

Tugu Peringatan Perang Dunia Pertama
Seluruh Dunia berperang buat pertama kalinya pada 1914-1918 yang menyaksikan semua Kuasa Imperialis terlibat. Perang ini sebenarnya tidak begitu menonjol berikutan Perang Dunia Kedua yang mendatangkan bencana yang amat dahsyat pada Bumi yang memberi kesan hingga sekarang lebih diingati oleh semua umat manusia. Empayar British juga turut terlibat dalam peperangan ini dan ramai pegawai British yang berkhidmat di Malaya turut sama terlibat dalam Perang Dunia Pertama, tidak dapat dipastikan sama ada wujudnya orang-orang dari Tanah Melayu khusus dari Kelantan turut sama dilibatkan sama dalam perang tersebut.

Penulis dapat mengesan dua tugu peringatan telah dibina di Tanah Melayu untuk memperingati pegawai dan tentera Empayar British yang terkorban dalam perang tersebut. Monumen tersebut ditempatkan di Padang Bank, Kota Bharu Kelantan dan di Padang Kota Lama, Geogretown Penang. Bagaimanapun binaan monumen di Kota Bharu yang berupa Tiang Obelisk menarik perhatian umum kerana tiang tersebut melambangkan unsur spiritual kuno masyarakat barat yang berkaitan dengan fahaman Iluminati dan gerakkan Freemason. Sejauh mana dakwaan itu tidak dapat kami pastikan, ia lebih kepada satu teori yang tidak dapat dibuktikan dengan jelas.
Padang Bank sebenarnya berdekatan dengan Istana Balai Besar, atas sebab itu padang ini mendapat keutamaan berbanding dengan padang-padang lain sekitar Kota Bharu ketika itu. Ia seringkali dibaik pulih dan dijaga rapi oleh pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu, selain itu ia juga menjadi lokasi perkumpulan orang ramai yang melibatkan baginda Tuanku Sultan, istimewanya padang ini hingga ia dipilih menjadi lokasi proklamasi Kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 yang dibacakan oleh wakil Perdana Menteri Pertama Tanah Melayu. Mengenangkan peristiwa tersebut, kerajaan Kelantan pada waktu itu telah menukar nama Padang Bank kepada nama Padang Merdeka juga pada tahun yang sama.

Namun begitu, nama Padang Bank tetap menjadi sebutan rakyat Kelantan kerana ia sudah sebati dengan rakyat Kelantan walaupun sudah 58 tahun padang tersebut ditukar nama kepada Padang Merdeka, ia hanya dibuka kepada umum sekiranya terdapat acara sahaja dan jarang dibuka kepada umum.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...