SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday 7 May 2015

Sama Tapi Tidak Serupa - Masjid Muhammadi KB dengan Masjid Sultan Abu Bakar JB : Siri Binaan Bersejarah

Pendahuluan
Bulan lepas kami ada meyentuh mengenai transformasi Masjid Muhammadi dari binaan kayu kepada binaan konkrit. Mengikut pengkaji dan peminat seni ukir asli Melayu menyatakan bahawa binaan asal Masjid Muhammadi merupakan seni asli masyarakat Melayu Kelantan dan bangunan konkrit sekarang ini sudah memasukkan unsur luar dari kebudayaan masyarakat asal.

Binaan masjid Muhammadi telah mengalami berubahan dalam unsur binaan berikutan ia selalu runtuh dilanda banjir yang berlaku hampir saban tahun, justeru pada 1922, ia telah dibina semula dengan binaan konkrit, bagaimanapun rupa bentuk masjid di Kota Bharu itu menyerupai Masjid Abu Bakar di Johor Baru.

Timbul persoalan kenapa rupa bentuk dan binaannya sama dan hampir menyerupai apa yang dibina di Johor itu.

Masjid Abu Bakar Johor Bharu
Ia mula dibina pada 26 Julai 1892 dan mula digunakan pada 2 Februari 1900. Pembinaanya atas titah Almarhum Sultan Abu Bakar dan ia dilaksanakan dibawah kendalian jurutera Melayu yang bernama Dato' Yahya bin Awaluddin dan arkitek untuk reka bentuk masjid ini juga dihasilkan oleh orang Melayu iaitu Tuan Haji Mohamed Arif bin Punak dengan peruntuk sebanyak $400,000. Ia dibina di atas sebuah bukit kecil behampiran Selat Tebrau dan menghadap Singapura.

Seni bina masjid ini pada asasnya diluar kebiasaan seni bina Dunia Melayu, ia adalah gabungan antara senibina Timur Tengah dan India (Moor). Binaan menara masjid ini pula mengambil pengaruh binaan masjid lama di Mesir ketika era pemerintahan Kerajaan Mamluk. Jurutera dan Arkitek berbangsa Melayu manakala rekabentuknya mendapat sentuhan dunia Timur Tengah, di bina di Johor malah menghadap ke Singapura yang juga pusat pentadbiran Inggeris ketika kemuncak penguasaan mereka dalam Kesultanan Melayu. Jelas pembinaan masjid ini untuk menunjukkan bahawa Johor pada waktu itu mampu mengorak langkah seiring dengan bangsa asing dan mampu bersaing dengan mereka.

Lebih membanggakan Johor pada waktu itu mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Inggeris melalui Queen Elizabeth dimana Negeri Johor telah diktiraf sebagai sebuah Negeri Berdaulat dan Sultan Abu Bakar juga diiktiraf sebagai KING of Johore. Justeru tidak menghairankan kehebatan Johor menjadi teladan kepada negeri-negeri Melayu yang lain termasuklah Kelantan.

Masjid Muhammadi Kota Bharu
Masjid ini disebut sebagai antara masjid tua di Kelantan, binaan asalnya adalah dari Kayu, namun ia sering roboh ekoran kerap dilanda banjir. Pada 1922, binaan masjid ini telah ditukar daripada kayu kepada binaan konkrit.


Gambar yang dikepilkan ini merupakan bentuk Masjid Muhammadi pada 1930 iaitu setelah ia siap menjalani ubahsuai drastik. Jelas kelihatan disini struktur yang begitu asing dalam seni bina tempatan, bagaimanapun ia menyamai binaan Masjid Sultan Abu Bakar di Johor Bharu. Pembinaannya ketika itu menelan belanja $300,000


Tercetus pertanyaan, mengapa rekabentuk pengubahsuaian Masjid Muhammadi ini menyerupai Masjid Abu Bakar di Johor Bharu? 

Berkenaan perihal ini, kami pernah mengutarakan pertanyaan di laman FB untuk mendapatkan maklum balas orang ramai dan antaranya mengutarakan pendapat seperti berikut:


  1. Jurutera yang sama
  2. Langkah Inggeris untuk berbaik dengan Rakyat Kelantan
  3. Hubungan erat Kelantan dan Johor pada waktu itu
Berkenaan pendapat yang pertama iaitu jurutera yang sama, kami dapat simpulkan bahawa tidak mungkin jurutera yang sama membuat pengubahsuaian Masjid Muhammadi berikutan terdapat perbezaan jarak masa selama 30 tahun antara pembinaan Masjid Abu Bakar dengan tarikh pengubahsuaian Masjid Muhammadi dan dipercayai juga jurutera yang membina Masjid Abu Bakar adalah orang Islam tetapi bukanlah rakyat tempatan.

Pendapat berkenaan rekabentuk pengubahsuaian Masjid Muhammadi dengan gaya Moorish sebagai langkah Inggeris untuk berbaik dengan rakyat Kelantan boleh diterima berikutan Kelantan pada masa tersebut memang dibawah pentadbiran Inggeris dibawah sistem Penasihat. Pada masa tersebut juga Kelantan sedang dalam tempoh modenisasi yang diterajui oleh pemerintahan Baginda Sultan Ismail I. Ketika itu Kelantan menyaksikan kerja-kerja pembinaan jalan keretapi, jalan raya dan pasar serta hospital rancak dan giat dibina.

Kami lebih bersetuju bahawa rekabetuk pengubahsuaian Masjid Muhammadi dengan gaya Moorish sepertimana Masjid Abu Bakar berikutan hubungan baik antara Kelantan dengan Johor, pada satu masa Dato' Perdana Menteri Haji Nik Mahmud ada melawat Johor semasa Kelantan sedang mengubahsuai Masjid Muhammadi. Johor pada masa itu mempunyai pengaruh yang kuat kerana kerajaan Maharaja Sultan Abu Bakar ketika itu mendapat sokongan daripada Queen Elizabeth dan juga Kerajaan Turki Uthmaniyah, menjadikan Negeri Johor pada masa itu sebagai negeri yang paling berpengaruh dalam Alam Melayu.

Kemungkinan besar, Kelantan juga ketika itu sedang mengorak langkah untuk menjadi sebagai Negeri Melayu yang maju di Timur Semenanjung, berikutan pada masa itu Kesultanan Kelantan disokong oleh Ratu England, dan dipercayai juga Kelantan juga sedang berusaha untuk menjalinkan hubungan dengan Kerajaan Turki Uthamniyah, ini dapat dilihat dengan pengubahsuaian Bendera Tubuh Negeri dari lambang Anjing Kitmir kepada Bendera Negeri seperti sekarang yang juga ada ciri-ciri bendera Kerajaan Turki.


Kesimpulan
Rekabentuk pengubahsuaian Masjid Muhammadi jika dilihat dari sudut pemerintahan semasa Kelantan pada waktu itu, kita dapati bahawa pengurusan Masjid dibawah Majlis Adat Istiadat dan Agama Islam Kelantan yang mana ia merupakan satu-satunya badan yang diberi kebebsan oleh Inggeris untuk ditadbir secara bebas oleh Sultan dan Pembesar Kelantan pada masa itu. Tok Kenali dan Dato Perdana Menteri Kelantan adalah individu utama yang menggerakkan usaha pengubahsuaian masjid ini. 

Keadaan semasa Dunia Islam pada waktu pula terletak kepada pengaruh Kerajaan Turki Uthmaniyah, dan kawasan Nusantara terutama Kerajaan Acheh dan Johor merupakan antara negeri yang berkerjasama erat dengan Khalifah Islam di Turki. Kelantan juga pada masa itu sedang mencari kekuatan untuk berhubung dengan Turki melalui pengaruh Johor, justeru itu Kelantan cuba mengikut rentak kemajuan Negeri Johor yang pada waktu terkenal kekuatannya.

Masjid Muhammadi 1930an



Rujukan
  • http://www.arkib.gov.my/web/guest/masjid-al-muhammadi-kota-bharu-kelantan
  • http://www.arkib.gov.my/web/guest/masjid-abu-bakar-johor
  • http://masjid.islam.gov.my/directory_display.php?kod_masjid=MY-03-KB-00001
  • http://en.wikipedia.org/wiki/Sultan_Abu_Bakar_State_Mosque
  • http://cintajohor.blogspot.nl/2012/02/sejarah-masjid-sultan-abu-bakar.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...