SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 13 April 2015

JOGHO dari Cerpen berkembang ke Novel diangkat menjadi Drama TV dan Terus ke Layar Perak

Olahan Semula Poster Filem Jogho
Pendahuluan
Artikel ini adalah lanjutan daripada artikel Jogho yang telah kami siarkan sedikit masa lalu. Artikel tersebut menyatakan maklumat sebenar tentang Jogho yang menumpukan kepada penganjuran Laga Lembu di Kelantan. Ia termasuk dalam permainan dan persembahan rakyat yang tidak diamalkan lagi pada masa kini berikutan bercanggah dengan akidah Islam serta ia satu perbuatan tidak berperikemanusian dan perlakuan kejam terhadap haiwan, selain itu ia juga telah membuka ruang kepada pertaruhan dalam judi. Dua sebab ini merupakan alasan yang paling kukuh untuk menghentikan perbuatan tersebut walaupun ia pada satu masa merupakan antara kebudayaan masyarakat Kelantan.

Walaupun ia pernah dimainkan seluruh negeri Kelantan, perlawanan laga lembu ini bukanlah berasal dari Kelantan sebalikya ia dibawa masuk dari Patani ke Kelantan. Namun begitu, kisah Jogho dalam filem garapan U-Wei ini merupakan kisah seorang Jogho yang berasal dari Kelantan berpindah ke Patani yang terletak di Selatan Thai ekoran masalah Politik yang berlaku di Kelantan.

Novel
Ini adalah cover novel Juara yang diterbitkan dalam tahun 1976 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, ia merupakan karya sasterawan agung Negara yang berasal dari Kelantan iaitu S.Othman Kelantan. Novel ini merupakan novel beliau yang kelima selepas Pengertian (1966), Penentangan (1967), Angin Timur Laut (1969) dan Perjudian (1973). Ia sebenarnya telah dikembangkan daripada cerpen Pahlawan Lembu yang telah disiarkan dalam Dewan Bahasa pada Mei 1969.

Juara adalah sebuah novel yang berunsurkan politik Tanah Melayu dan diselitkan sedikit unsur sejarah, dengan Patani sebagai latar tempat bagi novel ini, ringkasnya ia merupakan satu karya sastera berkenaan kehidupan masyarakat Kelantan dan Patani secara khusus.

Juara bermula dengan pernyataan tentang kematian Abang Lazim mati ditembak curi bersama lembu laga bernama Calet oleh Pak Isa, lawannya dalam bong. Ketika itu Mamat sudah pulang membawa wang hadiah hampir 10 ribu bhat untuk ditunjukkan kepada isterinya Minah dan anak-anaknya Melah, Selamah, Faisah dan Jusuh. Semenjak dari kematian Abang Lazim, Mamat dan orang-orangnya Jali, Sani dan Mat San memburu Isa dan orang-orangnya termasuk Dolah Mundok yang telah mengilangkan diri dari Bangnara kampung kecil mereka itu. Sebagai warga Kelantan jati, maruah dan melunaskan dendam menjadi satu perkara yang amat penting bagi Mamat.

Mamat sebenarnya merupakan bekas ahli politik dari Kelantan yang memperjuangkan kemerdekaan bagaimanapun dia seolah dilupakan setelah negara mencapai kemerdekaan. Dalam arena politik Kelantan Mamat telah kalah kepada ahli politik yang lebih muda dan berpelajaran, lantas dia dan keluarganya telah berpindah dari Kelantan ke Bangnara di Patani untuk memulakan kehidupan baru.

Di Bangnara, kegiatan masa lapang orang lelakinya ialah melaga lembu, Mamat dan Abang Lazim turut terlibat dalam aktiviti ini dengan Mamat digelar sebagai Jogho. Ketika berada dalam bong Mamat sentiasa bersemangat berikutan dalam gelanggang tersebut ia merasakan mendapat semula maruah dirinya yang tercalar. Kejadian pembubuhan Abang Lazim dan Calet, tidak melunturkan semangatnya untuk masuk bong semula dia tampil untuk mempertaruhkan Aral, seekor lembu muda yang pernah menanduk perutnya bagaimanapun Mamat telah melatih Aral menjadi seekor lembu yang lebih kuat daripada Calet. Usaha Mamat tidak sia-sia, Aral telah berjaya membawa kemenangan demi kemenangan dan membuatkan Mamat melebihkan penjagaan lembu itu daripada ahli keluarganya.

Dalam masa yang sama, Dolah Mundok telah berjaya dijejaki dan dibunuh. Perbuatan sedemikian merupakan satu perkara biasa dikampung berkenaan, pihak berkuasa telah menahan Mamat dan dibebaskan 15 hari kemudian. Mamat kembali melatih Aral untuk bertanding dengan lembu dari Pulau Lomel. Tanpa diduga, Pak Isa pembunuh Abang Lazim yang melarikan diri setahun yang lalu itu merupakan Jogho yang mewakili pemilik lembu dari Pulau Lomel itu. Mereka saling mengancam untuk membunuh satu sama lain. Pertarungan itu akhirnya menyaksikan Mamat cedera ditembak di bahunya dan Pak Isa menemui ajalnya.

Poster Filem Jogho


Dari Drama TV ke Filem
Naskhah asal Jogho adalah Cerpen yang bertajuk Pahlawan Lembu ia kemudian dikembangka menjadi sebuah novel dengan tajuk Juara yang juga disebut sebagai Jogho dalam dialek Kelantan, setelah itu syarikat MV Production telah mengadaptasikan novel tersebut menjadi enam siri drama televisyen dengan Aziz HM sebagai pengarahnya untuk disiarkan ole RTM. Bagaimanapun RTM tidak menyiarkan drama tersebut berikutan panel penilaian beranggapan ia "Kurang Sesuai" kerana mempunyai adegan perbunuhan dan melaga lembu.

Kerana tidak disiarkan di TV, Allahyarham Aziz HM telah mementaskan Jogho di pentas teater di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada awal 1990an dengan menggunakan teknik wayang kulit sewaktu adegan lembu berlaga.

Setelah 21 tahun dari terbitan pertama Novel Juara, U-Wei Haji Shaari telah mendapatkan persetujuan daripada S.Othman Kelantan untuk mengadaptasikan naskhah novel tersebut kepada Filem. Penulis asal novel tersebut menyatakan bahasa naskhah itu telah dipindahkan dari novel kepada bentuk Drama TV Enam Episod, namun U-Wei tetap mahu menerbitkannya dalam bentuk filem dengan tumpuan pasaran dan festival antarabangsa. Filem Jogho akhirnya telah berjaya diterbitkan dengan modal sebesar 1.2 Juta Ringgit dengan NHK Japan melaburkan sebanyak RM 1 Juta dan Gambar Tanah Licin RM200 Ribu.

Menepati janji dan hasrat U-Wei untuk memasarkan naskah adaptasi beliau itu, filem tersebut buat pertama kali telah ditayangkan Festival Filem Asia ke-2 yang berlangsung pada 13-21 Disember 1997. Kemudia ia ditayangkan pula di Festival Filem Antarabangsa Singapura pada April 1998 diikuti dengan Festival Filem Antarabangsa Pusan, Korea Selatan pada Oktober 1998. Disember 1998, filem ini telah ditayangkan semasa Filem Asia Pasifik di Taipei Taiwan. Ketika di Taipei, Jogho telah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Khalid Salleh yang membawakan watak utama, Mamat.

Berikutan sambutan hangat dan kejayaan cemerlang Filem Jogho di pentas antarabangsa, telah membuka mata rakyat Malaysia dengan FINAS telah membuat satu pratonton khas dan ia mendapat sambutan yang luar biasa. Setelah itu Jogho telah menjadi filem pilihan NUSA MAHSURI dalam tayangan amal perdana di PWTC untuk mengisi tabung Kelab Bandminton Nusa Mahsuri pada 25 April 1998. Setelah mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa dan mendapat sambutan yang luar biasa dalam tontotan tertutup, barulah pihak yang berwajib telah membenarkan ia ditayangkan di panggung Malaysia itupun hanya terhad kepada 12 panggung terpilih terutamanya di Lembah Klang pada Mac 1999.

Anugerah Skrin TV3 98/99, Jogho telah memonopoli empat anugerah utama iaitu Filem Terbaik, Sutradara Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik. Dalam Festival Filem Malaysia ke-14 sekali lagi Jogho telah menggondol empat anugerah iaitu Filem Terbaik, Sutradara Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Lakon Layar Terbaik. Kecemerlangan filem Jogho telah membuatkan ia sekali lagi ditayangkan semula di pawagam terpilih sekitar Lembah Klang.

Selain jalan cerita yang unik dan menarik, filem Jogho juga mengetengahkan dialek Kelantan dengan keseluruhan dialog dalam filem ini dituturkan dalam dialek Kelantan yang juga dituturkan majoriti penduduk Selatan Thailand. Secara tidak langsung ia telah memperkenalkan dialek Kelantan kepada masyarakat majmuk, walaupun jalan cerita ini memaparkan kemunduran dan kemiskinan masyarakat dalam filem tersebut, bagaimanapun ia sebenarnya membuka persoalan-persoalan penting untuk memahami kehidupan masyarakat Melayu Kelantan dan Patani.

Berikut antara orang-orang yang telah mengembalikan cebisan sejarah yang sudah pupus dalam kehidupan masayarakat Kelantan pada hari ini. Usaha mereka membuatkan kita dapat mengenang akan kebudayaan yang pernah diamalkan dalam kehidupan. Zahirnya kita adalah insan yang sentiasa dididik dan dibimbing akan keimanan kepada Allah s.w.t, justeru mengenang sesuatu yang lalu untuk kita meneladani kehidupan yang mendatang.

S.Othman Kelantan,
Penulis Cerpen Pahlawan Lembu
Penulis Novel Jogho

U-Wei Haji Shaari - Pengarah Filem Jogho
Khalid Salleh - Mamat
Normah Damanhuri - Minah
Baharuddin Hj.Omar - Abang Lazim



Tayangan Penuh Filem Jogho

Barisan Pelakon dan Orang di Belakang Tabir yang menjayakan Filem Jogho:












Rujukan:

  • [FILEM] Jogho, 1997, arahan U-Wei Hj.Shaari, terbitan NHK Japan & Gambar Tanah Licin Sdn.Bhd.
  • Thesis Universiti Malaya
  • https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgBKwlZ_VWP0ONKvE76vFaA8AK5HecUoWM71ZHDSJAcFFS2mmMFPptwr0R9mZSCH8CmS0qQzj0MfUlrojyi3X59PmWVgzGuxn7VFyES5sfstmMchPLhKWil16F5a7Pru6IjJS4mUNcVTb8/s1600/jogho.png

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...