SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 20 April 2015

Muhammad Yusuf bin Ahmad - Ulama Kelantan paling diingati : Siri Tokoh


Allahyarham Muhammad Yusuf bin Ahmad


Profil
Tok Kenali, Ulama yang tidak asing kepada seluruh rakyat Kelantan malah nama sosok ini juga terkenal seluruh nusantara. Hal ini kerana beliau merupakan guru kepada ramai guru-guru agama yang lainnya baik dari Indonesia, Brunei, Tanah Melayu, Patani malah dari Kemboja. Sewaktu hayat beliau, Kelantan telah dijolok dengan gelaran Negeri Serambi Mekah, berikutan wujud ramai ulama-ulama yang membuka pusat pengajian yang pada masa itu dikenali sebagai Pondok. Beliau merupakan seorang yang proaktif dimana usaha dakwah melalui Pondok Kenali. 

Nama aslinya adalah Muhammad Yusuf bin Ahmad dan digelar sebagai Tok Kenali. Dilahirkan di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1868 dalam keluarga yang sederhana. Bapanya seorang petani yang bernama Ahmad. Manakala ibunya bernama Fatimah hanyalah orang kebiasaan yang sopan tetapi mempunyai cita-cita yang tinggi dan murni, hal ini membuatkan latar belakangnya tidak terlalu menonjol dan dia dibesarkan seperti mana rakyat biasa Kelantan pada dekad itu. Bapa beliau telah meninggal dunia sewaktu beliau berumur 5 tahun. Beliau dibesarkan oleh ibunya dan mendapat bimbingan daripada datuknya iaitu Encik Salleh (Tok Leh) dari segi tulis menulis dan membaca kitab suci al-Quran. Tok Leh merupakan seorang yang lebai, warak dan mempunyai ilmu agama sebagai bekalan untuk panduan hidup, bapanya pula telah meninggal dunia sewaktu beliau berusia lima tahun.

Pertingkatkan Pengetahuan
Semenjak dari kecil lagi Tok Kenali telah berjaya menghafaz al-Quran serta dapat menulis dengan baik hingga beliau dilantik menjadi Kerani pada usia 8 tahun, satu pencapaian yang luar biasa bagi kanak-kanak diusia sebegitu. Tidak lama kemudian, beliau telah melanjutkan pengajian di Kota Bharu dengan tumpuan di Masjid Muhammadi antaranya gurunya ketika di Kota Bharu adalah:

  • Tuan Haji Wan Ismail
  • Tuan Guru Haji Ibrahim, Penambang (Mufti Kelantan)
  • Syaikh Muhammad Ali bin Abd. Rahman (Wan Ali) - Kutan
  • Tuan Guru Haji Ahmad - Padang, Kota Bharu.

Dua rakan sepengajian beliau ketika di Kota Bharu telah menjadi Orang Besar Kerajaan Kelantan iaitu Nik Mahmud yang juga anak kepada Tuan Haji Ismail yang terkenal dengan panggilan Datuk Perdana Menteri Paduka Raja, Dato' Nik Mahmud dan Encik Idris yang kemudian menjadi Mufti Kelantan. 

Tok Kenali mendapat inspirasi daripada Guru dan Ulama ketika menuntut di Masjid Muhammad untuk melanjutkan pengajian di Kota Suci Mekah kerana disana menjadi pusat kegiataan Ilmu Agama tambah pula ia merupakan Tanah Suci bagi Umat Islam. Hasil sumbangan rakan-rakan di Kota Bharu beliau dapat mengumpulkan $50.00 dan ibunya pula membekalkan $22.00 maka bertolaklah Tok Kenali dari Kota Bharu menuju ke Kota Mekah melalui jalan laut selama enam bulan. Perjalanan beliau penuh mencabar dan dugaan dengan kapal rosak dan badaian angin serta ombak akhirnya Tok Kenali tiba di Kota Mekah pada tahun 1887 ketika berusia 18 tahun.

Penghidupan beliau di Kota Mekah ketika itu sangat Zuhud, hampir tujuh bulan juga beliau tinggal di Masjidilharam kerana tiada kediaman tetap, makan pakainya sekadar untuk meneruskan kelangsungan hidup. Memandangkan keadaan ini, ada pihak bersimpati dan beliau telah dipanggil untuk menjadi tukang masak sementara bagi kawan-kawan beliau ketika keramaian.

Satu perkara jarang orang ambil tahu ialah, ketika Tok Kenali di Kota Mekah beliau telah menuntut dengan seorang guru agama terkenal yang berasal dari Patani iaitu Syeikh Ahmad alFatani bersama-sama dengan Haji Mohd Hassan bin Munas@Tok Janggut yang ketika itu juga merupakan Ketua Pelajar dari Nusantara berikutan Tok Janggut merupakan pelajar yang paling berusia ketika itu. Tok Kenali disayangi oleh Syeikh Ahmad hingga beliau dibawa bersama-sama beliau ketika melawat Al-Azhar dan menghadap Khalifah Islam ketika itu di Istanbul, Turki.

Pulang ke Tanah Air
Atas nasihat Tuan Guru Syeikh Ahmad alFatani, Tok Kenali telah pulang semula ke Kelantan setelah 22 tahun berada di Kota Mekah, ketika itu Tok Janggut masih lagi tinggal disana malah beliau ketika itu telah berniat untuk terus bermaustautin di Kota Suci tersebut. Kepulangan Tok Kenali pada 1909 pula membawa amanat dari gurunya dan ketika itu beliau berumur 40 tahun.

Pemerintahan di Kelantan ketika itu sedang dalam perubahan dengan Inggeris mula menguasai pemerintahan Kelantan, namun beliau terus memegang kepada amanat gurunya. 1911, beliau telah membuka Pondok Kenali dan pada 1913 beliau dilantik pula menjadi guru di Masjid Muhammadi dan ini merupakan satu penghormatan tertinggi kepada Guru Agama di Kelantan pada waktu itu. Perlantikan tersebut membuatkan Tok Kenali agak sibuk kerana beliau terpaksa berulang alik mengajar di Kg. Kenali dan di Kota Bharu.

Ketika itu Kelantan terkenal dan menjadi tumpuan pelajar-pelajar dari dalam Tanah Melayu dan Nusantara hingga Kelantan diberi nama jolokan sebagai Negeri Serambi Mekah yang masih melekat hingga kini. Selain itu, ramai pelajar Tok Kenali yang kemudiannya muncul sebagai Ulama di tempat masing-masing dan membuka pusat pengajian Islam dan ia masih berterusan hingga kini, justeru Tok Kenali terus diingati hingga kini.

Seperti insan yang lain, Tok Kenali tidak terelak dipanggil Illahi dan beliau telah ditakdirnya meninggal dunia pada 11 Disember 1933 ketika berusia 64 tahun dan jenazah beliau dikebumikan tidak jauh dari Istana Kubang Kerian dan kuburan beliau sentiasa dikunjungi oleh Duli Tuanku Sultan Ismail I, Sultan Kelantan pada masa tersebut.

Istimewa
Tok Kenali memang diakui seorang ulama yang diyakini ramai telah mencapai taraf wali. Tersebar pelbagai keanehan yang disebut sebagai karamah dikaitkan dengan Tok Kenali sepanjang hayatnya. Namun penulisan ini hanya akan menyenaraikan keistimewaan Tok Kenali yang orang lain tiada dan jarang dicapai oleh insan lain antaranya:

  • Hafaz Quran ketika berusia 8 tahun dan atas keboleh itu beliau telah dilantik oleh Penggawa untuk menjadi Kerani.
  • Ke Kota Mekah ketika berusia 18 tahun berbekalkan keazaman tinggi dan hanya tidak lebih dari 100 Ringgit.
  • Melalui kehidupan yang sukar berbulan lamanya di Kota Mekah namun masih cekal menuntut Ilmu hingga bertahan 22 tahun lamanya disana.
  • Mempunyai murid yang ramai serta mereka kemudiannya menjadi Ulama dan Mufti
  • Merupakan Penulis dan merwariskan kitab-kitab yang hingga kini masih menjadi bahan rujukan.
  • Penterjemah Kitab Arab ke Bahasa Melayu (Jawi)
  • Pengasas Jamiyyah al-Ashriyyah [Satu perhimpunan untu membincangkan perihal keadaan semasa dalam negeri]
  • Ahli Majlis Ulama Islam Kelantan
  • Penasihat Agama kepada Dato Perdana Kelantan (Menteri Besar)                                      

Ini hanyalah sedikit keistimewaan Tok Kenali dan pastinya telah banyak tulisan lain yang memperincikan berkenaan istimewanya Tok Kenali, apa yang jelas dari keistimeaan Tok Kenali ini, kita boleh bayangkan betapa begitu beliau mencintai Ilmu dan melakukannya tanpa jemu. Daya Inteleknya sangat tinggi, namun beliau sering dipandang serong berikutan kelakuan dan pakaian sedangkan apa yang beliau lakukan ada falsafahnya sendiri.

Tok Kenali sangat suka kepada kanak-kanak, beliau gemar memberi gula-gula kepada kanak-kanak dan ada kala beliau bermain bersama mereka. Kelakuan ini kelihatan canggung, walaupun ia dilakukan pada masa sekarang. Namun kita kurang sedar bahawa kanak-kanak lah yang akan merwarisi segala apa yang kita ada pada hari ini, cara Tok Kenali ini mendekatkan beliau dengan golongan ini, seterusnya menarik minat mereka untuk mendekati dan mempelajari agama.

Tok Kenali juga terkenal dengan sikapnya yang suka berkaki ayam dan orang ramai memandang beliau jelik kerana perbuatan itu dianggap darat. Sedangkan Tok Kenali berbuat demikian berikutan ia adalah satu cara untuk beliau berhubung dengan bumi dan merasa akan lembut dan kasarnya bumi. Kajian saintifik pada hari ini menyatakan bahawa berkaki ayam sekali-sekala boleh meningkatkan daya kesihatan fizikal badan.

Ada satu masa Tok Kenali diserang penyakit yang menyebabkan kaki beliau berulat. Orang melihatnya jijik kerana kakinya dikerumung ulat. Satu ketika ulat-ulat itu jatuh berguguran apabila Tok Kenali mengalih kakinya, melihat keadaan itu beliau cepat-cepat memungut semula ulat-ulat tersebut dan diletakkan semula pada tempatnya dengan mengkatan bahawa berdosa membiarkan makhluk tidak berdosa mati tanpa sebab.

Penutup
Kini Pendidikan Islam telah mendapat tempat yang sewajarnya dengan banyak sekolah berteraskan agama mendapat sentuhan moden dengan kelengkapan yang terkini dengan fasiliti yang cukup menyelesakan. Sistem Pondok juga masih wujud baik di Kelantan, Malaysia dan Nusantara ia kini mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Bagaimanapun sukar untuk ditemui seorang Ulama yang hebat seperti Tok Kenali, apa yang jelas sumbangan Tok Kenali kepada rakyat Kelantan hingga kini masih dapat dirasai dan ia masih kuat. Segala apa yang kita rasa dan lihat adalah Nikmat dari Allah s.w.t. begitulah dengan Tok Kenali, walaupun beliau telah tiada hingga kini namanya masih disebut dan diingati begitulah Rahmat Allah kepada hamba yang menegakkan AgamaNya.

Wallahualam.

Segala puji-pujian dipanjatkan kepada 
Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w.


Rujukan:
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Muhammad_Yusuf_bin_Ahmad
  • http://ulama.blogspot.nl/2006/10/tok-kenali.html
  • http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1002&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
  • http://www.risalahislam.com/2013/10/pengertian-karomah-kemuliaan-dari-allah.html
  • http://www.alsofwah.or.id/cetakaqidah.php?id=314&idjudul=312

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...