SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 27 April 2015

Benarkah G. De Sievenking Menjarah Gua Cha?? : Siri Sejarah Silam Kelantan

Pendahuluan
Artikel ini adalah lanjutan daripada penulisan kami yang lalu bertajuk Gua Cha Sebuah Kampung Berusia 10,000 tahun. Dalam artikel tersebut kita telah diberitahu bahawa terdapat tiga ekskavasi utama telah dijalankan di Gua Cha iaitu:

  • 1935 diketuai oleh H.D Noone
  • 1954 diketuai oleh G.De.Sievenking
  • 1979 diketuai oleh Adi Taha

Ringkasnya, ekskavasi Gua Cha bermula secara tidak sengaja oleh H.D.Noone dan beliau telah melaporkannya dalam jurnal yang hanya dirujuk oleh pengkaji British pada masa itu, bertitik tolak dari laporan 1935 itu, satu lagi ekskavasi lanjutan dijalankan oleh G.De.Sievenking untuk membukti serta mencari temuan baru. Hasil ekskavasi itu turut dilaporkan dan menjadi satu sumber maklumat yang empirikal berkenaan kewujudan manusia di Semenanjung Malaysia. Kajian yang Sievenking lakukan adalah sebelum Tanah Melayu merdeka, atas sentimen kemerdekaan ramai anak Malaysia cuba mencungkil kembali segala bentuk maklumat termasuklah kajian arkeologi yang dijalankan oleh pengkaji sebelum Kemerdekaan. Adi Taha telah melakukannya di Gua Cha pada 1979 untuk membukti serta mengesahkan hasil ekskavasi di Gua Cha pada 1954 itu dan maklumat yang paling mencengangkan dalam ekskavasi Adi Taha adalah didapati 30 rangka yang ditemui oleh Sievenking pada 1954 HILANG!

Siapa G.De.Sievenking
Dilahirkan pada 26 Ogos 1925 di Cagnes Sur Mer, Perancis. Bapanya Lancelot "Lance" De Giberne Sievenking pengasas kepada British Broadcasting Corporation (BBC). Nama penuh beliau adalah Gale de Giberne Sievenking, identiti beliau sememangnya agak mengelirukan berikutan tempat kelahiran beliau berbeza dengan taraf warganegaranya berikutan ibu bapanya merupakan warga negara Britain sebaliknya beliau dilahir dan membesar di Perancis, sewaktu berusia 17 tahun dia telah diberi pilihan sama ada mahu menjadi warganegara Britain atau Perancis, akhirnya beliau memilih untuk menjadi warganegara British.

Setelah menamatkan pengajian pada peringkat sekolah menengah, Gale Sievenking telah menyertai Fleet Air Arm satu sayap dalam pasukan Tentera Laut Diraja Britain yang mengkhusus dalam pengangkutan udara Tentera Laut Britain pada masa tersebut. Dalam pasukan itu, beliau telah dilatih sebagai seorang askar dan pernah ditugaskan di Canada, Colombo dan Malta. Ketika dalam khidmat tentera, beliau telah menyambung pelajaran hingga peringkat Master dengan mengkhusus dalam bidang arkeologi dan zaman pra sejarah di King College, Cambridge. Sebagai kakitangan awam kerjaan British, beliau telah menerima biasiswa untuk tempoh pengajian selama dua tahun, manakala tahun akhirnya perlu diselesaikan sendiri oleh pelajar tersebut.

Pada usia 25 tahun beliau menyambung pelajaran pada peringkat Phd dibawah seliaan Grahame Clark dengan menyelidik tapak ekskavasi pra sejarah Clark di Star Carr pada awal 1950, bagaimanapun pada 1952 dia telah berkahwin dengan Ann Paull pada 1952 dan tidak lagi meneruskan pengkajian Doktor Falsafahnya itu berikutan masalah kewangan. 1953 beliau telah menerima tawaran untuk berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Museum Malaya diusia 28 tahun.

Di Malaya
Sewaktu beliau tiba di Semenanjung Tanah Melayu, perintah Darurat sedang berkuatkuasa kerana itu beliau tidak dapat menjalankan tugas-tugas dengan agresif berikutan masa yang terhad. Pada waktu itu Pengarah Muzium Malaya memegang beberapa lagi jawatan penting dalam pentadbiran Tanah Melayu terutama dalam soal keamanan dan usaha menentang kegiatan pengganas komunis di Tanah Melayu, atas sebab itu tugas pembangunan muzium terserah kepada Sievenking. Dalam keadaan darurat Sievenking sempat menubuhkan tiga muzium iaitu di Melaka, Seremban dan Kuala Kangsar, beliau juga telah menjalankan ekskavasi disemua tapak bersejarah seperti :

  • Kubu Portugis abad ke-17 di Johor Lama
  • Lokasi perdagangan awal India dalam hutan paya bakau berhampiran Taiping
  • Lokasi tertanamnya sepeti mangkuk porselin dari Dinasti Ming di Johor
  • Ekskavasi di Kota Gelanggi, Pahang
  • Ekskavasi Gua Cha, Nenggiri, Kelantan

Hasil ekskavasi Gua Cha yang dijalankan pada 1954 merupakan temuan yang empirikal dan signifikan bagi semenanjung Tanah Melayu kerana pasukan ekspedisi itu telah menemui 30 rangka manusia yang berusia lebih 10,000 tahun. Hal ini membuktikan bahawa manusia telah mendiami Semenanjung ini sejak sekian lama, dan ini mengukuhkan kewujudan bangsa yang sedia mendiami rantau ini, seterusnya menolak dakwaan penduduk Tanah Melayu merupakan imigran sebaliknya ia membuktikan bahawa peribumi berkembang biak secara turun temurun dinegara ini.

Dikala Tanah Melayu sedang hangat memperjuangkan kemerdekaan, G.De.Sievenking bersama isteri dan dua orang anaknya telah berangkat pulang ke England pada 1956 bersama-sama segala hasil kerja ekskavasi yang beliau jalankan sekitar Semenanjung Tanah Melayu termasuklah 30 rangka manusia yang dijumpai di Gua Cha.  Hal ini hanya diketahui apabila Adi Taha melakukan ekskavasi balas pada 1979. Berbagai persoalan dan andaian telah dikeluarkan oleh pengkaji dan pemimpin kenapa Sievenking mebawa pulang semua artifek yang ditemui.

Simpan dirumah
Sekembalinya beliau ke England, dia telah diterima sebagai  Timbalan Penjaga Jabatan Antikuiti Pra Sejarah dan Romano-British, Britsh Museum. Disinilah beliau membina nama dalam pengkajian zaman Pra Sejarah. Pada 1965-1967 beliau pernah dipelawa menyelidik dan membentuk pasukan ekskavasi yang dketuai oleh Michael Kerney di Thailand, selebihnya beliau menumpukan pengkajian, penyelidikan serta ekskavasi tapak pra sejarah di Eropah Barat terutama di England, Belanda, dan Belgium.

Aktiviti beliau di Malaya terus sepi dan jarang diperkatakan, identiti beliau dan isteri juga seakan-akan anonymous sedangkan Sievenking adalah seorang ahli arkeologi terkemuka dalam bidang tersebut. Jumpaan di Gua Cha dan artifak lainnya menjadi koleksi peribadi G.De.Sievenking sekeluarga ia seolah-olah cenderamata ketika bertugas di sewaktu zaman kolonial British. 2007 G.De Sievenking telah meninggal dunia dan lima tahun kemudian isteri mendiang Ann Paull turut meninggal dunia. Sewaktu Ann masih hidup, beliau telah menyerahkan sebahagian koleksi G.De.Sievenking kepada University of Cambridge termasuklah artifak dari Gua Cha.

Penjarah??
Setelah menyoroti latar belakang serta kerjaya Sievenking boleh dirumuskan bahawa Sievenking dan isterinya bukanlah menjarah artifak pra sejarah sebaliknya beliau menjaganya. Alasan sebegini seringkali dinyatakan untuk membela tindakan tersebut, bagaimanapun ada benarnya juga dengan mengambil contoh hasil temuan di Gua Cha pada 1954, pada waktu itu Tanah Melayu dalam keadaan darurat sekiranya ia ditinggalkan dikhutairi rangka-rangka yang menjadi artifak terpenting dalam ekskavasi itu akan musnah kerana pada waktu itu kesedaran masyarakat Tanah Melayu berkenaan arkeologi masih belum wujud, atas sebab itu Sievenking telah membawa bersama-sama rangka tersebut ketika beliau dan keluarganya kembali ke England dalam tahun 1956.

Pada asasnya, tindakan ini sewajarnya tidak dilakukan bagaimanapun Sievenking lebih arif berkenaan skeptikal semua lapisan bangsa dan masyarakat di Tanah Melayu pada waktu itu berkenaan rangka manusia yang telah digali semula pastilah ia mengundangkan sial atau kwong atau Majal dalam istilah masyarakat Melayu di Kelantan kerana itu Sievenking telah menyerahkannya kepada mana-mana wakil di Malaya dan ia dibawa pulang ke England. Setelah beliau meninggal dunia rangka dari Gua Cha itu telah serahkan kepada University of Cambridge dan ianya telah dimaklumkan kepada Kerajaan Malaysia.

Bertitik tolak dari maklumat tersebut Datin Paduka Dato' Professor Emeritus Siti Zuraina Abdul Majid merangkap Pesuruhjaya Warisan telah menggerakkan usaha melalui Jabatan Warisan Negara bersama-sama Datuk Seri Rais Yatim Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan pada masa tersebut telah berhubugan dengan pihak di Cambridge berkenaan usaha membawa pulang rangka Gua Cha itu. Semakan lanjutan telah dibuat dan Malaysia hanya berjaya membawa pulang 8 Rangka dari sejumlah 30 rangka yang dibawa pulang Sievenking pada 1956.

Kesimpulan
G.De.Sievenking merupakan ahli arkeologi yang terlatih dan professional, pengelibatan beliau dalam ekskavasi di Tanah Melayu pada zaman sebelum Tanah Melayu lebih kepada pengesahan dan pembuktian berdasarkan catatan jurnal pegawai-pegawai British sebelum Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu. Sepanjang dua tahun berada di Tanah Melayu Sievenking bersama isterinya telah menjalankan 5 ekskavasi beberapa lokasi di Perak, Johor, Pahang dan Kelantan dengan jumpaan dan temuan yang paling empirikal di Gua Cha, setelah itu beliau telah kembali ke England berikutan keadaan politik Tanah Melayu yang pada masa tersebut di ambang kemerdekaan, beliau menjadi antara pegawai British yang pulang dalam memenuhi mandat kemerdekaan Tanah Melayu pada masa tersebut.  Bagaimanapun tindakan beliau membawa keluar artifak dan bukti kewujudan peradaban manusia di Semenanjung Tanah Melayu sebagai satu tindakan yang tidak wajar berikutan itu merupakan bukti yang signifikan berkenaan kewujudan manusia di Semenanjung Tanah Melayu, bagaimanapun kita pada hari ini masih bernasib baik kerana berjaya membawa pulang sebahagian rangka yang ditemui di Gua Cha pada 2008 untuk tatapan dan rujukan mengenai peradaban yang wujud di Negara kita ini.

Antara Rangka Manusia yang berjaya dibawa kembali ke Malaysia pada 2008


Rujukan
  • http://en.wikipedia.org/wiki/Gale_Sieveking
  • https://duckduckgo.com/Gale_Sieveking?ia=about
  • http://www.whoislog.info/profile/gale-sieveking.html
  • http://www.digplanet.com/wiki/Gale_Sieveking
  • http://www.southeastasianarchaeology.com/2008/07/04/keeping-skeletons-in-the-closet/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...