SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday 10 March 2015

Sistem Kewangan dan Perbankan di Kelantan wujud semenjak 1890 : Siri Orang Kito

Pendahuluan
Hingga kini kita masih kedengaran kata-kata sorok bawah bantal atau simpan dalam kepuk beras, dahulu itulah antara langkah berjaga-jaga yang diambil oleh orang kebanyakkan untuk menyimpan duit atau barang berharga mereka. Sebelum kedatangan Inggeris di Kelantan, Sistem Perbankan adalah begitu asing bagi penduduk Kelantan. Bagaimanapun pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad III, baginda telah memperkenalkan Bank Pitis yang dibina di luar pintu masuk Istana Balai Besar, Kota Bharu. Kegunaannya adalah untuk menyimpan pitis perbelanjaan negeri ketika itu.

Pada masa tersebut Kerajaan Kelantan telah mengeluarkan pitis Kelantan untuk kegunaan domestik rakyat Kelantan dalam urusan jual beli, selain itu Sultan Muhammad IV meneruskan tradisi penghantaran "pohon pitis" pada 1903 sebagai ufti kepada Siam yang masih lagi menjadi penaung kepada Kerajaan Kelantan pada waktu itu. Kerajaan Kelantan masih menggunakan pitis ini sehingga tahun 1920 apabila ia ditukar kepada Wang Kertas iaitu wang rasmi di Tanah Melayu pada waktu itu.


Bank dan Pitis Kelantan
Bank Pitis dibina pada 1899, digunakan untuk menyimpan
Pitis Kelantan sehinggalah ia ditukar kepada 
Wang Kertas pada 1920
Sultan Muhammad III adalah pelopor kepada penggunaan dan diteruskan oleh Sultan Muhammad IV sebelum ia diganti dengan wang kertas pada 1912, bagaimanapun ia tetap diguna sehingga 1920 di mana selepas itu, wang kertas dan syiling dari Kerajaan British yang diguna dalam urusan jual beli.

Sejajar dengan pengenalan Pitis Kelantan, Kerajaan Negeri telah membina Bank Pitis di perkarangan Istana Balai Besar untuk perbelanjaan negeri pada masa tersebut. Bank ini adalah struktur pertama di Kelantan yang dibina daripada konkrit dan ia dianggap berprestij pada masa itu kerana teknologi ini memang asing di Kelantan. Ia dibina dengan ukuran 12 kaki lebar dan 12 kaki tinggi, daun pintunya diperbuat dari kayu cengal dan dipasang dengan tiga penyelak yang diperbuat daripada besi.

Pitis Kelantan pula diperbuat daripada timah dengan ukuran 30mm dan seberat 5gram. Kebanyakkan bahagian hadapan pitih Kelantan akan diterap perkataan Arab yang membawa maksud Belanjaan Kerajaan Kelantan dan pada bahagian belakang tertera tarikh pitis itu dihasilkan juga dalam bahasa Arab. Kini ia hanya menjadi koleksi antik berharga kepada para pengumpulnya dan sekeping pitih Kelantan berkeadaan baik dan sempurna boleh dijual dengan harga ratusan ringgit tetapi kebiasaannya orang beli dengan nilai 80 ringgit sahaja.

Pitis ini dihasilkan dalam bentuk pokok yang lengkap dengan batang dan ranting, mana pitis ini ibarat daun kepada pokok tersebut. Di Kelantan ia lebih dikenali sebagai Pohon Pitis dan ia hanya akan dipatahkan untuk tujuan jual beli oleh pemilik pohon pitis itu.

Berdasarkan kepada rekod sekurang-kurangnya terdapat tiga variasi pitih Kelantan telah dihasilkan daripada 1890 hingga 1920. Ketiga-tiga variasai ini mempunyai harga yang tersendiri, bagaimanapun ia bergantung kepada kualiti coin tersebut, lagi sempurna lagi mahal nilainya.

Acuan Logam dan Pohon Pitis Kelantan 1904
Acuan dari Batu Kawi dipercayaai acuan yang pertama dihasilkan.



Sistem Moden
NST Singapura bertarikh 6 Januari 1912
Duff Development Company Ltd. adalah syarikat yang diberikan konsensi di Kelantan pada 1900 oleh Sultan Muhammad IV. Syarikat ini diberikan peranan untuk mengeksploitasikan hasil bumi di Hulu Kelantan terutama dalam kawasan Lebir hingga ke Gua Musang.

Bagaimanapun, Inggeris telah berjaya memasuki pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan menyebabkan konsesi antara Kelantan dengan Syarikat Duff telah terbatal. Pihak syarikat ini telah membawa isu tersebut ke mahkmah di London dan telah diputuskan bahawa segala konsensi yang diterima oleh syarikat telah dibatalkan dibawah undang-undang residen.

Namun pihak mahkamah telah mendapati perkara tersebut tidak adil buat syarikat, dan mahkamah telah membenarkan syarikat Duff terus beroperasi di Kelantan dengan syarat syarikat harus patuh kepada undang-undang residen.

Dalam perjanjian asal, Syarikat Duff mempunyai hak mutlak dalam memajukan kawasan Hulu Kelantan dan mereka hanya perlu membayar mengikut jumlah peratusan saham yang dimiliki antara Kerajaan Kelantan dan Syarikat. Di bawah undang-undang Residen, setiap hasil yang berjaya dipungut dikenakan cukai dan hasil tersebut pula hanya dapat diedarkan mengikut ketetapan residen. Syarikat Duff pula pada masa tersebut hanya dibenarkan terlibat dalam bidang pertanian dan usaha perlombongan dibekukan.

Pengelibatan aktif Syarikat Duff di Kelantan telah dilaporkan dalam News Straits Time Singapore pada 6 Januari 1912 di mana kekerapan urusan transaksi bank antara syarikat tersebut dengan Mercantile Bank of India di Singapura telah membuatkan bank tersebut membuka cawangan mereka di Kota Bharu pada 1 Februari 1912 untuk mengemaskan sistem aliran tunai secara sistematik di Kelantan dan menamatkan urusan perbankan di Singapura.

Berikutan itu terbinalah bank moden yang pertama di Kelantan yang kemudiannya dikenali sebagai Bank Kerapu dan ia dikendalikan oleh Mercantile Bank of India. Selepas perang dunia kedua, Mercantile Bank of India telah luput dan fungsinya telah diambil alih oleh Hong Kong and Shanghai Bank Company  (HSBC).

Pemandangan Bank Kerapu, Tahun 60an

Contoh Wang yang diguna pakai di Kota Bharu pada 1912

Contoh Wang yang diguna pakai pada 1886 di Penang



Rujukan:

  • https://www.hsbc.com.my/1/2/about-hsbc/corporate-information
  • British Business in Asia Since 1860, [Buku]
  • https://books.google.nl/books?id=18oq9x97BvgC&pg=PA178&lpg=PA178&dq=The+Mercantile+Bank+in+Kota+Bharu&source=bl&ots=0Yr28BoJeF&sig=-vS60FFScTm8b-nffal_AN48uv4&hl=en&sa=X&ei=HQvlVKb3A8WrPJvkgegB&ved=0CEAQ6AEwBA#v=onepage&q=The%20Mercantile%20Bank%20in%20Kota%20Bharu&f=false
  • http://purbawan.blogspot.nl/2013/09/pitis-kelantan-1314h-bersamaan-1896.html
  • http://fazilnumismatic.blogspot.nl/2009/12/kelantan-pitis-1321h-1904.html
  • http://www.mrjocko.com/2012/06/acuan-pohon-pitis-kelantan-1904.html
  • http://pulaumistik.blogspot.nl/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...