SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday 13 March 2015

Istana Kelantan tersergam sebalik Hutan Bangi : Siri Binaan Bersejarah Kelantan

Istana Tengku Bongsu@Rumah Tengku Fatimah Zaharah

Pendahuluan
Ini bukan omongan kosong, tetapi satu kisah yang benar iaitu kisah Istana Tengku Bongsu. Asalnya rumah ini terletak di Jalan Mahmud, Kota Bharu. Bagaimanapun masa merubah segala-galanya dan kini terletak di laluan Jalan Bangi Lama yang kawasannya menghijau dikelilingi pokok-pokok. Lokasi tepatnya adalah di Taman Pantun, Universiti Kebangsaan Malaysia, Istana ini ditempatkan disini bagi pengisian kepada Muzium Etnologi Dunia Melayu di bawah seliaan Jabatan Muzium Negara. 

Pihak Muzium Negara mentakrifkan binaan tersebut sebagai Rumah bagi golongan bangsawan, namun dalam kefahaman masyarakat Kelantan, rumah yang didiami oleh bangsawan merupakan sebuah Istana. Ciri-ciri Istana ini yang unik dibina dengan falsafah yang tinggi, selain itu ia juga dihiasi dengan ukiran tradisi masyarakat Kelantan dan Patani. Suatu masa dahulu rumah-rumah di Kelantan merupakan satu daya tarikan pelancong ke Kelantan berikutan seni ukiran yang terdapat pada rumah kediaman yang dibuat dengan penuh ketelitian dan ia sangat menarik pelancong untuk menyaksikan sendiri keunikan kediaman orang Kelantan.

Persoalannya, kenapa Istana ini boleh dipindahkan jauh dari lokasi asalnya. Kemanakah perwarisnya?

Latar Belakang
Masyarakat Kelantan melihat kediaman golongan bangsawan sebagai Istana, manakala kediaman rakyat disebut sebagai rumah. Justeru rumah yang sedang dibicarakan ini dalam pandangan orang Kelantan merujuknya sebagai Istana Tengku Bongsu. Menyelidiki latar belakang pemilik rumah ini membuatkan penulis sedikit keliru kerana maklumat yang dicapai dari Internet bercanggah dengan maklumat yang dikeluarkan oleh pihak Muzium.

Rumah ini dinamakan sebagai Istana Tengku Bongsu oleh rata-rata rakyat Kelantan terutama mereka yang juga perwaris kepada pemilik rumah yang asal, pihak Muzium pula menyatakan bahawa rumah itu diberi nama sebagai Rumah Tengku Fatimah Zahrah maklumat tersebut kerana Tengku Bongsu dan Tengku Fatimah adalah individu yang berlainan. Jauhar Kalam sebuah blog menyatakan bahawa rumah tersebut merupakan milik Tengku Bongsu yang juga dikenali sebagai Tengku Kalsum binti Sultan Ahmad, Sultan Kelantan 1886-1889 dengan suaminya Tengku Chik. Jabatan Muzium melalui Berita JMM Jilid 14 Bilangan 2 menyatakan rumah tersebut dimiliki oleh Tengku Hamidah binti Tengku Mansor beliau juga merupakan puteri bongsu kepada Tengku Mansur. Menariknya, Tengku Kalsum dan Tengku Hamidah merupakan isteri kepada Tengku Chik.

Kesimpulannya, rumah ini diberi nama sebagai Istana Tengku Bongsu kerana Tengku Kalsum binti Sultan Ahmad dan Tengku Hamidah binti Tengku Mansor merupakan Puteri Bongsu serta bersuamikan Tengku Chik Tuan Abdullah ibni Almarhum Sultan Mansur. Pasangan ini dikurniakan tiga orang zuriat iaitu:

  • Tengku Zainal Abidin bin Tengku Chik Tuan Abdullah [anak dengan Tengku Kalsum]
  • Tengku Fatimah Zaharah binti Tengku Chik Tuan Abdullah [anak dengan Tengku Kalsum]
  • Tengku Zainab binti Tengku Chik Tuan Abdulah [anak dengan Tengku Hamidah]

Status kediaman tersebut hanya layak digelar sebagai "rumah" sahaja walaupun binaan dan hiasan dalamannya menyamai sebuah "Istana" dalam golongan bangsawan Kelantan berikutan pemilikan rumah tersebut jatuh kepada Tengku Hamidah dan bukan kepada Tengku Kalsum, Tengku Fatimah Zahrah pula merupakan penghuni terakhir. Justeru itu kediaman tersebut telah diberi nama Rumah Tengku Fatimah Zaharah oleh Jabatan Muzium Malaysia walaupun umum di Kelantan mengenali rumah tersebut sebagai Istana Tengku Bongsu.

Tengku Fatimah Zaharah hanya mempunyai seorang anak angkat iaitu Puan Saleha Abdullah. Semasa hayatnya beliau ada mewasiatkan rumah tersebut secara lisan yang tidak didedahkan siapa perwarisnya dan ini menimbulkan perebutan dikalangan perwaris setelah Tengku Fatimah mangkat pada tahun 1999 di Istana Tengku Bongsu. Hak penjagaan istana tersebut telah diserahkan kepada Tengku Ahmad Shihabuddin yang juga anak kepada Tengku Zainal Abidin. Belaiulah individu yang menguruskan harta pusaka ini dan jalan terbaik untuk mengelakkan persengketaan di kalangan perwaris adalah dengan menjualnya kepada pihak berwajib. Pada tahun 2000 Istana Tengku Bongsu dibeli oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia. Dipercayai binaan Istana Sri Akar sama dengan Istana Tengku Bongsu ini, kerana itu pihak muzium berminat untuk memulihara rumah tersebut memandangkan Istana Sri Akar telah roboh dengan sendirinya setelah Tengku Mahmud Mahyideen keluar dari istana tersebut dalam tahun 1950an.

Semasa penempatan semula, modul tidak bergerak telah dijual kepada pihak lain, oleh kerana itu Istana yang terletak di Taman Pantun UKM ini merupakan 1/3 dari saiz asalnya. Bagi pengamat seni ukir dan binaan tradisional Kelantan, Istana Tengku Bongsu merupakan satu protaip yang amat signifikan namun, ia tidak asli lagi sebagaimana binaan semula Masjid Kampung Laut di Nilampuri.

Istana Tengku Bongsu @ Rumah Tengku Fatimah Zaharah dalam pembinaan semula di Taman Pantun 2006
Kerja-kerja merombak Istana Tengku Bongsu di Kota Bharu
Lukisan plan Istana Tengku Bongsu


Dari Kota Bharu ke Bangi
Jabatan Muzium telah membeli rumah tersebut sebagai memenuhi pengisian Muzium Etnologi Dunia Melayu. Ia mula dirombak pada 2002 dan telah disimpan di Muzium Lukut selama 5 tahun. 2006 ia mula dibina semula di Taman Pantun, UKM. Sekitar istana tersebut terdapat pepohonan merimbun membuatkan suasananya damai dan nyaman, ia lebih dikenali sebagai Laman Ilmu dipenuhi dengan 199 batang pokok, manakala setiap pokok pula dilengkapkan dengan serangkap pantun berkenaan dengan pokok tersebut. Ia terdiri daripada pokok herba, buah-buahan dan pokok hiasan.

Rumah ini memiliki Modul Dapur dan Modul Rumah Ibu yang dihubungkan dengan Jemuran yang juga reka bentuk asa Rumah Kelantan yang dikenali sebagai Rumah Bujang. Ciri-ciri rumah golongan bangsawan berbeza dengan  kediaman masayarakat umum, dimana ia berbeza dari segi tiang Rumah Ibu dimana rumah rakyat biasa mempunyai 12 tiang pada modul rumah ibu, manakala kediaman golongan bangsawan mempunyai 16 tiang pada modul tersebut. Selain itu, rumah keluarga diRaja juga mempunyai pintu masuk tanpa tangga dan lantainya 8-10 kaki dari aras tanah iaitu menyamai ketinggian gajah. Reka bentuk sebegitu bukan kerana mereka memelihara gajah dibawah rumah, sebaliknya ia direka bengitu bagi memudahkan penghuni kediaman tersebut untuk masuk kerumah setelah berkenderaan dengan gajah tanpa turun dari haiwan tersebut. Hal ini sebenarnya adalah untuk menjaga maruah dan darjat mereka yang dikenali sebagai golongan dari kerabat raja. 

Ukiran dindingnya juga terdiri daripada motif flora yang sinonim sebagai motif ukiran Kelantan. Pendek kata, ia adalah satu kediaman yang sungguh menawan dan mewah untuk masayarakat Kelantan era 1800. Rumah ini dibina dengan kaedah tanggam dengan sedikit paku, ia juga menggunakan kayu dari jenis Cengal dan Berlian yang pada masa sekarang amat sukar diperoleh berikutan kayu jenis ini mahal untuk dibeli oleh orang kebiasaan. Cengal dan Berlian merupakan antara kayu jenis yang keras dan memakan masa yang lama untuk memprosesnya, pada masa ini hanya golongan hartawan sahaja yang mampu membina rumah dari kayu jenis ini.

Baik Pulih
Istana Tengku Bongsu yang ada di Taman Pantun, UKM sekarang adalah satu binaan semula yang mana hanya 1/3 keasliannya. Banyak bahagian tidak dibina dalam tahun 2006 itu. Justeru pihak berwajib telah merangka untuk pembinaan dengan skala menyeluruh bagi mengekalkan binaan Istana ini seperti mana sebelum dirombak pada 2002. Berikut lukisan reka bentuk sebenar Istana Tengku Bongsu, dan seterusnya kami kongsikan gambar-gambar Istana Tengku Bongsu yang telah dibina semula oleh Jabatan Muzium Malaysia di Taman Pantun, UKM.

Lukiasn Plan Istana Tengku Bongsu yang akan dibaikpulih semula


Pandangan sisi kanan

Pandangan hadapan

Pandangan dari belakang

Pandangan sisi, kelihatan corak dinding yang dikenali sebagai "Janda Berhias"

Rumah ini sungguh besar, tiangnya sama tinggi lelaki dewasa berdiri

Balai Penghadapan yang sepatutnya lebih luas

Balai Penghadapan untuk menerima tetamu dan bersidang

Pintu yang mendapat sentuhan ukiran gaya China

Laluan kiri (bilik), sebelah kanan Rumah ibu

Laluan Kanan (bilik), sebelah kiri Rumah Ibu

Pandangan dalam Rumah Ibu


Ukiran tulisan khat bersalut emas

Pandangan dalam Rumah Ibu

Lokasi Asal Istana Tengku Bongsu di Kota Bharu

Masih ada item yang ditinggalkan contohnya Telaga ini.


Rujukan:
  • Saudara Wan Naz
  • Berita JMM Jilid 14/Bil. 2 Mei-Ogos 2013, ms: 20-21
  • http://jauharkalam.blogspot.nl/2013/12/istana-tengku-bongsu_17.html
  • http://raykinzoku.fotopages.com/?entry=1098286
  • http://www.jmm.gov.my/files/Jilid%2014%20-%20Bil.%202%20%28Mei%202013-Ogos%202013%29.pdf
  • http://www.royalark.net/Malaysia/kelant7.htm
  • http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_08.htm

2 comments:

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa said...

Alhamdulillah, tulisan yang penting tentang Istana Puteri Bongsu di Taman Pantun UKM. ATMA sedang menggerakkan pelestariannya sebagai pusat kebudayaan Melayu.

mddawn said...

بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
وَالْعَصْرِۙ
اِنَّ الْاِنْسَانَ لَفِيْ خُسْرٍۙ
اِلَّا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ ەۙ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
(Surat Al 'Asr Ayat 1-3)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...