SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 19 January 2015

Kelantan Dalam Perang Kota Kubang Labu 2 - 1762

Pendahuluan
Perang yang berlaku pada 1758 menyaksikan Long Pandak telah terbunuh seterusnya keadilan kematian Puteri Neng Mas dapat ditegakkan. Setelah itu, Long Muhammad yang waktu Raja Muda Kota Kubang Labu telah dilantik sebagai Raja oleh Long Deraman dengan syarat dia harus berlaku adil kepada rakyat di Kota Teras dan Kota Senang, setelah itu keadaan kembali pulih.

Keadaan ini tidak kekal lama, apabila rakyat di Kota Teras dan Kota Senang telah membuat aduan kepada Long Ghafar dan Long Yunus yang ketika itu berada di Terengganu. Mereka menyatakan bahawa Long Muhammad telah memungkiri janji untuk berlaku adil dan perkara ini telah membangkitkan kemarahan Long Ghafar dan Long Yunus.

Long Yunus pada masa tersebut telah berkahwin dengan Tuan Inche Jumat, anak perempuan Engku Tanang Wangsa Terengganu. Rekod Terengganu menyatakan Long Yunus telah melakukan jasa yang besar kepada Engku Tanang Wangsa kerana pengelibatan beliau dalam menyelesaikan kemelut dalam Terengganu pada 1741.

Perihal Kota Kubang Labu
Rekod Terengganu juga ada mencatatkan, Long Yunus dengan terperinci memberitahu akan perihal yang berlaku di Kota Kubang Labu dan ia berhasrat untuk mengembalikan pemerintahan kepada tuan yang lebih berhak. Melalui mertuanya, Tun Tanang Wangsa kisahnya telah sampai ke pengetahuan Sultan Mansur I, Sultan Terengganu pada waktu itu. Baginda telah bersetuju untuk membantu Long Yunus untuk menegakkan keadilan buat penduduk di Kota Senang dan Kota Teras.

Sokongan Terengganu menjadi asas kepada Long Yunus dan Long Ghafar untuk menyerang kedudukan Long Muhammad di Kota Kubang Labu. Perancangan ini telah diketahui oleh pihak di Kota Kubang Labu, dan mereka telah menanti pasukan dari Terengganu yang diketuai oleh Long Yunus dan Long Ghafar dan melancarkan serangan hendap setibanya angkatan ini Kuala Besut, ia berlaku pada Julai 1763 Serangan tersebut berjaya dipatahkan.

Kota Kubang Labu dibawah Long Muhammad telah mendapat sokongan daripada Legeh yang dipimpin oleh Long Deraman. Dalam perang terdahulu beliau melanggar Kota Kubang Labu, kali ini beliau turun dari Legeh untuk mempertahakan Kota tersebut memandangkan beliau menyedari serangan kali ini adalah untuk merebut kekuasaan dan merasakan menjadi tanggungjawabnya untuk mempertahakan Kota Kubang Labu.

Long Yunus menyedari bahawa mereka akan berhadapan dengan angkatan perang yang kuat di Kota Kubang Labu, justeru beliau telah berpakat dengan Long Ghafar untuk mengumpul kekuatan tentera dari Kelantan juga untuk turut sama dalam serangan itu. Bagi menjayakan misi tersebut, Long Ghafar telah mengumpul pengikutnya di Jeram dan seterusnya ke Kadok bagi mendapatkan persetujuan daripada Penghulu Adas. Long Yunus pula telah mengetuai angkatan tentera Terengganu menuju ke Kubang Garong dan bergabung dengan Mandur Mis (Tuan Khomis). Akhirnya Long Ghafar yang mempimpin angkatan perang dari Jeram dan Kadok telah bergabung dengan Long Yunus di Kubang Garong.

Mereka telah membuat rancangan taktikal untuk menyerang Kota Kubang Labu. Angkatan besar yang dipimpin oleh Long Ghafar dan Long Yunus itu telah dipecahkan kepada tiga kumpulan besar dengan:

  • di ketuai oleh Long Ghafar dan menyerang kedudukan Long Muhammad dari arah Pengkalan Lisir.
  • di ketuai oleh Long Yunus dan menyerang kedudukan Long Deraman dari arah Pengkalan Gong Chipa
  • di  ketuai oleh Penghulu Adas dan Mandur Mis dan menyerang kedudukan Panglima Umar Kampung Laut dari arah Pengkalan Kebun.

Serangan dilancarkan pada awal pagi, dan ia telah berlansung selama beberapa hari. Banyak tulisan menyatakan pertempuran ini berlangsung dengan sengit dan banyak mengorbankan jiwa serta memusnahkan Kota tersebut. Kemuncaknya pada 12 Julai 1763, Long Muhammad telah mangkat terkena tikaman daripada Long Ghafar semasa mereka bertempur secara berhadapan. Long Deraman pula mengalami kecederaan yang parah setelah terkena lembing yang dilontarkan oleh Long Yunus, beliau dilaporkan mangkat selang beberapa lama. Panglima Umar juga berjaya ditewaskan oleh Mandur Mis dan Penghulu Adas.

Kemenangan ini menyaksikan Long Yunus telah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan dan menyaksikan Kelantan telah disatukan kembali sepertimana ia diterajui oleh Raja Sakti (1632-1649). Namun ada menyatakan kuasa pemerintahan Kelantan pada masa itu telah dibahagikan kepada dua hingga menyebabkan Kelantan di kenali sebagai "Negeri Kerat Lintanh" gelaran ini diberi berikutan selepas perang tersebut wujud dua kawasan pemerintahan dimana meliputi kawasan pantai bermula dari Kuala Kemasin, Kota Bharu, Tabal sehingga Bukit Tanjung (Narathiwat) diperintah oleh Long Yunus, manakala kawasan Limbat hingga Jeram diperintah oleh Long Ghafar.


Kesimpulan
Peperangan ini menyaksikan Kelatan diperintah oleh perwaris yang lebih berhak. Hal ini banyak diingati oleh rakyat Kelantan. Satu aspek yang jarang diperhatikan dalam sejarah perang ini adalah berkenaan pengelibatan Tentera Terengganu. Berikutan hal ini ia telah mencetuskan polemik hingga tercetusnya peperangan antara Kelantan dan Terengganu sebanyak dua kali. Selain itu, disebut juga penguasaan Terengganu dalam Istana Kelantan. Justeru, nantikan penjelasan dalam artikel Kelantan Dalam Perang Dengan Terengganu 1794.


Makam Almarhum Long Sulaiman ibni Long Baha, Ayahanda Paduka Sultan Long Yunus. Mangkat dibunuh oleh Long Deraman, menantunya pada 1756. Makam ini terletak di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu.
Sumber :  azmisejarah.blogspot.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...