SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday 15 January 2015

Kelantan Dalam Perang Kota Kubang Labu 1 - 1758

Pendahuluan
Perang ini sebenarnya adalah titik tolak bermulanya penyatuan Kelantan dan asas kepada tertubuhnya Dinasti baru dalam Kesultanan Kelantan yang diasaskan oleh Long Yunus. Ia berlangsung dalam dua siri peperangan melibatkan dua pihak yang bertelagah dilokasi yang sama dan melibatkan golongan bangsawan Kelantan pada waktu itu.

Segala-galanya bermula apabila Long Bahar membuka Kota Kubang Labu setelah beliau berkahwin dengan Raja Pah, puteri Sultan Umar seorang Raja Jembal. Setelah kemangkatan Sultan Umar, Long Bahar telah ditabalkan sebagai Raja Jembal dan pemerintahan Kota Kubang Labu diterajui oleh  Long Sulaiman puteranya dengan Raja Mas Kelantan (Raja Patani). Long Bahar mangkat, lantas para pembesar sepakat menabalkan Long Sulaiman sebagai raja, dan menjadikan beliau sebagai penguasa kepada Kota Jembal dan Kota Kubang Labu, satu kawasan yang cukup luas berbanding dengan city states lain yang wujud ketika itu seperti Reman dan Legeh. Perkara ini jelas menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan kerabat hingga tercetusnya perbalahan yang menyebabkan kemangkatan Long Sulaiman yang ditikam oleh Long Deraman menantunya sendiri yang juga Raja Legeh.

Long Deraman akhirnya meninggalkan Kota Kubang Labu kepada Long Pandak, sepupunya untuk diperintah, dan beliau telah pulang semula ke Legeh mungkin kesal atas apa yang berlaku kepada Long Sulaiman. Long Yunus adalah perwaris Long Sulaiman, pada waktu kejadian baginda sedang mengembara.

Kejam
Kota Kubang Labu dibangun dengan perasaan penuh rasa kasih sayang oleh Long Bahar dan diteruskan oleh Long Sulaiman telah bertukar menjadi satu tempat yang kurang tenteram setelah diperintah oleh Long Pandak yang dikenali sebagai seorang pemerintah yang zalim. Beliau telah melantik adiknya, Long Muhammad sebagai Raja Muda. Khabarnya, rakyat dalam keadaan bimbang kerana mereka mudah dikenakan hukuman sekiranya ada yang tidak kena pada pemerintah Kota Kubang Labu pada waktu itu.

Rekod Kelantan mencatatkan perang ini bermula dengan keberangkatan Long Ghafar dan Long Yunus dari Reman ke Terengganu. Long Ghafar adalah putera kepada Raja Reman dan bersahabat baik dengan Long Yunus, persahabatan mereka amat erat seperti abang dan adik. Dalam perjalanan itu, mereka telah singgah di Kota Kubang Labu untuk menziarahi Puteri Neng Mas isteri kepada Long Pandak yang juga merupakan adik kepada Long Deraman, Raja Legeh dan sepupu kepada Long Ghafar.

Long Pandak berserta para pembesar telah keluar memburu ketika Long Ghafar dan Long Yunus tiba di Kota tersebut dan mereka telah disambut sendiri oleh Puteri Neng Mas. Sebagai anak raja, pastilah mereka mengenakan pakaian bangsawan yang lengkap, lagipun pada masa tersebut mereka dalam perjalanan diplomasi untuk mengahadap Sultan Terengganu.

Puteri Neng Mas tertarik dengan kain Cindai yang dipakai oleh Long Ghafar dan meminta untuk dipinjam dengan tujuan untuk membuat kain cindai dengan corak yang sama seperti yang dipakai oleh Long Ghafar, kain yang dipakainya itu bernama Kain Cindai Cepa Melaka. Tidak lama selepas itu, Long Ghafar dan Long Yunus telah berangkat ke Terengganu. Sekembali Long Pandak dari perburuan, dia telah terpandang kain cindai yang ditinggalkan oleh Long Ghafar dan murka serta menuduh isterinya itu telah melakukan zina dengan Long Ghafar. Tidak dapat menahan kemarahan, Long Pandak telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada isterinya itu.

Tidak cukup dengan itu, Long Pandak telah mengarahkan orang untuk membelah perut dan menggantung jenazah Puteri Neng Mas diatas gajah pemberian Legeh kepada beliau yang bernama Neng Malai dan dilepaskan gajah itu berjalan menuju ke Legeh.

Perang
Gajah tersebut telah berjalan semalaman dengan mengusung jenazah Puteri Neng Mas dan ia hanya berhenti di kediaman Raja Legeh. Kehadiran gajah dengan jenazah itu mengejutkan Long Deraman, Raja Legeh dan bertambah nurka melihatkan apa yang dibawa oleh gajah itu. Berita kematian Neng Mas juga telah diketahui oleh Long Ghafar dan Long Yunus di Terengganu dan mereka serta merta pula ke Reman.

Kematian  Puteri Neng Mas harus dibalas, dan tidak bertangguh, Long Deraman telah mengetuai askar dari Legeh, manakala Long Ghafar memimpin tentera dari Reman. Akhirnya gabungan Reman dan Legeh telah menyerang Kota Kubang Labu. Dalam serangan ini, Long Pandak telah mangkat terkena tikaman daripada Long Ghafar.

Serangan gabungan ini semata-mata mencari keadilan terhadap kematian Puteri Neng Mas dan bukan serangan untuk menakluk Kota Kubang Labu. Setelah Long Pandak mangkat, Long Muhammad, Raja Muda pada masa tersebut telah diamanahkan untuk mentadbir Kota Kubang Labu dan berjanji akan berlaku adil dan saksama kepada penduduk di Kota Senang dan Kota Teras di Jembal. Amanat tersebut disahut oleh Long Muhammad.

Aman
Setelah berakhir perang tersebut, Long Ghafar dan Long Yunus ke Terengganu, Long Deraman pula pulang semula ke Legeh. Long Muhammad pula memerintah di Kota Kubang Labu namun suasa aman ini tidak bertahan lama. Long Muhammad telah pecah amanah dan melanggar janji beliau. Hal ini mencetuskan satu lagi siri peperangan di Kota Kubang Labu....

Kedudukan Kota Kubang Labu di Wakaf Bharu, Tumpat.


Bacaan Lain Tentang Perang Kota Kubang Labu 1

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...