SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday 23 January 2015

Kelantan Dalam Perang Dengan Terengganu - Bahagian 2

Pendahuluan
Bahagian pertama kita telah menyoroti tentang pengelibatan Terengganu dalam pertikaian Long Yunus dengan Long Deraman. Pada masa itu Terengganu diterajui oleh Sultan Mansur 1, Long Yunus pada masa tersebut mendapatkan naungan Terengganu untuk mengembalikan haknya keatas Kota Kubang Labu yang telah dirampas oleh iparnya, Long Deraman dengan membunuh ayahandanya Long Sulaiman. Maklumat yang disampaikan dalam bahagian pertama merujuk kepada Rekod Terengganu dan terdapat percanggahan yang agak ketara dengan Rekod Kelantan. Bagaimanapun terdapat persamaan antara kedua-dua rekod ini berkenaan tarikh pemerintahan Long Yunus di Kelantan. Perbezaan yang jelas adalah pengelibatan yang meluas Long Pandak dalam Rekod Terengganu. Itu tidaklah menjadi masalah besar untuk kita melihat perbezaan kedua-dua rekod ini kerana ia dihasilkan untuk mengangkat martabat negeri masing-masing, kita menyoroti kisah tersebut untuk pengetahuan dan mengilap sinar sejarah Kelantan.

Pada bahagian kedua ini, kita akan cuba mengenal pasti punca perlantikan Tengku Muhammad sebagai pengganti Long Mansur serta pengunduran Long Muhammad ke Hulu Kelantan. Ini kerana dalam Rekod Kelantan tidak dihuraikan dengan jelas berkenaan punca terjadi perkara tersebut, kita hanya mengetahui Kelantan dan Terengganu berperang, kalah dan menang semula seterusnya Long Muhammad telah ditabalkan sebagai Sultan Muhammad I.

Pertabalan Yang diPertuan Kelantan
Catatan dalam Rekod Kelantan hanya menyatakan secara umum Tengku Muhammad telah berkahwin dengan Che Ku Tuan Nawi, puteri Long Yunus dan setelah Long Yunus mangkat pada 1794, Tengku Muhammad ini telah ditabal sebagai Yang diPertuan Kelantan dan ia membangkitkan kemarahan dikalangan perwaris Long Yunus lain hingga menyebabkan penentangan.

Rekod Terengganu pula menyatakan Long Yunus telah mengadap Sultan Mansur I untuk menabalkan Tengku Muhammad sebagai Yang diPertuan Kelantan dan ia diperekanankan oleh Sultan Terengganu itu. Kemudian, Long Yunus telah menjodohkan puterinya, Che Ku Wan Teh dengan Tengku Muhammad. Pada 1794, Sultan Terengganu telah mengadakan adat istiadat diRaja untuk mempertabalkan puteranya itu sebagai Yang diPertuan Kelantan, pada tahun tersebut juga dicatatkan Long Yunus telah mangkat dan pemerintahan Yang diPertuan Kelantan, Tengku Muhammad telah diteruskan serta dibantu oleh putera-putera Long Yunus. Sultan Mansur I juga telah mangkat pada tahun yang sama dan tempatnya digantikan oleh Sultan Zainal Abidin II pada 1795.

Dalam hal ini Rekod Kelanta dan Terengganu sependapat di mana, putera-putera Long Yunus pada asasnya tidak dapat menerima pertabalan Yang diPertuan Kelantan daripada kesultanan Terengganu, kerana mereka juga adalah perwaris yang lebih berhak. Mereka tidak menzahirkan perasaan sebenar ketika ayahanda mereka masih hidup dan menurut keputusan yang dilakukan oleh almarhum Long Yunus serta turut memendamkan perasaan, sehinggalah Sultan Zainal Abidin ditabalkan menjadi Sultan Terengganu.

Bibit perseteruan antara putera-putera Long Yunus dengan Tengku Muhammad, Yang diPertuan Kelantan bermula apabila mereka ingkar kepada arahan Tengku Muhammad supaya mengerjakan urusan perkahwinan puterinya dengan putera Sultan Zainal Abidin II. Perkara tersebut menjadi semakin melarat dan berlanjutan hingga 21 hari, hinggalah tercetusnya kejadian tembak menembak antara orang-orang Long Muhammad dari arah Pulau Sabar, dengan Saiyed Akil wakil Terengganu yang membawa perutusan perkahwinan. Kemuncaknya, perahu kenaikkan Tengku Cik Muda, salah seorang Puteri Sultan Zainal Abidin II telah ditembak hingga menyebabkan kematian seorang awak-awak dalam perahu tersebut dan mencederakan Wan Muhammad Kebor yang sedang mengemudi perahu. Kejadian ini telah membatalkan Istiadat perkahwinan itu dan mereka telah pulang semula ke Kuala Terengganu.

Sultan Zainal Abidin II telah murka dengan peristiwa tersebut, baginda telah menyiapkan angkatan perang serta mendapatkan bantuan daripada Patani yang ketika itu diterajui oleh Datuk Long Ismail. Serangan dilancarkan dari arah Laut yang diterajui oleh Encik Yim Losong dan turut disertai oleh Sultan Zainal Abidin II, serangan dari arah darat pula diketuai oleh Encik Udin Serada, Penghulu Bahar Serada, Penghulu Diman, Pak Sulung Dolah dan Penghulu Sofi Pertang. Encik Yim yang menaiki perahu Bujang Seribu telah tiba di Kelantan dan berlindung di Pulau Ketitir, Sungai Pinang serta menunggu askar Terengganu yang menyerang dari arah darat.

Pasukan askar yang berjalan kaki dari Terengganu terlebih dahulu melancarkan serangan, pada mulanya mereka menyerang Kubu Semerak selama 21 hari, kemudian Kubu Limau Nipis, Kubu Kenandeh, Kubu Keluang Taras dan akhirnya mereka sampai di Sungai Kelantan serta bergabung dengang angkatan laut yang disertai oleh Sultan Zainal Abidin II. Setelah itu berlaku pertempuran besar antara Terengganu dan Kelantan, setelah bertempur buat beberapa hari, Long Muhammad akhirnya mengutus surat bahawa beliau akan mengundur ke Hulu dan memohon agar pengundurannnya tidak dikejar.

Serangan Balas Long Muhammad 
Selepas pengunduran Long Muhammad ke Hulu Kelantan, Sultan Zainal Abidin II dan orang-orang Terengganu berada di Kelantan selama 5 bulan, mereka merampas segala harta benda rakyat Kelantan dan melakukan kemusnahan sekitar Kelantan. Setelah itu Sultan Terengganu telah berangkat pulang dan meninggalkan Tengku Muhammad, Tengku Andak dan beberapa pembesar serta hamba sahaya untuk menanti kedatangan Datuk Long Ismail dari Patani yang akan membantu mereka menyerang kedudukan Long Muhammad di Hulu Kelantan.

Angkatan gabungan Terengganu dan Patani ini telah menyerang beberapa kubu di Pasir Mas, dan tidak berapa lama selepas itu, Long Muhammad yang mendapat bantuan daripada orang-orang China dari Pulai telah melancarkan serangan balas. Serangan ini tidak dapat ditahan oleh angkatan Long Ismail serta orang-orang Terengganu dan mereka telah berundur. Kekuatan angkatan Long Muhammad kali ini menyebabkan Tengku Muhammad, Yang diPertuan Kelantan serta Tengku Andak lari menyelamatkan diri ke Terengganu.

Kejayaan yang diperoleh Long Muhammad ini membolehkan beliau ditabalkan sebagai Sultan Muhammad I dan untuk menguatkan kedaulatannya, baginda telah bernaung di bawah Siam. Kekalahan Tengku Muhammad ternyata memberi tamparan hebat buat Terengganu, dan mereka cuba menawan kembali Kelantan setahun selepas itu, namun angkatan itu telah berpatah balik setelah tiba di Besut ekoran Sultan Zainal Abidin telah gering. Perdamaian antara kedua-dua negeri telah dapat dicapai akhirnya dan ia kekal sebagaimana kita kecapi pada hari ini. 

Kesimpulan
Tempoh masa selama lima tahun dari 1794 - 1800 merupakan tempoh yang paling runcing dalam sejarah Kelantan, kerana ia adalah tempoh pengukuhan legasi pemerintah Kelantan daripada keturunan Long Yunus. Kemelut di Kelantan tidak tamat selepas kejayaan Sultan Muhammad I berjaya mengekalkan susur galur Langkasuka dalam pemerintahan di Kelantan, berikutan baginda mangkat tanpa perwaris yang sah. Keadaan ini telah mengundang tercetusnya Perang Saudara antara 4 penjuru dari kalangan Bangsawan Kelantan.

Ikuti artikel seterusnya bertajuk Kelantan Dalam Perang Saudara 1832.


Sungai Kelantan : Saksi jatuh bangun Kerajaan yang pernah wujud di Kelantan dan cabaran yang dihadapi semua Pemerintah dan Sultan-Sultan nya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...