SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday 22 January 2015

Kelantan Dalam Perang Dengan Terengganu : Bahagian 1

Pendahuluan
Jelas tercatat dalam rekod sejarah berkenaan penguasaan Terengganu ke atas Kelantan. Hal ini dikukuhkan dengan perihal Tengku Muhammad ibni Sultan Mansur I (Sultan Terengganu) telah ditabal menjadi Yang diPertuan Kelantan selepas kemangkatan YM Long Yunus pada 1794. Tidak banyak rekod Kelantan yang menjelaskan dengan terperinci perihal bagaimana Tengku Muhammad boleh dilantik menjadi penguasa di Kelantan, sedangkan almarhum Long Yunus mempunyai ramai perwaris.

Penentangan Long Muhammad, anak kepada Long Yunus memang direkod dengan jelas dimana baginda telah mengetuai satu angkatan yang dibantu oleh orang China dari arah pedalaman Kelantan. Serangan tersebut berjaya mengundurkan Tengku Muhammad dan membolehkan Long Muhammad menaiki takhta Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad I

Rekod Terengganu seperti Sejarah Darul Iman hingga 1337H = 1918H, tulisan Dato' Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (MISBAHA) memperihal perkara ini seawal dari pengelibatan Kerajaan Terengganu dalam pertikaian Long Yunus terhadap kedudukannya di Kota Kubang Labu, justeru, pada artikel ini kami akan memperincikan tentang Perang Kota Kubang Labu hinggalah Perang Kelantan dan Terengganu mengikut Rekod Terengganu.

Sultan Mansur I
Baginda merupakan Sultan Terengganu yang kedua selepasa Sultan Zainal Abidin I, semasa pemerintahan baginda, Terengganu memainkan peranan penting dalam Sejarah Melayu kerana terlibat dalam persaingan antara orang Melayu dengan orang Bugis dan berada di Riau selama 14 tahun. Baginda ditabalkan sebagai Sultan Terengganu pada 1733 ketika berusia 7 tahun.

Pada masa tersebut, Long Yunus berada di Terengganu dalam usaha menyelamatkan diri setelah peristiwa berdarah yang berlaku antara Long Deraman, iparnya dengan ayahandnya Long Sulaiman di Kota Jembal. Ketika itu, Long Yunus bersahabat baik dengan  Ku Tana Wangsa, beliau juga telah berjasa kepada Ku Tana Wangsa kerana berjaya mendamaikan persengketaan dengan Bendahara Hussien Bukit Puteri. Mengenang jasa sahabatnya itu, Ku Tana Wangsa telah mengahwinkan puterinya yang bernama Tuan Jumat, kesempatan ini diambil oleh Long Yunus untuk berkongsi masalah yang dihadapi di Kelantan dan meminta bantuan serta pertolongan.

Semasa perbincangan tersebut berlangsung, Ku Tana Wangsa ditakdirkan meninggal dunia meninggalkan empat orang putera iaitu Tun Tahir Temenggung, Engku Muda, Tun Jamal, dan Tun Sulaiman. Perihal Long Yunus itu mendapat perhatian daripada Tun Tahir Temenggung dan beliau telah bermesyuarat dengan tiga saudara yang lain, setelah itu kata sepakat telah dicapai dan mereka sanggup membantu Long Mansur untuk melanggar Kelantan. Tun Tahir telah membawa perkhabaran tersebut kepada pengetahuan Sultan Mansur I dan baginda telah memperkenankannya dengan melengkapkan angkatan tentera sejumlah 300 orang mengikut jalan darat dan 100 buah perahu mengikut jalan air.

Angkatan ini berlepas dari Kuala Terengganu pada 1 Julai 1771 dan Sultan Mansur I juga turut serta. Mereka telah singgah di Pulau Perhentian selama 40 hari kerana laut bergelora dan tiba musim "Tutup Kuala". Memandangkan keadaan ini, Tun Tahir Temenggung telah mencadangkan Sultan Mansur I supaya baginda berangkat balik ke Terengganu dan menyerahkan hal ehwal Kelantan kepada beliau. Cadangan tersebut diterima oleh baginda dan belayar pulang ke Terengganu, Tun Tahir Temenggung meneruskan perjalanan ke Kelantan.

Ketika angkatan Terengganu tiba di Kelantan, mereka melihat terdapat kubu dibina sepanjang pantai, untuk mengelakkan berlaku pertumpahan darah yang banyak, muslihat akal digunakan. Engku Muda dan Tuk Limbat telah naik ke Darat, manakala Tun Tahir Temenggung menanti di perahu. Setibanya di darat, Engku Muda dengan ditemani Tuk Limbat telah mengunjungi semua ketua kubu dan memberi hadiah berupa pakaian serta memberi peringatan agar tidak menyerang angkatan di laut kerana itu adalah angkatan Yang diPertuan Besar pemerintah Kelantan. Taktik itu berjaya, angkatan Terengganu telah berjaya memasuki kuala terus mudik, setelah itu berlaku pertempuran yang hebat antara angkatan Kelantan dengan Terengganu. Kelantan ditakdirkan tewas dalam serangan mengejut yang dilakukan oleh Terengganu, ia telah memaksa Long Pandak melarikan diri ke Legeh, setelah itu Tun Tahir Temenggung telah melantik Long Yunus sebagai pemerintah Kelantan.

Long Pandak Menyerang Balas
Di Legeh, Long Pandak telah mendapatkan perlindungan daripada Long Deraman, sepupunya yang juga Raja Legeh. Mendapat perkhabaran serangan Terengganu itu, beliau telah menyiap angkatan perang untuk menyerang balas. Selepas angkatan Terengganu pulang, Long Deraman telah melancarkan serangan ke atas Long Yunus. Serangan yang dilancarkan tidak mampu ditahan oleh Long Yunus dan beliau telah melarikan ke Terengganu.

Ketika Long Deraman berjaya menduduki Kelantan semula, ia telah mengeluarkan kata-kata sindiran dengan maksud sebagai pengecut kepada angkatan Terengganu. Sindiran tersebut telah sampai kepada pengetahuan Sultan Mansur di Terengganu dan baginda telah murka serta menitahkan agar disiapakan angkatan perang untuk menangkis sindiran Long Deraman itu. Satu angkatan perang dengan kekuatan 80 perahu dan 3000 tentera dan sebelum itu, baginda telah mengarahkan Tun Tahir Temenggung menghantar surat berkenaan hal tersebut kepada Long Deraman.

Persiapan Terengganu diketahui oleh Long Deraman, tanpa berlengah dia juga segera menyiapkan angkatan untuk menyerang Terengganu pula, serta mengarahkan orang-orangnya untuk menghantar surat kepada Sultan Mansur yang berbunyi "Jikalau Sultan Terengganu datang mengambil Kelantan, beliau pun akan datang mengambil Terengganu pula." 

Bagaikan tiada apa yang boleh menghalang peperangan ini, maka kedua-dua pihak telah menggerakkan angkatan masing-masing. Sampailah angkatan Terengganu di Penarik, dan tercetus kegemparan dikalangan orang Penarik kerana mereka mengatakan ada ribuan orang berjalan kaki datang dari arah Kelantan. Sultan Mansur mengarahkan Wan Muhammad Setiu untuk mengesahkan berita tersebut dan beliau telah dimaklumkan angkatan tersebut adalah dari Kelantan, serentak dengan itu dia telah meminta untuk bertemu dengan Long Deraman yang mengetuai angkatan Kelantan itu.

Long Deraman telah meminta Wan Muhammad untuk membawanya mengadap Sultan Mansur, tanpa bertangguh mereka berdua telah menaiki perahu, kenderaan yang dinaiki oleh Sultan untuk mengadap baginda. Melihat kedatangan Long Deraman itu, Sultan Mansur berasa amat gembira hingga menanggalkan bajunya sendiri dan dikurniakan kepada Long Deraman. Gembira menerima kurniaan baginda Sultan itu, hingga Long Deraman terus memakai pakaian Raja itu, dan terus menyatakan hasratnya untuk terus berada di Kelantan dan mempelawa baginda Sultan untuk tinggal disana buat sekian waktu. Pelawaan itu diterima oleh Sultan Mansur, dan mereka berangkat ke Kelantan menaiki perahu diRaja itu. Angkatan tersebut pada mulanya adalah angkatan perang bertukar menjadi Angkatan Diplomasi antara Sultan Mansur I dengan Long Deraman, dan Sultan Terengganu itu sempat berada di Kelantan selama 40 hari, baginda juga telah berkahwin dengan Nang Senik anak Long di Pulau Melor dan dari perkahwinan itu telah melahirkan Tengku Muhammad. 

Ketika Sultan Mansur dalam persiapan untuk pulang ke Kuala Terengganu, baginda telah mencadangkan kepada Long Deraman agar Long Yunus dijadikan seorang pemerintah di Kelantan dan ia dipersetujui oleh Long Deraman, dengan Long Yunus dilantik sebaga Raja Muda Kelantan. Keputusan itu diterima baik oleh semua pihak dan Sultan Mansur berangkat pulang ke Terengganu, manakala, Long Deraman berangkat pulang ke Legeh dan tinggalah Long Yunus dan Long Pandak sama-sama memerintah Kelantan.

Kelantan Bergolak Kembali
Selang beberapa lama, Long Deraman telah mangkat dengan ura-ura beliau menderita terkena taji ayam sabungnya, ada juga menyatakan bahawa Long Deraman mangkat menderita terkena lembing dalam perperangan dengan Long Yunus yang berlaku pada 1762. Long Pandak telah dipanggil pulang ke Legeh untuk menggantikan tempat Long Deraman, dan Long Yunus menjadi pemerintah tunggal di Kelantan.

Ekoran fitnah, Long Yunus telah dipanggil pulang oleh Sultan Mansur ke Terengganu dan pemerintahan Kelantan diserah kepada Long Pandak. Mempunyai pengaruh di Kelantan dan Legeh, Long Pandak merasakan beliau berkuasa dan tidak lagi mahu menurut perintah dari Terengganu. Hal ini jelas mencabar kekuasaan Terengganu dan dijadikan alasan untuk menyerang kedudukan Long Pandak di Kota Kubang Labu. Angkatan Terengganu berjaya mengalahkan Long Pandak dan mengembalikan pemerintahan Kelantan kepada Long Yunus. Serangan ini dicatatkan berlaku pada 1762 sama dengan rekod Kelantan.

Dari rekod Terengganu ini, jelas Long Yunus telah memerintah Kelantan namun terikat dengan perjanjian dengan Terengganu. Sekian lama memerintah, Long Yunus telah mengadap Sultan Mansur untuk memohon  agar Tengku Muhammad, putera baginda ditabal sebagai Raja Kelantan. Setelah itu Tengku Muhammad telah dikahwinkan oleh Long Yunus dengan puterinya yang bernama Che Ku Wan Teh.

Beberapa tahun kemudian, Sultan Mansur telah membawa Tengku Muhammad, isterinya dan puterinya Tengku Sulong ke Kelantan untuk di tabal sebagai Yang diPertuan Kelantan. Melalui adat istiadat diRaja, Tengku Muhammad telah di tabal sebagai Yang diPertuan Kelantan, isterinya Che Ku Wan Teh ditabal sebagai Che Puan Kelantan, peristiwa ini berlaku pada 1794. Selepas pertabalan ini selesai, Long Yunus ditakdirkan mangkat dan tinggalah Kelantan kekal diperintah Yang diPertuan dan dibantu oleh anak-anak Long Yunus seperti Long Mamat, Long Zainal, Long Tan, Long Ismail, Long Muda dan Long Yusuf.

Kesimpulan
Pada bahagian pertama ini jelas dapat kita lihat bahawa rekod Terengganu mencatatkan Long Yunus adalah proksi Terengganu untuk menguasai Kelantan. Hal ini dapat dilihat sebagai satu langkah Long Yunus untuk mengembalikan hak beliau selaku perwaris yang sah setelah peristiwa pembunuhan ayahandanya Long Sulaiman oleh Long Deraman. Memang jelas catatan Terengganu ini membesarkan pengaruh mereka di Kelantan, bagaimanapun kekuasaan Terengganu pada zaman Sultan Mansur I ini tidak dapat kita tolak kerana kerajaan Terengganu turut memainkan peranan penting dalam Sejarah Melayu kerana ia turut terlibat dalam pertikaian antara kuasa Melayu dan kuasa Bugis di Nusantara.

Selain itu, banyak rekod Melayu seperti Tuhfat An-Nafis, Hikayat Siak, Hikayat Johor dan Hikayat Pahang mencatatkan peranan Terengganu terutama ketika zaman gabungan Kerajaan Melayu Johor-Pahang-Riau-Lingga dimana Terenggnu pada masa tersebut lebih kepada proksi Johor. Hal ini dapat dijadikan sebagai sokongan kenapa Terengganu begitu ampuh dan kental untuk mencampuri pertelagahan yang berlaku di Kelantan.

Bahagian 2 nanti kami akan huraikan pertikaian antara Long Muhammad, putera Long Yunus dengan Tengku Muhammad, Yang diPertuan Kelantan hingga beliau dapat ditabalkan sebagai Sultan Muhammad 1.




Rujukan:
  • Sejarah Darul Iman Hingga 1337H = 1918
  • Tuhfat an-Nafis
  • Hikayat Siak
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Terengganu

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...