SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 15 December 2014

[Siri 43] Pengisahan Sejarah Kelantan : Paduka Sri Sultan Yahya Petra 1960-1979



Pendahuluan
Maklumat mengenai baginda telah kami ulas sedikt dalam siri pengisahan sejarah Kelantan yang lepas. Baginda merupakan putera yang kedua alMarhum Sultan Ibrahim Petra dan putera sulung yang dikisahkan dalam Siri 42 telah meletakkan jawatan sebagai Raja Muda dan seterusnya membuka ruang kepada Baginda untuk ditabalkan sebagai Tengku Mahkota pada tahun 1948 yang bertindak sebagai pemangku Sultan. 

Latar Belakang
Baginda telah diputerakan pada 10 Disember 1917 di Istana Kota Lama, Kota Bharu. Bondanya bernama YM Che Puan Besar, Cik Embong binti Daud merupakan isteri ketiga alMarhum Sultan Ibrahim Petra. Baginda telah dibesarkan oleh bapa saudaranya yang juga alMarhum Sultan Ismail I yang tidak berputera. Semenjak kecil baginda diasuh oleh Sultan Ismail dengan pendidikan agama. Pada usia 14 tahun, keluarganya telah menghantar baginda untuk menerima pendidikan moden sesuai dengan kedudukan baginda selaku anak bangsawan. Pada waktu itu, ramai kalangan bangsawan menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Francis Light di Pulau Pinang. Baginda berada di sekolah tersebut hingga berumur 18 tahun, sebelum dihantar melanjutkan pelajaran di England oleh Sultan Ismail pada 1934. 

Pentadbir
Pada awalnya, baginda tidak diletakkan pada posisi sebagai pembesar Kelantan atau pemangku Sultan berikutan ketika baginda pula dari England, Kelantan masih diperintah oleh bapa saudaranya yang bertindak selaku bapa angkat iaitu Sultan Ismail. Justeru, baginda telah dipersiapkan sebagai Pegawai Tinggi Kerajaan Negeri Kelantan. 

Pada 21 Julai 1939, baginda telah dianugerahkan gelaran Tengku Temenggong dan Darjah Kerabat yang Sangat diHormati (DK) oleh Sultan Ismail I. Seterusnya baginda telah dilantik menjadi Timbalan Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan antara tahun 1941-1947 dengan Presidennya adalah ayahandanya sendiri iaitu Tengku Ibrahim yang waktu itu belum diletakkan sebagai pengganti Sultan. Antara tugas-tugas lain yang diberikan kepada baginda adalah:

  • Setiausaha Peribadi kepada Sultan Ismail  dari tahun 1943-1944
  • Timbalan Bendahari kepada Perbendaharaan (Kewangan) Negeri 1944-1945
  • Ketua Jajahan Kota Bharu 1945-1948
  • Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1948-1953
Selepas tahun 1953, baginda telah dilantik kepada jawatan Pembesar Istana oleh ayahandanya Sultan Ibrahim sebagai Tengku Bendahara. Tahun 1948 hingga 1960 merupakan tempoh masa darurat yang diisytiharkan oleh Kerajaan ekoran ancaman pengganas Komunis, namun perkara ini tidak menghalang baginda untuk melawat rakyat di serata Kelantan termasuklah di kawasan pendalaman. Dari sini, baginda telah membina imej seorang raja berjiwa rakyat dan mula disayangi oleh rakyat Kelantan pada masa tersebut.

Pertabalan
Baginda telah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan (10 Julai 1960) berikutan kemangkatan ayahandanya alMarhum Sultan Ibrahim Petra pada 9 Julai 1960. Berikutan itu, baginda telah dimasyhurkan sebagai Paduka Sri Sultan Yahya Petra. 6 tahun selepas menjadi Sultan Kelantan, baginda telah dilantik oleh Kerajaan Malaysia sebagai Kolonel Briged Artileri Malaysia.

22 Julai 1970, baginda telah dilantik sebagai Timbalan Yang diPertuan Agong oleh Majlis Raja-Raja, kemudian pada 19 Jun 1975 baginda telah dilantik sebagai Yang diPertuan Agong ke-6 Malaysia di Istana Negara, Kuala Lumpur. Takhta Kelantan pula dipangku oleh anakanda baginda iaitu Duli Yang Maha Mulia Tengku Ismail Petra.

Baginda telah mangkat di Istana Negara pada 29 Mac 1979 ekoran kegagalan fungsi jantung dan jenazahnya disemadikan di Makam diRaja Langgar, Kota Bharu.

Perwaris
Rekod menyatakan bahawa baginda mempunyai 4 orang isteri bagaimanapun hanya dua yang dicatatkan dengan buat pertama kalinya berkahwin pada 4 Jun 1939 di Istana Balai Besar dengan Tengku Zainab binti Tengku Muhammad Petra yang juga merangkap Raja Perempuan Kelantan. Seorang lagi isteri baginda dikenali sebagai Tengku Alexandrian binti Tengku Yusuf. 

Manakala direkodkan tentang zuriat baginda dengan dua orang putera dan lima orang puteri:

  1. Paduka Sri Sultan Ibrahim Petra
  2. Tengku Muhammad Petra
  3. Tengku Merjana
  4. Dato' Tengku Rozan
  5. Dato' Tengku Hajjah Sharifah Salwani
  6. Tengku Rohani
  7. Tengku Minasrul
Kesimpulan
Latar belakang baginda jelas bersih dari hal sosial, semenjak dari kecil baginda telah dibesarkan oleh bapa saudarnya yang juga Sultan Kelantan yang memerintah pada masa tersebut iaitu Sultan Ismail Petra. Setelah usia meningkat remaja, baginda telah dihantar melanjutkan pelajaran di Sekolah Inggeris dan genap berusia 18 tahun, baginda telah dihantar ke UK untuk melanjutkan pelajaran. Sepanjang baginda bergelar pelajar dari kecil hingga usia belia, perkembangan baginda sentiasa dipantau oleh bapa angkatnya itu. Sekembali dari UK, baginda telah diberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam petadbiran Kelantan. 

Jelasnya, baginda sedari awal telah dilatih sebagai seorang pemimpin yang serba boleh. Justeru, pemilihan baginda menggantikan tempat kekandanya yang meletak jawatan sebagai Raja Muda Kelantan adalah satu keputusan yang tepat. Baginda semenjak dari awal terkenal sebagai seorang Raja yang Mesra dengan Rakyat serta disanjungi dan disayangi rakyat seluruh Kelantan.



Wallahualam bis'sawab



Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:

2 comments:

dayangsenandung said...

anakanda2 almarhum sultan yahya petra list yg no.1 dan no.7 minta di teliti semula. T.Kasih

dayangsenandung said...

anakanda2 almarhum sultan yahya petra list yg no.1 dan no.7 minta di teliti semula. T.Kasih

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...