SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday 12 December 2014

[Siri 42] Pengisahan Sejarah Kelantan : Paduka Sri Sultan Ibrahim Petra 1944-1960

Sultan Ibrahim Petra ibni alMarhum Sultan Muhammad IV


Pendahuluan
Baginda Sultan Ismail I mangkat tidak berputera dan tempat baginda telah digantikan oleh adinda baginda iaitu Tengku Ibrahim. Baginda merupakan putera kedua merangkap zuriat yang bongsu kepada alMarhum Sultan Muhammad IV. Selaku kerabat diRaja Kelantan, baginda pada awalnya banyak menjalankan tugas-tugas pentadbiran kerajaan sebagai pembesar, justeru perlantikan baginda menggantikan kekandanya adalah satu langkah yang tepat untuk meneruskan legasi Kesultanan Kelantan. Selain tugas pentadbiran, baginda juga mempunyai hubungan yang akrab dengan Kesultanan lain yang ada di Semenanjung Tanah Melayu pada masa tersebut.

Latarbelakang
Baginda telah diputerakan di Istana Balai Besar, Kota Bharu pada 9 Oktober 1897. Baginda adalah saudara kandung kepada Sultan Ismail I dan dibesarkan sepertimana anak bangsawan yang lain. Pada usia 14 tahun, baginda telah dianugerahkan pangkat Tengku Sri Indera Mahkota oleh ayahandanya, Sultan Muhammad IV pada 22 Jun 1911. Setelah itu, baginda telah bertindak sebagai Pembantu Sultan Kelantan (ADC) sepanjang tempoh 1911-1920.

Ketika Kelantan ditadbir oleh kekandanya Sultan Ismail I, baginda telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi Pengerusi Hal Ehwal Agama dan Adat Istiadat Kelantan dari 1919-1944, selain itu baginda juga telah memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri bermula 1921 hingga 1929. Kemudian baginda telah diperkenankan untuk menjadi Wakil Sultan ke Singapura pada 1942.

Sehari selepas kekandanya mangkat, baginda telah meneruskan legasi Kesultanan Kelantan dengan menduduki kedudukan itu pada 21 June 1944 dan menjalani istiadat kemahkotaan di Istana Balai Besar, Kota Bharu pada 25 Oktober 1944. Kedudukan baginda selaku telah diperakui oleh Kerajaan British dan satu penghormatan kepada baginda apabila Kerajaan British menjemput baginda untuk menghadiri istiadat pertabalan Queen Elizabeth II di London pada 1953.

Baginda ditakdirkan mempunyai ramai isteri, namun yang diangkat sebagai Sultanah pastinya isteri yang paling tua yakni Sultanah Zainab binti Tengku Zainal Abidin yang juga digelar sebagai Raja Perempuan Kelantan. Baginda telah dikurniakan seramai 12 orang putera dan 14 orang puteri dari perkongsian dengan isteri-isteri baginda seperti berikut:

Putera

  1. Tengku Tan Sri Abdullah, Tengku Besar Indera Petra
  2. Tengku Yahya Petra, Tengku Mahkota
  3. Tengku Zain al-Mulk [Zainal Mulok], Tengku Temenggung
  4. Tengku Iskandar Shah, Tengku Sri Laksamana
  5. Dato' Tengku Feissal, Tengku Kaya Perkasa
  6. Tengku Badrul Alam
  7. Tengku Abdul Halim, Tengku Sri Laksamana
  8. Tengku Rustam
  9. Tengku Syibli Shah
  10. Tengku Nizam
  11. Tengku Shariman
  12. Tengku Aman Shah

Puteri

  1. Tengku Thuraya
  2. Tengku Wuk
  3. Tengku Zubaidah
  4. Tengku Nurul Aini
  5. Tengku Mastura
  6. Tengku Mariam
  7. Tengku Petri
  8. Dato' Tengku Farida
  9. Tengku Rashida
  10. Tengku Anis
  11. Tengku Maznah
  12. Tengku Latifah Hanam
  13. Tengku Farida Hanim
  14. Dato' Tengku Hajjah Fatihah
Baginda telah ditakdirkan menghadapi barah otak dan telah mangkat ekoran barah tersebut pada 9 Julai 1960 di Istana Seri Cemerlang, Kota Bharu. Jenazah baginda telah dimakamkan di makam diRaja Langgar. 

Konflik
Sewaktu baginda Sultan Ibrahim Petra ditabalkan sebagai Sultan Kelantan pada 1944, baginda telah memperkenankan melantik putera sulung baginda iaitu, Tengku Abdullah sebagai Raja Muda Kelantan. Tercetus konflik baginda Sultan dengan putera sulung ini hingga baginda telah melucutkan gelaran Raja Muda. Sumber menyatakan bahawa Tengku Abdullah lebih dikenali sebagai Tengku Indera Petra telah menerima pendidikan asas hingga kepada pendidikan tinggi di London. Justeru, kehidupannya agak sosial. Tidak jelas akan punca pergeseran Tengku Idera Petra dengan ayahandanya itu, yang nyata baginda Sultan Ibrahim Petra telah melucutkan jawatan Raja Muda yang disandang oleh Tengku Indera Petra dan beliau telah menulis surat perletakkan jawatan pada 25 November 1947 dengan syarat beliau dan keturunannya tidak akan menuntut takhta untuk menjadi raja.

Tengku Abdullah, Tengku Indera Petra merupakan putera sulung baginda dengan Sultanah Zainab, manakala Tengku Yahya Petra adalah putera kedua baginda dengan isteri ketiganya iaitu Y.M. Che Puan Besar, Cik Embong binti Daud yang dikahwini oleh baginda pada 1916. Setelah Tengku Indera Petra meletakkan jawatannya sebagi Raja Muda, baginda Sultan Ibrahim Petra telah melantik Tengku Yahya Petra sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 1 Februari 1948.

Kelantan telah menyertai gagasan Persekutuan Tanah Melayu dan telah mendapat kemerdekaan daripada British bersama-sama 12 negeri Melayu yang lain dan mula menerima pemerintahan Kerajaan Demokrasi Berparlimen. Serentak dengan itu, Tengku Indera Petra telah menceburi bidang politik dengan menjadi Ahli Parlimen Ulu Kelantan sepanjang pengelibatan beliau dalam politik, kerajaan Malaysia telah melantik beliau menjadi duta ke Sri Lanka, Jepun dan Pakistan serta dilantik memangku jawatan Yang diPertua Besar Negeri Pulau Pinang. 

Pada tahun 1939, beliau telah berkahwin dengan seorang wanita Inggeris bernama Annette Edith Olive Wheller di London, tetapi mereka bercerai pada 10 tahun kemudian juga di London, kemudian Tengku Indera Petra telah berkahwin buat kali kedua dengan Puan Sri Zainab bt. Ali. Beliau telah mangkat pada 1983, salah seorang anak beliau yang bernama Tengku Ibrahim Petra  cuba untuk menuntut takhta Kelantan, tetapi percubaan tersebut telah menemui kegagalan.


Kiri : Tengku Tan Sri Abdullah, Tengku Besar Indra Petra
Kanan : Tengku Yahya Petra, Tengku Mahkota
Sumber : Tengku Syah.blogspot


Kesimpulan
Baginda Sultan Ibrahim Petra melalui fasa perkembangan pemerintahan yang luar biasa kerana baginda sempat melalui pentadbiran British, pendudukan Jepun dan menjalani proses Kemerdekaan Tanah Melayu khususnya Kelantan. Sewaktu gerakkan Anti Malayan Union, baginda telah menghadapi Gelombang Kebangkitan Rakyat yang digemblengkan oleh Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan. Baginda telah menghadapi kebangkitan Rakyat Kelatan secara total yang telah membuat rapat umum bagi menjelaskan pendirian rakyat kepada baginda bahawa Kelantan sudah tidak memerlukan Inggeris lagi. 

Tuntutan rakyat ini telah didengari dan dirasai oleh baginda, justeru baginda telah menganjurkan rapat umum kedua di Istana Seri Cemerlang untuk mendokong aspirasi rakyat Kelantan yang pada waktu menginginkan pemerintahan sendiri dan bebas seterusnya merdeka dari British. Baginda adalah antara Sultan yang berada di Kelab diRaja Selangor ketika British mahu mengumumkan pembentukan Malayan Union, namun Raja-Raja Melayu telah sepakat untuk memulaukan istiadat tersebut, dan 31 Ogos 1957 Tanah Melayu telah merdeka.



Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...