SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday 5 December 2014

[Siri 40] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Muhammad IV 1899-1920

KDYMM Paduka Sri Sultan Muhammad IV
Pendahuluan
Baginda Sultan Muhammad IV adalah putera sulung kepada Sultan Muhammad III, dalam siri pengisahan yang ke-39 kita telah dimaklumkan bahawa, setelah Sultan Muhammad III mangkat, tempat beliau telah digantikan oleh adik baginda, Sultan Mansur. Telah disimpulkan pada siri yang ke-39 itu bahawa semasa pemerintahan Sultan Mansur, pembesar-pembesar istana adalah sangat berpengaruh hingga boleh menentukan siapa yang berhak menaiki takhta kerajaan negeri. 

Sekalipun para pembesar istana Kelantan pada masa tersebut boleh mencorakkan pentadbiran negeri, perlu kita soroti, akan keputusan yang dibuat oleh para pembesar tersebut dan tindakan mereka bukanlah dilakukan secara membuta tuli, cuma keputusan yang mereka buat itu pastilah tidak dapat memuaskan semua pihak. 

Latar Belakang
Baginda dilahirkan pada 23 Mei 1870 di Kota Bharu, merupakan anak sulung kepada alMarhum Sultan Muhammad III dengan nama Long Senik adalah nama asal baginda, bondanya bernama Tengku Sofia binti Tengku Long Puteh merupakan isteri pertama Sultan Muhammad III yang juga dikenali sebagai Tengku Ampuan Kelantan, beliau merupakan seorang bangsawan dari kerabat diRaja Patani. Ketika berusia 20 tahun, baginda telah dikurniakan gelaran Tengku Sri Indera Mahkota pada 23 September 1890 sewaktu Kelantan diperintah oleh ayahandanya Sultan Muhammad III. 

Semasa kelantan dipimpin oleh Sultan Mansur yang juga bapa saudaranya, baginda telah berkenan untuk melantik beliau sebagai Raja Muda pada 25 Julai 1898. Sejurus selepas kemangkatan Sultan Mansur pada Jun 1899, para pembesar Kelantan telah sepakat untuk menabalkan beliau sebagai Raja dan Yang diPertuan Kelantan, pada tahun yang sama juga Raja Siam turut menganugerahkan gelaran Phyaya Bpakdi Sri Sultan Muhammad Ratna Nuchit Siti Santun Wiwangsa Pia Kelantan. Baginda tidak memakai gelaran Sultan, hinggalah Perjanjian Bangkok 1909 termetrai. Satu klausa dalam perjanjian tersebut, kedudukan baginda seabagai pemerintah Kelantan akan diperakui oleh Kerajaan British, ini berikutan perjanjian tersebut adalah satu proses perpindahan kuasa dan sempadan pengaruh antara British dan Siam yang mula berkuatkuasa pada 26 Oktober 1910.

Pada 22 Jun 1911, baginda telah dimasyhurkan sebagai Duli Yang Maha Mulia, Paduka Sri Baginda Sultan Muhammad IV dengan diiringi dengan 17 das tembakan meriam. Sewaktu beliau memerintah Kelantan sebenarnya sedang mengorak langkah untuk menjadi negeri yang pesat perkembangan ekonominya seperti di Pulau Pinang, Perak dan Johor, namun ianya tergendala apabila British campurtangan dengan termetrainya Perjanjian Bangkok 1909. Baginda telah mangkat pada 23 Disember 1920 dengan meninggalkan Lima orang putera dan empat orang puteri. Jasad baginda telah dimakamkan di Makam diRaja Langgar, Kota Bharu.

Penyelesaian Kemelut Istana
Istana Kelantan sentiasa berada dalam keadaan bergolak semenjak kemangkatan Sri Paduka Sultan Long Yunus, ia menyaksikan Istana Kelantan dikuasai oleh Terengganu dan berlaku kebangkitan dikalangan putera-putera Long Yunus. Selepas pengaruh Terengganu disingkirkan, Long Muhammad yang merupakan putera kelima Long Yunus telah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan dengan dimasyhurkan sebagai Sultan Muhammad I. Selepas baginda mangkat, berlaku Perang Saudara antara Raja Kampung Laut yang disokong Long Jenal dengan Long Senik Mulut Merah yang akhirnya memihak kepada Long Senik yang ditabalkan sebagai Sultan Muhammad II. Setelah baginda mangkat, tempatnya digantikan oleh Sultan Ahmad, ada menyebut baginda adalah menantu kepada Sultan Muhammad I dan Tengku Long Abdul Jaafar sepatutnya menaiki takhta.

Putera baginda yang bernama Long Kundur telah ditabalkan menjadi Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad III, baginda hanya sempat berada diatas takhta selama 8 bulan dan mangkat secara mengejut, menyebabkan adindnya, Long Mansur ditabalkan oleh para pembesar dan dimasyhurkan sebagai Sultan Mansur. Pada waktu pemerintahan Sultan Muhammad III dan Sultan Mansur, para pembesar mempunyai pengaruh tersendiri ekoran pengikut mereka yang ramai dan mereka yang lebih berkuasa dalam menentukan siapa yang sewajarnya menaiki takhta Kelantan. Justeru, baginda Sultan Muhammad IV telah ditabalkan menjadi Sultan Kelantan menggantikan bapa saudaranya itu.

Kemelut Istana Kelantan telah baginda selesaikan dengan menyusun semula Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan melantik kerabat dan pembesar negeri yang sebelum ini tidak diberi sebarang kuasa dalam pentadbiran negeri. Anggota Majlis Mesyuarat tersebut adalah seperti berikut:

  • Raja Kelantan [Tuan Long Senik bin Sultan Muhammad III]
  • Raja Muda Kelantan [Tengku Long Zainal Abidin bin Sultan Muhammad III]
  • Tengku Sri Indra [Tengku Ismail bin Tuan Long Senik]
  • Tengku Petra Dalam Kebun [Tengku Abdul Jaafar bin Sultan Muhammad II]
  • Tengku Chik Penambang [Tengku Chik bin Tengku Bongsu bin Temenggong Long Tan bin Sultan Long Yunus]
  • Tengku Sri Maharaja [Tengku Mahmud bin Sultan Ahmad]
  • Tengku Petra Semerak [Tengku Long Idris bin Sultan Ahmad]
  • Tengku Sri Pekerma Raja [Tengku Long Sulaiman bin Sultan Ahmad]
  • Tengku Temenggong [Tengku Long Salleh bin Sultan Ahmad]
  • Tengku Besar Indera Raja [Tengku Besar Tuan Yussof bin Sultan Ahmad]
  • Tengku Bendahara [Tengku Chik Tuan Abdullah bin Sultan Ahmad]
  • Dato Menteri [Nik Hassan bin Mohd Salleh]
  • Mufti

Campurtangan Kuasa Asing
Semenjak Sultan Muhammad IV menaiki takhta, baginda telah cuba untuk melonjakkan Kelantan setaraf dengan Perak, Pulau Pinang dan Johor serta Selangor dengan mengusahakan perlombongan emas dan bijih timah di kawasan Ulu Kelantan. Baginda telah menyerahkan konsesi perlombongan kepada Duff Development Company seawal tahun 1900. Hal ini jelas mencabar kedudukan British di Semenanjung Tanah Melayu dan melihat tindakan R.W. Duff yang juga pemilik syarikat tersebut membelakangi Kerajaan British selaku penguasa ekonomi Semenanjung pada waktu itu.

Sebelum itu, Kerajaan Siam adalah penaung kepada Kesultanan Kelantan semenjak Sultan Muhammad I ditabal sebagai Sultan lagi. Siam kerap campur tangan dalam kemelut Istana Kelantan selepas kemangkatan Sultan Muhammad I berikutan pihak yang bertelagah kerap meminta bantuan daripada Siam, ini termasuklah Long Senik sendiri. Baginda telah meminta bantuan daripada Siam sebelum baginda ditabalkan sebagai Sultan Kelantan, Siam telah memperkenan permintaan Long Senik dengan menghantar seorang persuruhjaya dan sebuah kapal perang serta askar ke Kota Bharu.

Pergolakkan di Patani juga melibatkan pihak British, kerana kerabat Patani yang sedang berusaha membebaskan pengaruh Siam turut meminta bantuan daripada British yang berpengkalan di Singapura. Selain itu, British juga mempunyai kepentingan di Kemboja dan ini mengancam kedudukan Siam di wilayah naungan mereka di Selatan dan Utara. Keadaan ini menyebabkan satu perjanjian telah dimetrai antara British dan Siam pada 1826 yang dikenali sebagai Perjanjian Burney 1826.

Pengaruh British mula meresap masuk ke Istana Kelantan selepas kemangkatan Sultan Ahamad, namun kegiatan mereka pada masa tersebut tidak terlalu menonjol berikutan mereka masih terikat dengan Perjanjian Burney. Pada 1902, British dan Siam telah menandatangani perjanjian baru yang dikenali sebagai Perjanjian British Siam 1902, Baginda Sultan Muhammad IV telah dipaksa menandatangani perjanjian tersebut bagi membolehkan Siam melantik seorang penasihat berbangsa British di Kelantan. Pada masa tersebut, Kelantan masih dibawah naungan Siam atas keistimewaan perjanjian 1902 itu, seorang penasihat British mewakili Siam telah dihantar ke Kelantan.

Pada 25 Julai 1903, W.A. Graham sebagai Penasihat Kelantan, H.W.Thomson sebagai Penolong Penasihat dan Mom Chao Charoon sebagai Pesuruh Jaya Monthon Nakorn Sri Tammarat tiba di Kelantan untuk memulakan Sistem Penasihat. W.A. Graham juga merupakan seorang penulis buku yang berjudul Kelantan : A Handbook yang mencatatkan keadaan Kelantan dari pelbagai aspek, buku tersebut diterbitkan pada tahun 1908 dan ia memuatkan grafik dan data lengkap tentang Kelantan untuk dekad 1900. Hingga kini buku tersebut menjadi rujukan utama buat pengamat sejarah Kelantan kerana ia merakam pelbagai gambar yang menggambarkan keadaan sosioekonomi penduduk Kelantan pada masa tersebut.

Semasa pemerintahan Sultan Muhammad IV juga, tercetus juga satu peperangan antara yang paling diingati oleh rakyat Kelantan iaitu Perang Dalam Pupoh 1915 yang dipimpin oleh Tok Janggut dalam menentang kezaliman undang-undang British selain menyedari pengaruh buruk yang dibawa oleh British pada waktu itu.

Warisan
Baginda merupakan pemerintah Kelantan yang mula membina infrastruktur moden seperti jambatan, jalan raya, jalan keretapi, pasar, hospital dan Pejabat Pos untuk meningkatkan mobiliti dan komunikasi dengan negeri-negeri lain. Baginda telah meninggalkan 5 orang putera dan 4 orang puteri seperti berikut:

  1. Tengku Ismail
  2. Tengku Ibrahim
  3. Tengku Muhammad
  4. Tengku Mahmud alHaj
  5. Tengku Muhammad
  6. Tengku Hajjah Embong
  7. Tengku Chik
  8. Tengku Zubaidah
  9. Tengku Zainab

Kesimpulan
Baginda Sultan Muhammad IV adalah seorang pemerintah yang menghadapi pelbagai ancaman dan mengalami transisi dramatik antara Siam dan British. Kelantan diperlakukan seperti catur, disusun merata tempat mengikut kesesuaian dua kuasa besar ini. Baginda juga menghadapi ancaman dari dalaman iaitu kemelut perebutan takhta yang berlarutan.

Begitulah takdir sebuah negeri yang dikenali Kelantan, namun ia tetap kukuh terpahat dalam peta dengan sejarah yang tersendiri. Walaupun sejarahnya gemilang, namun perwaris-perwarisnya yang sentiasa berperang sesama sendiri telah menyebabkan negeri ini hanya harum dalam sejarah silam yang dikenali seluruh pengembara dari serata dunia. Mahu atau tidak, beginilah ianya dicatat. Kita sewajarnya mengambil iktibar akan apa yang telah berlalu untuk kita elakkan ianya berlaku lagi di kemudian hari.




Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.


Rujukan:


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...