SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday 3 October 2014

[Siri 9] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Mansur Shah 1467-1521

Pendahuluan
Pengisahan [Siri 8] telah kami kisahkan mengenai Raja Kemas Jiwa yang telah menukar nama Chermin kepada Majapahit II. Umum jarang mengetahui perkara ini, apa yang kami sampaikan juga berdasarkan kepada sumber sejarah tempatan yang tidak mendapat tempat pada peringkat perdana. Kami kisahkan demi mencerahkan sejarah negeri untuk kita sama-sama kita cerna. Seterusnya membuka jalan keluar kepada kita untuk mencintai Negeri Kelantan ini.

Maklumat berkenaan Raja Kemas Jiwa sebenarnya dibangkang oleh kebanyakkan pengkaji sejarah malah ada yang mendakwa maklumat tersebut sebagai menokok tambah. Bagaimanapun, sesuatu yang kita tidak ketahui atau tidak jelas sumbernya memang akan dipandang sepi, tambahan sejarah juga ditulis oleh pihak yang menang.

Setelah Majapahit II dikuasai oleh Ayuthya, Raja Kemas jiwa yang juga dimasyhurkan dengan gelaran Sultan Iskandar Shah terpaksa menyelamatkan diri ke Champa dan mangkat disana. Puteranya, Raja Mansur telah ditabalkan menjadi Raja Kelantan-Majapahit.

Illustrasi: Sultan Mahmud Syah 1488-1511
Raja Mansur
Semasa serangan Siam ke atas Majapahit II (Kelantan), Kesultanan Melaka makin kuat, dan mereka telah menguasai Majapahit. Ancaman utama mereka pada waktu itu adalah Kerajaan Ayuthia yang dirujuk sebagai Siam. 

Royal Ark.net tidak menyatakan dengan tepat tarikh pertabalan Raja Mansur ini, tetapi ramai yang mengandaikan setelah kemangkatan Sultan Iskandar pada 1467, Raja Mansur telah dilantik menjadi Raja Kelantan-Majapahit dan dimasyhurkan dengan gelaran Sultan Mansur Syah pada 1467. Kekuasaan Siam pada waktu ini juga memuncak, mereka tidak jemu menyerang kedudukan Melaka di Semenanjung. 

Dalam Sulalatus Salatin ada menyebut tentang Kelantan ini. Disebut bahawa negeri ini dahulunya sangat besar dan makmur hingga menarik perhatian Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka pada waktu itu untuk menakluk negeri ini. 

Hal ini benar-benar berlaku, dimana Kelantan pada waktu itu diperintah oleh Sultan Mansur Syah. Pada 1499, Tun Mutahir yang bergelar Seri Maharaja telah mengetuai angkatan bersenjata Melaka ke Kelantan untuk melancarkan ekspedisi tersebut.

Berbagai kisah dinyatakan, tapi yang paling popular adalah Sultan Mansur Shah telah akur dengan Melaka tanpa pertumpahan darah, dan sebagai keakuran tersebut, beliau telah diberi hak memerintah Kelantan dan gelaran Sultan masih dikekalkan.

Angkatan Melaka telah menawan putera puteri Sultan Mansur sebagai jaminan Kelantan tidak akan bangkit menentang Melaka, antara yang ditawan adalah:
  • Raja Gombak 
  • Puteri Onang Kening
  • Puteri Cau pa
  • Puteri Cau Pauk (Chubak)
Dalam perjalanan pulang ke Melaka, Raja Gombak berjaya melepaskan diri dan kembali ke Kelantan, hanya puteri Onang Kening, Puteri Chu Pa dan Puteri Chubak telah berjaya di tawan. Mereka telah dihadapkan kepada Sultan Mahmud. Melihatkan keanggunan dan kecantikan Puteri Onang Kening, Sultan Mahmud telah memperisterikan puteri tersebut.

Peristiwa perkahwinan antara Puteri Onang Kening dan Sultan Mahmud ini berlangsung pada 1500 iaitu 11 tahun sebelum Melaka tewas kepada Portugis. Dari perkahwinan ini mereka telah dikurniakan 3 orang zuriat iaitu Raja Mah, Raja Muzzafar & Raja Dewi. Raja Muzzafar inilah yang menurunkan keturunan Sultan Perak hingga ke hari ini.


Kesimpulan
Semasa Sultan Mansur Shah memerintah Kelantan-Majapahit, negeri ini dalam keadaan kurang stabil kerana menghadapi ancaman daripada Utara dan Selatan iaitu daripada Siam dan juga dari Melaka. Sedangkan Majapahit pada waktu itu sudah lemah malah telah diatasi oleh Melaka. 

Rakyat Kelantan pada waktu itu rata-rata sudah memeluk agama Islam, begitu juga Melaka. Kesultanan mereka adalah Kesultanan Islam dan amat berlainan dengan Kerajaan Ayuthya yang beragama Budha. Justeru, adalah lebih penting bernaung kepada kuasa Islam setidak-tidak akidah rakyat dan negeri masih terpelihara daripada dijarah bangsa kafir. 

Justeru, tidak menghairankan jika Kelantan akur kepada Melaka. Faktor utama adalah Kelantan pada waktu tidak stabil dari segi ekonomi dan politik dan menjadi satu keberkatan bernaung di bawah Melaka walaupun Sultan Mahmud dikenali sebagai yang agressif dan ambitious dalam pemerintahannya.

Takdir Allah s.w.t. tiada siapa yang tahu namun, dari kisah Sultan Mansur akur ke Melaka dan puterinya ditawan menjadi satu keberkatan, kerana melalui perkahwinan antara Sultan Mahmud dengan Puteri Onang Kening telah membenihkan Kesultanan Perak hingga kini. 

Kesultanan Kelantan telah diteruskan oleh puteranya iaitu Raja Gombak.

Wallahualam bis'sawab


Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...