SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday 21 October 2014

[Siri 19] Pengisahan Sejarah Kelantan : Zuriat Wan Bo Tri-Tri

Pendahuluan
Sewaktu Sultan Abu Abdullah/Wan Bo Tri Tri ditabalkan sebagai Raja Campa pada 1471, Kelantan berada dalam keadaan stabil diperintah oleh Sultan Mansur Shah (1467-1521). Diperkirakan, beliau ditabalkan sebagai Sultan Kelantan dengan sokongan Sayyid Nurul Alam/Sultan Qunbul dan Sultan Melaka selepas kemangkatan Sultan Iskandar Syah di Campa yang menyelamatkan diri dari serangan Ayuthya. Pencerobohan ini telah berjaya di atasi dengan campuran bala tentera Melayu dari Chermin-Kelantan, Melaka dan Acheh. Kejayaan ini telah menyebabkan Sultan Melaka pada waktu itu menyokong perlantikan Sayyid Ali Nurul Alam sebagai Raja Patani dengan gelaran Sultan Qunbul dan Raja Mansur sebagai Raja Kelantan pada 1467.

Wan Bo Tri Tri merupakan anak kepada Sayyid Ali Nurul Alam dan pada waktu itu beliau sudah berada di Campa, kerana beliau dilahir dan dibesarkan disana. Perbincangan yang lalu telah dinyatakan bahawa beliau telah ditabalkan sebagai Raja Campa pada 1471. Beliau tidak lama di atas takhta, 7 tahun selepas itu yakni pada 1478, beliau telah menyerahkan kerajaan Campa kepada dua orang anak saudaranya dan menyahut seruan dakwah di Tanah Jawa. 

Salasilah Raja-Raja Kelantan menyebut Wan Bo Tri Tri ini mempunyai dua orang anak iaitu:
  • Ahmad Fatahillah beliau juga dikenali sebagai Petalehan dan Sharif Hidayatollah salah seoarng Wali Songo (9) di Pulau Jawa dan merupakan leluhur Raja-Raja Banten di Jawa Barat dan Palembang di Sumatera.
  • Abul Muzaffar Waliyullah beliau juga dikenali sebagai Wan Abul Muzaffar beliaulah yang memulakan pemberian gelaran Nik kepada keturunannya.
Bagaimanapun berdasarkan selidikan lanjut kami dapati Wan Bo mempunyai tiga orang Isteri dan jumlah anak beliau kesemuanya berjumlah 5 orang, seperti berikut:
  1. Zuriat Wan Bo Tri Tri dengan Nyai Rarasantang (Sharifah Mudaim) binti Prabu Siliwangi (Raja Padjajaran):
     - Syarif Hidayatullah (Sunang Gunung Jati)
     - Syarif Nurullah (Raja Champa)
  2. Zuriat Wan Bo Tri Tri dengan Ratu Asyiqah binti Maulana Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel) :
    - Raden Fatah (Sultan Demak)
    - Syarif Babullah (Sultan Ternate)
  3. Zuriat Wan Bo Tri Tri dengan Puteri Raja Champa (Raja Chandranekalawa) :
    - Abul Muzaffar Waliyullah 
Bagaimanapun untuk pengisahan ini kami hanya akan mengisahkan dua daripada zuriat Wan Bo Tri Tri sebagaimana yang tercatat dalam Salasilah Raja-Raja Kelantan yang diatas. 

Ahmad Fatahillah
Sumber keturunan Raja-Raja Kelantan menyatakan beliau dikenali sebagai Petalahen dan Syarif Hidayatollah dan hanya menytakan beliau sebagai salah seorang daripada Wali Songo di Tanah Jawa.

Beliau sebenarnya lebih terkenal dengan gelaran Sunan Gunung Jati kerana usaha dakwah beliau tertumpu di Gunung Jati, Kabupaten Ceribon, Jawa Barat pada hari ini. Beliau bersama barisan Wali Songo yang lain menjatuhkan kerajaan Hindu Majapahit dan mendirikan Kerajaan Islam Demak. Beliau juga merupakan leluhur kepada Kesultanan Ceribon. Nama beliau juga tercatat antara orang yang berperanan dalam menundukkan dan mengusir Portugis dari menduduki Sunda Kelapa. Beliau juga dinyatakan sebagai satu-satunya dari Wali Songo yang menjalankan dakwah dengan kuasa politik iaitu melalui Kesultanan Ceribon.

Wan Bo Tri Tri telah menghantar puteranya ini dari usia yang muda untuk menuntut Ilmu di Patani. Semenjak dari itu beliau telah merantau ke pelbagai negara untuk mendalami ilmu dan mengenal dunia sebelum menginjak kaki dalam struktur politik nusantara yang pada masa itu mula diancam tentera salib dari Eropah. Beliau telah meninggal dunia dalam usia 118 tahun pada 1568 dan dikebumikan di Ceribon.

Lukisan : Ahmad Fatahillah@Syarif Hidayatollah@Sunan Gunung Jati


Abul Muzaffar Waliyullah
Pengkajian penulis dalam pengisahan ini 80% bergantung kepada sumber dalam talian. Penyediaan maklumat berkenaan Abul Muzaffar Waliyullah atau juga dikenali sebagai Wan Abul Muzaffar amat terhad sekali. Sepanjang penyelidikan hanya nama dan keturunan beliau serta sumbangan beliau yang dapat dikesan. Iaitu, beliau dinyatakan sebagai anak kepada Wan Bo Tri Tri dengan anak perempaun Raja Champa, iaitu Chandranekalawa. 

Pada 1471, Dai Viet dari Annam telah menceroboh Campa di Visaya dan telah menawan Raja Chandranekalawa dan dibawa ke Annam. Wan Bo Tri Tri pula telah membawa rakyat Campa yang terselamat berundur ke Pandurangga. Tidak lama kemudian Raja Campa yang ditawan itu telah mangkat dan kesepatakan antara pembesar dan rakyat Campa, Wan Bo Tri Tri telah ditabalkan sebagai Sultan Wan Abu Abdullah. Sestengah pendapat menyatakan beliau bernama Sultan Wan Abdullah Umdatuddin.

Sebelum serangan itu lagi, Wan Bo Tri Tri ini telah berkahwin dengan anak perempaun Raja Campa, dan dikurniakan seoran anak lelaki yang bernama Wan Abul Mustafa. Dinyatakan, beliau adalah orang yang mempelopori keturunan "Nik" di Kelantan dan Patani. Gelaran ini diberi sebagai memperingati akan keturunan keluarga mereka daripada Kesultanan Islam Campa serta para Ulama.

Kesimpulan
Sultan Abu Abdullah Umdatuddin mempunyai 5 orang zuriat yang hebat dan ada antaranya muncul sebagai Sultan dan Wali Allah selain daripada ulama dan pendakwah. Paling menonjol adalah Ahmad Fatahillah atau Sharif Hidayatollah kerana beliau akhirnya dikenali sebagai Sunan Gunung Jati yang muncul sebagai penegak Kesultanan Islam Demak dan leluhur kepada Kesultanan Ceribon selain daripada itu beliau juga terkenal sebagai pahlawan Melayu yang ulung kerana berjaya mengundurkan angkatan Portugis daripada menduduki Sunda Kelapa. 3 orang lagi putera beliau telah muncul sebagai Sultan Ternate, Sultan Demak dan Raja Campa.


Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan :
  • http://mqtkahlulbait.blogspot.nl/2012/01/wali-songo-wali-sembilan.html
  • http://id.wikipedia.org/wiki/Sunan_Gunung_Jati
  • http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/02/salasilah-wali-songo.html
  • http://mutaqinqubra96.blogspot.nl/2012_03_15_archive.html
  • http://www.royalark.net/Malaysia/kelant2.htm
  • http://www.carigold.com/portal/forums/archive/index.php/t-182394.html
  • Salasilah Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...