SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday 8 October 2014

[Siri 13] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Ibrahim 1561-1597

Pendahuluan

Pada siri ke 12 kami telah kisahkan berkenaan Sultan Mansur Shah. Kerajaan Kelantan pada waktu itu dinyatakan tidak begitu menonjol ekoran pengaruh Patani yang lebih kuat pada masa itu. Pemerintahan Sultan Mansur juga tidak dinyatakan dengan jelas, seolah pertabalan beliau hanyalah untuk meneruskan legasi Dinasti Chermin sebagai pengasas Kesultanan Patani itu sendiri.

Setelah kemangkatan Sultan Mansur Shah pada 1561, Dinasti Chermin ini diteruskan oleh perwaris beliau iaitu Sultan Ibrahim. Pemerintahan Sultan Ibrahim ini penuh liku, dimana beliau telah ditabalkan sebanyak dua kali sebagai Sultan Kelantan.

Pemerintahan
Jangkamasa 1500-1600 adalah masa yang penting dalam Kerajaan Melayu di Nusantara. Semua Kerajaan Melayu pada waktu itu menghadapi ancaman daripada imperialis barat yang diketuai oleh Belanda-Portugal-Sepanyol serta menghadapi ancaman sedia ada iaitu pencerobohan daripada Siam

Kemungkinan besar pada waktu itu kerajaan-kerajaan ini cuba bergabung dan membentuk satu persekutuan yang kukuh, contohnya Kerajaan Patani Besar mereka menjadi benteng pertahanan untuk mengekang ancaman daripada Siam, manakala pada waktu itu wujud juga satu persekutuan baru yang dikenali sebagai Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga yang cuba mengembalikan kegemilangan Melaka dan mempertahankan Alam Melayu daripada imperialis barat

Dalam rekod sejarah Kelantan, Sultan Ibrahim telah ditabalkan sebagai pengganti kepada Sultan Mansur untuk merajai Kelantan pada 1561. Bagaimanapun pada tahun 1565, beliau seolah-olah melepaskan takhtanya kepada Raja Umar bin Raja Ahmad untuk menjadi Raja Kelantan. 

Raja Umar ini dinyatakan cucu kepada Raja Muhammad, Raja Terengganu yang mempunyai pertalian darah dengan Kesultanan Melaka. Persoalan yang tidak dapat kami rungkaikan adalah kenapa Sultan Ibrahim boleh meyerahkan takhta Kerajaan Kelantan kepada Raja Umar. 

Memang tidak dinafikan, Raja Umar ini mempunyai pertalian darah dengan Kesultanan Kelantan, namun perkara penggantian takhta ini tidak dapat diterima sebenarnya. Hal ini, mungkin boleh diterjemahkan tentang keikhlasan Sultan Ibrahim bahawa beliau tidak memandang akan pangkat dan darjat. Ia juga boleh dinyatakan bahawa takhta Kelantan pada waktu itu tidak mendapat perhatian ekoran terdapat banyak campurtangan daripada mereka yang bukan daripada Kerabat Kelantan.

Beliau berasal dari Pahang, merupakan putera kepada Raja Ahmad dan cucu kepada Raja Muhammad, Raja Terengganu. Raja Ahmad ini merupakan zuriat daripada perkahwinan pertama dengan Raja Kemala Dewi binti alMarhum Sultan Mahmud Shah

Beliau kemudiannya turun dari takhta Kelantan pada 1570 apabila putera beliau, Raja Abdul Jalil ditabalkan menjadi Sultan Johor yang ke-4 oleh Sultan Muzaffar Shah dan dimasyhurkan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Shah 1, Raja Umar pula dilantik sebagai Tengko Mahkota Johor.

1571, beliau telah menaiki takhta Johor menggantikan anakandanya sebagai Sultan Johor ke-5 dengan gelaran Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II dan memerintah Johor hingga 1597.

Setelah Raja Umar turun dari takhta, Sultan Ibrahim Shah kembali ditabal menjadi Raja Kelantan, dan pemerintahan berjalan seperti biasa. Sultan Ibrahim telah mangkat pada 1597 dan beliau takhta beliau telah digantikan putera beliau Paduka Sri Sultan Muhammad.

Kesimpulan

Semasa pemerintahan Sultan Ibrahim, Kelantan mempunyai hubungan yang akrab dengan Kerajaan Johor yang juga warisan daripada Sultan Mahmud Shah. Boleh dikatakan Kelantan dan Johor pada waktu itu mempunyai nasib yang sama, cuma Johor lebih banyak ancaman berbanding dengan Kelantan. Kerabat Johor waktu itu berada dalam keadaan kacau bilau kerana diserang oleh Acheh dan Portugis, memaksa Kerajaan Johor sentiasa berpindah randah. Setelah kemangkatan Sultan Alauddin, Sultan Mansur iaitu kekanda Raja Umar telah ditabal sebagai Sultan Johor, pada waktu inilah Raja Umar dilantik sebagai Raja Kelantan.


Jata Kerajaan Johor Lama

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:

  • https://www.google.nl/webhp?sourceid=chrome-instant&ion=1&espv=2&ie=UTF-8#q=Sultan%20Umar%20Bin%20Raja%20Ahmad
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Abdul_Jalil_Shah_I
  • http://www.carigold.com/portal/forums/archive/index.php/t-479752.html
  • http://www.royalark.net/Malaysia/malacca4.htm
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Kelantan
  • http://royalkesang.blogspot.nl/
  • Salasilah Raja-Raja Kelantan
  • Royal Ark.net

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...