SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Sunday 31 August 2014

EDISI KHAS MERDEKA - Kebangkitan Jihad Ulama ke Atas British di Kelantan

Oleh : Admin Kouru Amei


Peranan ulama dalam membangkitkan perang jihad dan melancarkan perang sabil ke atas penjajah kuffar di Tanah Melayu yang terhenti selepas kekalahan Pattani pada 1876 kembali memuncak pada awal 1900. Tiga pemberontakan yang dipimpin oleh ulama di Pahang, Singapura, Kelantan dan Terengganu mempunyai hubungan yang rapat dengan pengaruh Othmaniyah. Sama ada kerana semangat jihad yang dibangkitkan oleh Sheikhul Islam Othmaniyah atau kerana Pan-Islamisme, yang penting ke semua kebangkitan ini berlaku atas nama jihad, dipimpin oleh ulama dan bertujuan mempertahankan Islam Othmaniyah.

Beberapa ketika selepas tercetusnya pemberontakan Dahagi di Singapura, telah tersebar berita bahawa British akan kalah dalam peperangan menentang kerajaan Othmaniyah di wilayah-wilayah umat Islam di seluruh dunia. Agen perisikan Jerman memainkan peranan untuk mempengaruhi pemikiran rakyat Kelantan. Dalam masa yang sama, kepulangan seorang ulama-hulubalang dari Mekah setelah hamper sepuluh tahun belajar di Mekah telah mengubah kesedaran tersebut kepada tindakan yang lebih agresif untuk mengalahkan British. British menguasai Kelantan melalui Penasihatnya semenjak 1903, dan diserahkan oleh Siam sepenuhnya pada 1909 melalui Perjanjian Bangkok.

Tok Janggut atau Haji Mat Hassan Munas sebelum ke Mekah adalah hulubalang dalam Istana Jeram. Beliau adalah sepupu kepada Tuan Guru Haji Ismail yang bertanggungjawab membawanya ke Mekah dan dikatakan berguru dengan Sheikh Ahmad al-Fathani. Melalui gurunya, beliau didedahkan tentang Khilafah Othmaniyah dan diarahkan berjihad untuk memerdekakan Kelantan daripada penjajah kuffar. Kepulangan beliau ke Kelantan pada 1909, iaitu hampir serentak dengan kepulangan Tok Kenali selepas kematian Sheikh Ahmad. Seperti mana Tok Kenali juga yang terlibat dalam pentadbiran kerajaan bersama Datuk Nik Mahmud dan Dato’ Laksamana, Tok Janggut terlibat dalam pentadbiran kerajaan Jeram.

Perubahan sistem pentadbiran jajahan pada 1904 dan kehadiran wakil British, En. Latiff dari Singapura sebagai Ketua Jajahan menjejaskan kedudukan Engku Besar Jeram sebagai pembesar tradisional. Sebelum ke Mekah, Tok Janggut dikatakan mempunyai hubungan dengan pejuang Pahang yang berlindung di Kelantan seperti Mat Kilau, Tok Gajah dan Dato’ Bahaman. Ini memberikan inspirasi kepada Tok Janggut tentang kesan campur tangan kuasa asing di Kelantan, seperti mana jatuhnya Pattani di Siam pada 1786. Berkebetulan pada Ogos 1914 telah berlaku ketegangan memuncak antara Britain, Perancis dan Russia di satu pihak dengan Jerman, Austria dan kerajaan Othmaniyah di satu pihak yang membawa kepada Perang Dunia Pertama.

Britain telah memaksa Sultan Kelantan supaya menyokong mereka dan mendoakan supaya mereka beroleh kemenangan. “Haji dan lebai” juga mesti berdoa supaya mereka untuk Britain dan tindakan akan diambil jika arahan tidak dipatuhi. Arahan aneh ini dilihat oleh Tok Janggut sebagai satu penghinaan kepada ulama dan umat Islam. Dalam masa yang sama Sultan Kelantan dipaksa untuk melarang rakyat Kelantan menyebelahi, menyokong atau simpati kepada kerajaan Othmaniyah. Mereka mengeluarkan propaganda bahawa jika kerajaan Othmaniyah mengalahkan British, seluruh bumi Islam termasuk Mekah akan dikuasai Jerman. Ini bertentangan dengan gagasan khilafah yang pernah dibuat oleh Sheikh Ahmad supaya semua kerajaan Melayu Islam bernaung di bawah kerajaan Othmaniyah.

Fatwa Jihadi Ekbar Fardi Ayn ke atas British oleh Sheikhul Islam Othmaniyah atas alasan kerajaan Othmaniyah berkewajipan mempertahankan setiap inci bumi orang islam telah mempengaruhi penduduk Kelantan dengan cepat. British bertindak balas melarang akhbar-akhbar menyiarkan berita peperangan British dengan kerajaan Othmaniyah. Pemberontakan Dahagi di Singapura turut mempercepatkan kebangkitan rakyat Kelantan, dan faktor-faktor seperti masalah cukai, kehadiran En. Latiff dan pembunuhan Sarjan Che Wan hanya menyegerakan penentangan sahaja.

Bagi menyahut seruan jihad Othmaniyah itu, pada 23 April 1915, Tok Janggut bersama pengikutnya telah berpakat dan menyusun strategi untuk menyerang British di Pasir Puteh. Serentak dengan itu, En. Latiff bagi pihak British telah menghantar Sarjan Che Wan Sulaiman bersama dua mata-mat untuk menangkap Tok Janggut, tetatpi gagal. Sebaliknya Sarjan Che Wan terbunuh. En. Latiff gagal mendapat bantuan daripada Kweng (Penghulu) Gaal dan Kok Berangan untuk menyekat kemaraan Tok Janggut sehingga memaksa En. Latiff berundur ke Kota Bharu. Ini membolehkan Tok Janggut menguasai Pasir Puteh dengan mudah. Engku Jeram Besar diangkat sebagai Raja, manakala Tok Janggut menjadi Perdana Menteri.

Esoknya, British menerima laporan kejatuhan Pasir Puteh ke tangan Tok Janggut dan mendapatkan bantuan tentera dari Singapura. Beberapa pengikut Tok Janggut seperti Mat Pak Ya dan Mat Saman bersiap untuk menyerang Kuala Krai. Sebagai langkah berjaga-jaga, Sultan Mohammed Ke-IV telah menghantar Dato’ Menteri Mohd Hassan Salleh dan Dato’ Nik Mahmud ke Pasir Puteh untuk berunding. Tok Janggut telah memberi tahu bahawa mereka bukan menentang Sultan Kelantan, tetapi menolak penjajahan British. Walau bagaimanapun, atas paksaan British, Sultan Kelantan mengisytiharkan Tok Janggut sebagai penderhaka dan memerintah supaya Tok Janggut di tangkap.

Pada 3 Mei 1915, 239 tentera British dari Singapura bertolak ke Kelantan dan tiba pada 5 Mei dan mengarahkan kapal HMS Calmus berkawal di Kuala Semerak kerana dibimbangi Tok Janggut mendapat bantuan kerajaan Othmaniyah atau Jerman. 50 askar berkawal di Tanah Merah dan Gunong, dan pada 8 Mei 1915 askar British mula bergerak ke Pasir Puteh. Sultan Kelantan pula dipaksa mengeluarkan arahan menyerah diri kepada Sultan atau British. Sebaliknya, di Pasir Puteh, Tok Janggut dan Engku Besar Jeram bersama pengikutnya menolak penyerahan dan mengisytiharkan jihad dan perang sabil ke atas British.

Pada 24 Mei 1915, British telah menggeledah rumah Khatib Abu Bakar kerana dipercayai menjadi tempat perlindungan Tok Janggut. Khatib Abu Bakar menjadi syahid pertama dalam gerakan jihad ini. Kemudian askar British dan penyokong Tok Janggut bertempur di Kampung Dalam Pupoh, dekat Jeram. Dalam pertempuran ini, Tok Janggut bersama Tok Abbas dan Tok Hussein telah syahid. Engku Besar Jeram berjaya melarikan diri ke Reman, manakala 14 lagi pengikut Tok Janggut telah diburu oleh polis.

Pemberontakan Tok Janggut kerana sentiment jihad ini seolah-olah tidak mendapat dukungan daripada murid-murid Sheikh Ahmad yang berpengaruh di Kelantan seperti Tok Kenali, Dato’ Nik Mahmud dan Dato’ Laksamana. Sebenarnya, tekanan British ke atas Sultan Kelantan telah menghilangkan peranan mereka. Lebih-lebih lagi Sultan Kelantan terpaksa bertindak ke atas Engku Besar Jeram ekoran pergolakan dalam istana apabila Tengku Bendahara dan Tengku Chik Penambang yang sedang menuntut takhta menyokong Engku Besar Jeram. Keadaan ini memaksa Sultan Mohammed Ke-IV untuk bertindak ke atas Tok Janggut, sekaligus menutup ruang untuk ulama menyokong gerakan jihad ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...