SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday 19 December 2013

PATANI-KELANTAN : EPISOD 9 – THESAPHIBAN SEBAB UTAMA PEMBERONTAKAN

Pendahuluan
Ketika zaman Tengku Sulaiman menjadi Raja Patani, Kerajaan Siam telah merangka rancangan transformasi pentadbiran dengan merombak wilayah-wilayah yang berada dalam kawalannya setelah satu perjanjian antara British-Perancis pada 15 Januari 1896 yang mana butiran perjanjian itu mengiktiraf kedaulatan Siam di Lembah Sungai Mekong.

Chulalongkorn yang waktu itu menjadi Raja Siam telah mengambil peluang tersebut merombak semula pentadbiran wilayah Siam yang dikenali sebagai Thesaphiban. Rombakan pentadbiran ini dilaksanakan tanpa pengetahuan Raja-Raja Melayu dalam wilayah Siam dan Gabenor-Gabenor Wilayah. Tindakan ini telah dipersoalkan oleh Raja-Raja Melayu kerana mereka kehilangan kedaulatan sebagai pemerintah negeri dan ini berlainan dengan etika pemerintahan yang terdahulu.

Tengku Sulaiman sebagai wakil Raja-Raja Melayu dalam wilayah Siam telah menghantar bantahan ke Bangkok tetapi tidak dilayan,dan pegawai-pegawai kerajaan Siam waktu itu telah mencampuri pentabdbiran wilayah dan paling menjejaskan ialah tentang pemungutan cukai.

Tengku Abdul Kadir Kamaruddin
Hinggalah Tengku Abdul Kadir Kamaruddin ditabalkan menjadi  Raja Patani menggantikan Tengku Sulaiman yang mangkat pada 1878. Karenah birokrasi yang dikenakan keatas Patani membuatkan segalanya menjadi lambat dan banyak urusan terbantut. Kerana tidak dihiraukan oleh Siam,Tengku Abdul Kadir cuba menarik perhatian Gabenor Negeri Selat waktu itu, Sir Frank Swettenham, namun maklum balas yang beliau terima tidak memuaskan. Hingga pada satu saat, beliau dan Raja-Raja Melayu yang lain telah bersetuju untuk melancarkan pemberontakan bersenjata pada akhir Oktober 1901 dengan harapan apabila beliau melancarkan pemberontakan di selatan, Perancis di Kemboja dan kawasan Indochina akan menyerang Timur Siam menyebabkan Siam memindahkan askarnya ke sana, seterusnya akan membebaskan negeri-negeri Melayu merdeka dari cengkaman Siam.

Nasihat Bekas Ketua Polis Negeri-Negeri Selat
Bagi melaksanakan rancangan tersebut, Tengku Abdul Kadir telah meminta R.W. Duff, bekas Ketua Polis Negeri-Negeri Selat membantunya merancang pemberontakan itu dengan justifikasi pemberontakan itu untuk membebaskan rakyat Patani daripada penindasan Siam, walaupun beliau mengakui pertuanan Siam keatas wilayahnya asalkan pentadbirannya tidak menindas rakyat. Tengku Abdul Kadir juga menyatakan bahawa beliau mempunyai surat kuasa sebagai Raja Patani tetapi tidak ada kuasa untuk memerintah, surat aduan mengenai perkara tersebut tidak pernah dibalas oleh pihak Siam dan ini membuatkan Tengku Abdul Kadir syak bahawa wakil Siam tidak menyampaikan surat beliau kepada Raja Siam hingga membuatkan perkara tersebut berlarutan.

Duff tidak bersimpati dengan Siam, tetapi beliau tidak bersetuju sekiranya Patani menyelesaikan masalah itu dengan cara kekerasan kerana ia akan menyebabkan ribuan orang akan terkorban dan juga menjejaskan kepentingan Inggeris di rantau tersebut. 

Duff menasihati Tengku Abdul Kadir supaya berusaha menyelesaikan perkara tersebut secara rundingan dan bukan dengan kekerasan. Beliau telah mencadangkan agar Tengku Abdul Kadir menghubungi mana-mana peguam dan membuat petisyen di kemukakan kepada kerajaan British. Dalam petisyen tersebut, Tengku Abdul Kadir perlu menerangkan perasaan tidak puas hati beliau disamping mengakui hak pertuanan Siam ke atas Patani. Tengku Abdul Kadir juga hendaklah merayu kepada kerajaan British agar menyampaikan aduannya kepada kerajaan Siam.

Frank Swettenham
13 Ogos 1901, Tengku Abdul Kadir telah menghantar surat rayuan melalui syarikat guamannya kepada Frank Swettenham untuk disampaikan kepada kerajaan British di London. Raja Saiburi, Raja Reman dan Raja Legeh turut menghantar surat rayuan kepada Swettenham dengan maksud yang sama. Dalam petisyen tersebut, rayuan Tengku Abdul Kadir berkisar tentang dua perkara utama iaitu campur tangan dan tindakan melulu pegawai kerajaan Siam dalam urusan negeri Patani, iaitu dalam masalah pengutipan cukai dan hal ehwal agama Islam. Baginda Tengku Abdul Kadir juga menegaskan bahawa tindakan pegawai-pegawai Siam itu bertentangan dengan prinsip perhubungan dua hala  antara negeri yang digariskan oleh Chulalongkorn sebagaimana yang terkandung dalam surat pengesahan perlantikannya sebagai Raja Patani. Baginda juga mengingatkan sekiranya dasar penindasan dan kezaliman kerajaan Siam itu berterusan, ia akan menyebabkan Negeri-Negeri Melayu Utara akan bergolak. Akhir sekali, sekiranya rayuan itu tidak dipertimbangkan oleh Kerajaan British, baginda akan meminta bantuan daripada kuasa besar yang lain.

Petisyen daripada Tengku Abdul Kadir itu mendapat perhatian serius daripada Frank Swettenham dan Kerajaan British kerana dalam surat tersebut Patani tidak teragak-agak akan mendapatkan bantuan daripada kuasa besar yang lain sekiranya British tidak mempertimbangkan aduan tersebut. Hal ini amat membimbangkan British kerana pada waktu itu, Jerman sedang mencari wilayah di rantau Asia Tenggara untuk memenuhi Welt politiknya. Sekiranya Negeri-Negeri Melayu Utara bangkit, pastinya perkembangan ini memberi peluang kepada Jerman untuk meluaskan kuasanya seterusnya menjejaskan kedudukan British di rantau ini.

Pada Oktober 1901, Frank Swettenham telah menjemput Tengku Abdul Kadir ke Singapura untuk berbincang mengenai perkara itu. Beliau telah meminta Tengku Abdul Kadir bersabar dan cuba mengelakkan daripada melakukan hal yang terburu-buru. Beliau memberi jaminan, sekiranya Tengku Abdul Kadir bersabar dan menuruti nasihatnya, beliau akan mendapatkan simpati daripada Kerajaan British untuk memulihkan kekuasaannya. Atas jaminan tersebut, Tengku Abdul Kadir menangguhkan rancangan pemberontakkan tersebut.

Pada masa yang sama, Swettenham telah mengharamkan pengeksportan senjata api dari Singapura ke Negeri-Negeri Melayu Patani. Beliau juga telah memaklumkan hal tersebut kepada Pejabat Tanah Jajahan British tentang pergolakan yang berlaku di Patani dan ancaman Raja-Raja Melayu untuk mendapatkan sokongan kuasa Eropah lain sekiranya British enggan membantu mereka.

Bertindak dari laporan Swettenham, Pejabat Luar British di London telah mengarahkan Menteri British di Bangkok, Archer supaya berbincang dengan Putera Damrong, Menteri Dalam Negeri Siam tentang keadaan di Patani. Putera Damrong telah bersetuju menghantar timbalannya, Phya Sri Sahadhed ke Patani bagi membuat siasatan.

Phya Sri telah mengadakan perbincangan dengan Duff untuk mendapatkan gambaran keadaan Patani sebelum berangkat ke sana. Beliau tertanya-tanya kemungkinan kekacauan akan berlaku di negeri-negeri Melayu Patani memandangkan Persuruh Jaya Siam di Patani telah meninggalkan negeri itu kerana bimbang akan diserang. Duff menafikan keadaan tersebut tetapi mengingatkan sekiranya Siam berdiam diri, pasti akan berlaku kekacauan di wilayah tersebut. Disamping itu, Duff juga mencadangkan supaya Phya Sri mengadakan perbincangan dengan Raja-Raja Melayu bagi mententeramkan keadaan. Beliau memberi jaminan bahawa raja-raja Melayu akan menerima rombongan kerajaan pusat dengan baik.

Penipuan Phya Sri Shadheb
23 Oktober 1901, Phya Sri Shadheb telah belayar ke Patani dan setibanya di sana beliau terus menemui Tengku Abdul Kadir di Istana Cabang Tiga. Pada pertemuan tersebut, Tengku Abdul Kadir telah memberi penerangan sebab kenapa Raja-Raja Melayu tidak berpuas hati dengan Pesuruhjaya Siam seperti mana yang terkandung dalam petisyen beliau kepada Kerajaan British. Tengku Abdul Kadir juga mencadangkan, agar Kerajaan Siam memberi hak autonomi seperti mana yang dikecapi oleh Kedah. Sultan terletak tertinggi dalam hierarki pentadbiran, undang-undang tempatan menjadi dasar pemerintahan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Putera Damrong -1904
24 Oktober 1901, iaitu keesokan harinya, Phya Sri sekali lagi mengadap Tengku Adul Kadir, kali ini beliau datang dengan sepuck surat berbahasa Siam. Beliau meminta Tengku Abdul Kadir menandatangani surat tersebut yang dinyatakan mempunyai aduan dan cadangan baginda untuk menyelesaikan masalah di Patani dan surat itu akan diserahkan kepada Putera Damrong untuk mendapat pertimbangannya. Phya Sri Shadheb dengan bersungguh-sungguh menyatakan itu bukan surat perjanjian dan baginda tidak terikat dengan kandungannya. Tengku Abdul Kadir enggan menandatanganinya kerana surat tersebut dalam bahasa Siam dan tidak memahaminya. Akhir sekali, Phra Sri telah menyuruh pegawainya menterjemah dan diperdengarkan kepada Tengku Abdul Kadir, sekali lagi Phya Sri memberi jaminan bahawa Patani tidak akan terikat dengan kandungan dalam surat tersebut. Kerana jamiinan itu, Tengku Abdul Kadir akhirnya menandatangani surat tersebut. Setelah itu, Phya Sri Shadheb telah berangkat ke Singapura melalui Teluban.

Sebenarnya Tengku Abdul Kadir telah terpedaya dengan helah Phya Sri Shadheb kerana surat tersebut adalah persetujuan Patani untuk menerima Undang-undang Pentadbiran Tahun 116, sejajar dengan itu, Patani telah bersetuju menerima perlantikan seorang Setiausaha Kerajaan yang mempunyai kuasa muktamad dalam segala urusan Negeri Patani.  Phya Sri telah melaporkan kepada Frank Swettenham dan Duff tentang perkara ini, walhal ia sebenarnya di luar pengetahuan Tengku Abdul Kadir.

Hal ini membuatkan Tengku Adul Kadir, dengan serta merta menghantar dua orang pembesar negeri iaitu Wan Ismail dan Wan Muhammad ke Singapura untuk memaklumkan kepada Phya Sri Shadheb tentang kesilapan tersebut. Setelah dimaklumkan oleh wakil Raja Patani, Phya Sri bersetuju untuk bertemu dengan Tengku Abdul Kadir setelah perkara itu dibincangkan di dalam perjumpaan Raja-Raja Negeri di Nongchik pada 13 November 1901. Beliau juga mengingatkan agar Raja Patani tidak mengheboh-hebohkan perkara itu kepad Raja-Raja Melayu yang lain.

Tengku Abdul Kadir tidak menghadiri perjumpaan tersebut dan membolehkan Patani tidak terikat dengan perlaksanaan Undang-Undang Pentadbiran Tahun 116 itu. Di bawah undang-undang tersebut, kerajaan Siam telah membentuk semula pentadbiran 7 Negeri Melayu Patani kepada dua iatu:

  1. Bahagian Sungai Teluban (Saiburi, Legeh dan Kelaba)
  2. Bahagian Patani (Patani, Nongchik, Reman dan Jala)

Di bawah Undang-Undang ini, Raja ibarat boneka yang bernyawa dan seolah-olah tiada fungsi, kerana segala-galanya harus melalui Setiausaha Kerajaan dan juga Majlis Negeri hanya menerima gaji bulanan sahaja.

Pengumana Phya Sri ini hanya mendapat sokongan daripada Raja Jering dan juga pegawai-pegawai Pro-Siam, yang lain semuanya membantah kerana Undang-Undang tersebut telah menyekat banyak kebebasan mereka sebelum  ini.  Sebelum pulang ke Bangkok, Phya Sri telah menemui Raja Patani dan meminta baginda menerima dan bersetuju dengan undang-undang baru itu, namun baginda telah menolak usul itu.

Bantahan dihantar oleh Tengku Abdul Kadir kepada Chulalongkon namun tidak dilayan. Tanpa persetujuan Raja-Raja Melayu undang-undang tersebut dilaksanakan juga. Pada 16 Disember 1901, Putera Damrong telah melaksanakan satu peraturan yang dikenali sebagai Peraturan bagi Mentadbir 7 Wilayah bagi tahun 120 di negeri-negeri Melayu Patani.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...