SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 9 December 2013

PATANI-KELANTAN : EPISOD 6 PEMBERONTAKAN TENGKU LAMIDIN & DATUK PENGKALAN


Pendahuluan

Pada artikel sebelum ini  kita membicarakan perihal serangan Siam yang menyebabkan Patani tewas dalam serangan itu. Lantas menjadi persoalan di mana Kelantan dan Terengganu pada masa itu? Pada asasnya, Kelantan dan Terengganu merupakan dua negeri yang bernaung di bawah Patani. Ketika serangan itu berlaku Kelantan waktu itu diperintah oleh Long Yunus (1763-1795), Terengganu pula diperintah oleh Sultan Mansur 1 (1733-1793).

Long Yunus adalah keturunan dari Sultan Qunbul yakni anak kepada Long Sulaiman, Raja Kelantan (memerintah Kota Kubang Labu dan Kota Jembal), manakala Terengganu diperintah oleh Yang Dipertuan Johor, iaitu wakil Sultan Johor memerintah Terengganu. Negeri Terengganu telah diserah kepada wakil Sultan Johor, apabila Raja Kuning Patani telah berkahwin dengan Putera  Sultan Johor iaitu Yang Dipertuan Muda bin Sultan Alauddin Riayat Syah III pada tahun 1632.

Pada tahun 1688 Yang Dipertuan Terengganu, Raja Laksamana Wan Abdul Rahman telah dibunuh di Terengganu dan meninggalkan Terengganu tiada pemerintah yang sah. Raja Patani pada waktu itu, Raja Mas Kelantan (1690-1707) telah melantik anak angkatnya, Tun Zainal Abidin dari Johor menjadi Raja Terengganu dan ditabalkan oleh Syeikh Abdul Malik bin Syeikh Abdullah (1650-1736) yang lebih dikenali sebagai Tokku Pulau Manis. Beliau adalah dari keturunan Syarif Muhammad al-Baghdadi yang memerintah di Kota Temir, Hulu Terengganu yang juga keturunan dari Sultan Qunbul.

Secara ringkasnya, Kelantan dan Terengganu tidak menghulurkan bantuan ketika Patani di serang pada 1785 adalah faktor kekacauan dalam negeri masing-masing ditambah dua negeri berjiran ini pada waktu menghadapi masalah diplomatik. Kejatuhan Patani waktu itu menyebabkan Kelantan dan Terengganu juga terpaksa membayar ufti (Bunga Emas) sebagai memenuhi hajat Siam agar tidak melanggar negeri mereka.

Siam mentadbir Patani
Chao Phraya Chakri @ Raja Rama I 
Setelah sebulan menjarah Patani pada 1785, Phraya Kalahum telah mengisytiharkan undang-undang
penakluk terhadap Patani, namun mereka telah melantik Tengku Lamidin, yang memerintah di Bendang Badan, seorang keturunan Raja Patani asal menjadi “Raja Boneka” untuk terus melemahkan rakyat Patani. Buat pertama kali, inilah perlantikan Raja Patani tidak dilakukan oleh  pembesar dan ulama Patani.

Tengku Lamidin (1786-1791) yang dilantik Raja Muda Siam sebagai raja Patani itu telah membaiki semula Kota Istana dan mengumpul kembali rakyat Patani yang melarikan diri itu untuk hidup aman damai di Patani.

Beliau telah melantik seorang pembesar iaitu Datuk Pengkalan yang tinggal di Kampung Pengkalan Besar sebagai pemerintah di Kota Gerisik. Tengku Lamidin pula membina istana baru di Kota Perawan untuk mejalankan pentadbirannya. Zahirnya dia dilantik oleh Siam tetapi jiwanya memberontak dan mahu melihat negerinya bebas dari cengkaman Siam.

Dalam tahun 1789, Tengku Lamidin telah mengutus surat kepada Raja Annam (Vitenam) yang waktu itu sudah beragama Islam beliau bernama Okphaya Cho So. Rancangannya ialah supaya Vietnam menyerang arah utara, manakala Patani menyerang dari arah selatan. Malangnya, surat itu jatuh ketangan raja Siam.

Siam tidak menunggu lama, mereka telah menghantar Phraya Kalahum sekali lagi untuk menangkap Tengku Lamidin. Angkatan Patani telah memulakan langkah awal  dengan menyerang dan menghalau orang Siam di Tiba, seterusnya ke Chenak dan akhirnya sampai di Singgora. Peperangan yang sengit telah berlaku di Singgora antara angkatan Patani dan Siam yang berlangsung di Kampung Bukit Anak Gajah. Serangan Patani di Singgora telah diketahui oleh Raja Siam Ligor dan telah menghantar bantuan tentera. Serangan yang dipimpin oleh Tengku Lamidin sudah tidak dapat ditahan lagi menyebabkan angkatan Siam terpaksa berundur hingga ke Pathalung. Asakan terus berlangsung sehingga tercetus pertempuran yang hebat hingga ke Pathalung.

Petempuran di Pathalung pada awalnya memihak kepada Patani, namun angkatan Siam-Ligor telah mendapat bantuan daripada askar Siam yang dipimpin oleh Phraya Kalahum. Gabungan Angkatan Ligor dan Bangkok ini hanya sekadar mampu menahan asakan Patani tanpa serang balas. Faktor jarak dan tempoh yang panjang menyebabkan kebanyakkan angkatan Patani keletihan walaupun semangat juang mereka tinggi.

Atas beberapa sebab, Tengku Lamidin telah mengambil keputusan bertahan di Patani. Namun inilah titik tolak kekalahan Tengku Lamidin apabila mereka berundur ia telah memberi ruang kepada Siam untuk menyusun semula angkatan mereka. Angkatan Siam telah mengekori angkatan Tengku Lamidin hingga ke Kota Perawan.

Di Kota Perawan, angkatan Patani menunggu serangan balas daripada pihak Siam tanpa menyedari bahawa angkatan Siam telah berpecah kepad tiga kumpulan Kumpulan tentera Siam ini mengepung Kota Perawan serta menghalang perhubungan pasukan bantuan tentera Patani dari luar kota. Serangan hebat serentak dilakukan dan akhirnya pertahanan Patani menjadi lemah. Maka pada tahun 1791, Kota Perawan berjaya dirampas oleh Siam dan Tengku Lamidin telah ditangkap dan dihukum bunuh. Orang Melayu yang berada di dalam kota yang berjaya ditangkap turut dibunuh serta harta benda mereka dirampas atau dimusnahkan.

Datuk Pengkalan Bangkit
Sebelum pulang ke Bangkok, Siam telah melantik Datuk Pengkalan (1791-1808) sebagai Raja Patani selain itu, Siam juga seorang Siam yang bernama Laksamana Dajang untuk mengawal tingkah laku Raja dan Pembesar Patani memastikan tiada lagi kebangkitan menentang Siam berlaku.

Bermulalah satu episod duka dalam kehidupan masyarakat Patani. Orang-Orang Siam dibenarkan melakukan apa saja mengikut nafsu mereka terhadap orang Melayu. Pemerintahan Datuk Pengkalan pula sering dicampuri oleh Laksamana Dajang. Apabila Datuk Pengkalan cuba berlaku adil, Laksamana Dajang akan menjadi penghalang dan membela orang Siam. Datuk Pengkalan dan para pembesar Patani tidak menganggap tindakan itu sebagai peselisihan pendapat tetapi ia sebagai penindasan kepada orang Melayu yang dirancang oleh Laksamana Dajang.

1808, kerana sering diganggu dan ditindas, orang Melayu telah melancarkan serangan mengejut keatas Siam. Tindakan itu menyebabkan Laksamana Dajang melarikan diri ke Singgora. Raja Singgora segera mengutus surat ke Bangkok menyatakan bahawa Datuk Pengkalan telah belot terhadap Siam. Setelah itu Raja Ligor dan Raja Singgora telah menghantar angkatan tentera masing-masing atas tujuan untuk menangkap Datuk Pengkalan yang dikatakan belot itu.

Kerabat-kerabat Datuk Pengkalan seperti Datuk Sai, Datuk Pujud, Datuk Jambu dan bebeapa lagi bersiap sedia menghadapi tindak balas dari pihak Siam. Akhirnya pasukan Siam dari Ligor dan Singgora telah sampai di Patani dan berlakulah bertempuran hebat yang berlangsung selama beberapa bulan. Kekentalan semangat orang Patani ketika itu berjaya membuatkan tentera Siam berundur.

Setelah beberapa bulan, angkatan tentera Siam dari Bangkok telah tiba dengan kapal yang banyak. Maka mereka telah melancarkan serangan dari dua arah iaitu dari Darat dan juga Laut. Serangan dari arah laut berlaku di Baruh Laguni manakala serangan darat berlangsung di Kota Gerisik. Serangan ini telah membuatkan Patani menjadi lemah, Datuk Pengkalan telah syahid bersama-sama rakyatnya ketika itu. Datuk-Datuk yang lain telah berundur bersama-sama saki baki pengikut mereka untuk menyusun strategi.

Orang-orang Melayu yang tidak sempat melarikan diri telah ditangkap dan dibawa pulang ke Bangkok sebagai hamba tebusan perang. Harta benda rakyat Patani yang sedia dhaif turut dirampas atau dimusnahkan.

Setelah itu Siam telah melancarkan sistem pemerintahan “pecah dan perintah” di Patani. Mereka telah memecahkan Patani kepada 7 buah negeri baru dan pembesar-pembesar di negeri tersebut telah dilantik oleh Siam, berikut dinyatakan negeri-negeri tersebut:

Negeri
Pemerintah
Patani
Tuan Sulung
Teluban
Nik Dir
Nongchik
Tuan Nik
Jalor
Tuan Yalor
Jambu
Nai Pai
Rangae
Nik Dah
Reman
Tuan Mansur

Siam yakin dengan pemecahan Kerajaan Melayu Patani ini dapat melemahkan orang Melayu Patani bangkit menentang. Sejajar dengan itu, arahan raja-raja telah dikeluarkan kepada raja-raja negeri Melayu bahawa hukuman mati akan dikenakan kepada mana-mana raja termasuk keluarga mereka sekiranya mereka memberontak atau menderhaka kepada Siam.

Untuk mengukuhkan lagi pengusaan, Siam telah melantik Raja Jambu, Nai Pai seorang berbangsa Siam menjadi wakil kerajaan pusat bagi mengawasi raja-raja di negeri lain. Sementara itu, Siam juga telah memindahkan rakyat-rakyatnya ke Patani bagi mengimbangi bangsa Melayu.

Penutup

Pemecahan Patani menzahirkan bahawa negeri ini secara total telah dicincang lumat oleh Siam, yang tinggal sekarang adalah semangat untuk merdeka. Kebanjiran orang Siam di Patani juga menyebabkan Patani terus membengkak. Mungkin suatu masa nanti, ia akan bangkit kembali.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...