SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Saturday 7 December 2013

PATANI-KELANTAN : EPISOD 5 – PATANI DIJAJAH SIAM


Pendahuluan
Catatan Dinasti Song : wakil dari Langkasuka
Siam diketahui sentiasa mengancam negeri-negeri Melayu semenjak runtuhnya empayar Langkasuka. Patanilah menjadi benteng atau penampan menyelamatkan negeri-negeri Melayu disamping dibantu oleh empayar Majapahit, Melaka dan Johor-Pahang-Riau-Lingga sepanjang tahun 200 – 1785 Masihi.

Tahun 1785 menyaksikan Patani diserang dengan dahsyat oleh Siam hingga menyebabktan Sultan Muhammad iaitu Raja Besar Patani yang merdeka, syahid. Sebenarnya dalam tempoh 1688-1748, Patani dan negeri-negeri Semenanjung berada dalam keadaan aman kerana Siam menghadapi ancaman daripada Burma. Hinggalah mereka bangkit kembali.  Jika diperhatikan, pemerintahan Dinasti Kelantan Pertama di Patani tamat setelah Raja Omar turun dari takhta dan menyerahkan kepada pembesar dan ulama Patani pada 1670. Namun, di bawah pengaruh Siam ini, terdapat kerabat Kelantan yang dilantik utk mentadbir Patani.

Satu fakta sejarah yang jarang diketengahkan kepada umum dan juga mungkin atas dasar politik antarabangsa, fakta ini boleh dikatakan tidak pernah mendapat tempat diuar-uarkan kepada dunia luar bahawa :
Antara tahun 1409 dan 1457, Melaka dan Patani merupakan kuasa terbesar di Tanah Melayu telah menerima Islam sepenuhnya. Gambaran yang diberikan seolah-olah ketika itu Patani dan Melaka adalah dua kuasa yang berasingan. Kedua-dua buah kuasa besar Melayu ini adalah bersaudara dan saling bertolongan apabila menghadapi sesuatu musibah. Banyak bukti sejarah menyokong fakta tersebut. Kemudian apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis, tinggalah Patani yang menjadi kuasa dagang serta pusat dagang terbesar di Nusantara. Hal inilah yang menyebabkan Siam begitu bernafsu untuk menakluk Patani. Selain itu Patani adalah pusat Islam yang menjadi tumpuan termasuk Arab, pengaruh Patani dikhuatiri akan menyebabkan Empayar Islam Uthmaniyyah yang berpusat di Turki ketika itu menghulurkan bantuan membebaskan umat Islam di Tanah Melayu.
-Syeikh Kerutuk@Tabut Jawi

KPSK akan ulas dengan lebih lanjut akan perkara ini dalam artikel yang khusus. Kemakmuran Patani inilah menyebabkan Siam begitu tertarik dengan wilayah Patani. Ekspedisi demi ekpedisi dilancarkan untuk menakluk Patani hinggalah saat 1785 itu.

Berbalik kepada peristiwa Raja Omar turun takhta dan kembali semula ke Jembal telah membuatkan Patani kembali dirajai oleh raja-raja dari kalangan 43 negeri bersekutu dalam Patani. Namun, setelah di jajah oleh Siam, muncul kembali Kerabat Kelantan memerintah Patani yang dikenali dengan Kerabat Kelantan Kedua.

Kejatuhan Patani
Semasa pemerintahan Raja Long Nuh (1749-1771) Siam telah membuat kekacauan dengan menyerang Ligor, Singgora dan Pathalung dalam satu serangan besar-besaran. Punca serangan ini disebabkan negeri-negeri ini telah mengisytiharkan merdeka dari Siam sewaktu Burma menduduki Siam selama 15 tahun dari 1767-1782. Serangan ini berlaku pada tahun 1769 atas nama Siam yang mana waktu itu sudah diperintah oleh pemerintah dari Burma. Pada waktu itu Ligor sebagai perwaris kepada Negara Sri Dharmaraja sebuah negara purba yang pernah mempunyai 12 negeri di Semenanjung.

Raja Ligor telah melarikan diri dan berlindung di Singgora. Mengetahui sedang diburu oleh Siam, Raja Ligor, Raja Singgora dan Raja Pathalung bersama kaum kerabat mereka telah melarikan diri ke Patani. Pemburuan Siam berterusan hinggalah ke satu wilayah bernama Tiba, iaitu sempadan Patani dan Songkhla. Mereka telah meminta perlindungan daripada Raja Long Nuh. Raja Muda Siam telah menghantar utusan kepada Raja Long Nuh agar menyerahkan ketiga-tiga raja itu. Pada masa yang sama Siam sudah mengatur rancangan untuk menyerang Patani sekiranya raja-raja yang diburu tidak diserahkan kepada mereka. Hasil mesyuarat Long Nuh dengan pembesar-pembesar Patani dan mereka mengambil keputusan menyerahkan raja-raja tersebut kepada Siam memandangkan mereka sudah tiada apa-apa perhubungan ditambah mereka pernah membantu Siam menyerang Patani.

Ekoran dari kerjasama yang diberikan oleh Raja Long Nuh dalam peristiwa perang Siam-Ligor ini membuatkan Siam tidak menyerang Patani, hinggalah Raja Ahmad yang kemudiannya dikenali sebagai Sultan Muhammad menaiki takhta Patani pada pada 1774.

Pada tahun 1776, Siam cuba menduga apakah Sultan Muhammad yang baru menaiki takhta mudah tunduk kepada tipu muslihat mereka dengan helah Burma telah menyerang mereka dan meminta bantuan sebanyak 80,000 bath, bagaimanapun Sultan Muhammad tidak melayan akan permintaan Siam itu kerana baginda sudah tahu tujuan sebenar Raja Siam itu. Berpunca dari itu, pihak Siam telah mempunyai alasan untuk menyerang Patani kerana tidak menghulurkan bantuan seperti yang mereka kehendaki.
 
Raja Taksin yang dibunuh Panglimanya
1782, Raja Siam bernama Phya Tak Sin telah dibunuh oleh panglimanya yang merampas kuasa. Panglima itu yang dari keturunan Maha Cakri telah melantik dirinya sendiri sebagai Raja Siam dengan gelaran Phra Putrra Yu’Fa Chula Lok juga dikenali sebagai Raja Rama. Beliaulah yang memindahkan pusat pentadbiran Siam dari Thonburi ke Bangkok.

1784, Burma telah menyerang Ligor yang berada dalam jajahan Siam. Raja Rama menghantar tentera dari Bangkok ke Ligor yang dipimpin oleh adiknya sendiri iaitu Raja Muda Siam untuk memerangi Burma. Peperangan itu berlangsung beberapa bulan sehingga Burma berundur meninggalkan Ligor.

Kemudian, Raja Muda Siam itu telah membawa angkatan perangnya ke Singgora yang waktu itu merupakan sebuah jajahan Siam untuk mengatur pemerintahan dari sana. Satu perutusan telah dihantar oleh Raja Muda Siam ke Patani agar tunduk tanpa perang pada Siam dengan alasan Patani tidak menghulurkan bantuan kepada Siam pada tahun 1776.

Sultan Muhammad telah bermesyuarat dengan para pembesar mengenai perutusan itu. Keputusan telah diambil yang mana Patani bersedia untuk berperang jika Siam meneruskan niat meneruskan niat menakluk dan menghapuskan kedaulatan Islam di Patani.  Rakyatnya pula telah bersedia dan menyahut seruan Jihad itu dengan terbuka kerana peluang untuk berjihad telah terbuka di depan mata. Jiwa mereka mudah terbuka untuk menyambut seruan Jihad kerana Patani pada waktu itu merupakan pusat dakwah Islam di Nusantara. Waktu ini ramai pendakwah telah dilahirkan di Patani dan terdapat penuntut luar seperti dari Acheh, Jawa,  Palembang, Sulawesi, Borneo, Mindanao, Arab dan India telah datang berdakwah serta mendalami ilmu agama.

Pertempuran berlaku
Saat meletusnya perang telah mencapai kemuncak, rakyat Patani telah dibahagikan kepada dua pasukan. Pasukan pertama  berkawal di kubu-kubu di tepi pantai untuk menahan serangan Siam dari arah laut. Pasukan kedua pula berkawal sekitar Istana Kota Chabang Tiga. Seri Patani dan Seri Nagara dua laras meriam kebanggaan Patani dikeluarkan setelah disimpan selama 150 tahun kerana kali terkakhir digunakan ketika peperangan dengan Siam yang berlaku sewaktu pemerintahan Raja Ungu. Kali terakhir ia digunakan adalah pada tahun 1631 dan 1632.

Tidak lama kemudian, angkatan tentera Siam yang diketuai oleh Phraya Kalahum telah sampai di Kuala Patani dan berlabuh di sana untuk menunggu masa yang sesuai bagi melancarkan serangan. Sebenarnya kejatuhan Patani kepada Siam sama seperti episod kejatuhan Melaka ke tangan Portugis. Kekalahan Patani dan Melaka adalah akibat pengkhiatan dari pembesar. Melaka telah dikhinati oleh Patih Kerma Wijaya hingga tewas ke tangan Portugis. Patani pula dikhianati oleh pembesar yang bernama Nai Chan Tung yang berasal dari Ligor. Beliau bersama-sama rakan-rakanya telah ke Patani, di sini beliau telah banyak melakukan jasa dan bakti hingga mendapat kepercayaan Sultan Muhammad dan telah dilantik menjadi pembesar negeri. Di ambang serangan Siam, Nai Chan Tung ini telah merencana pakatan jahat untuk menumbangkan Patani.

Nai Chan Tung telah mengadap Sultan Muhammad dalam keadaan tergopoh gapah untuk memberitahu kepada Sultan bahawa Siam telah tiba di Kuala Patani. Beliau telah menzahirkan kebimbangan akan serangan Siam dan berjanji beliau dan bangsanya sanggup berperang mempertahankan Patani. Beliau telah memohon supaya dilantik sebagai Ketua pasukan tentera Patani yang berkubu di kawasan pantai. Sultan Muhammad telah memperkenankan permintaan itu tanpa syak wasangka dan juga telah mengurniakan sebuah perahu besar lima hasta beserta kelengkapan senjata dan meriam.

Menjelang malam, Nai Chan Tung berlayar ke tempat kapal Siam berlabuh dan bertemu dengan Phraya Kalahum dan mendedahkan rahsia pertahanan Patani. Setelah itu dia telah melarikan diri ke Singgora. Setelah tiba waktu yang dinantikan, Pharya Kalahum telah melancarkan serangan dengan membedil secara serentak ke arah kubu-kubu pertahanan di pantai Patani. Kerana maklumat pertahanan Patani telah diketahui oleh angkatan Siam, pasukan pertahanan Patani mulai menjadi lemah kerana banyak kubu mereka terkena bedilan Siam. Akhirnya Siam telah mendarat di pantai Patani dan mula mara ke arah istana.

Rakyat Patani menentang dengan hebat akan pendaratan askar Siam itu. Sultan Muhammad sendiri telah turun ke medan perang dan mencatur pergerakkan angkatan tenteranya. Meriam Sri Patani dan Sri Nagara berjaya meredakan kemaraan pasukan Siam. Peperangan ini berlangsung selama beberapa hari hingga Siam berjaya mara menghampiri pasukan pertahanan kota.

Pertarungan sengit ini juga membuatkan Sultan Muhammad sendiri mengangkat senjata dan bertempur dengan musuh. Pasukan Siam telah menggunakan meriam ketika pertempuran darat ini dan ditakdirkan Sultan Muhammad telah terkena tembakan meriam dan syahid di hadapan rakyatnya sendiri. Ekoran dari itu, angkatan Patani telah bertambah lemah dan berpecah hingga akhirnya Kota Cabang Tiga berjaya ditawan Siam. Itulah kekalahan pertama Patani dalam sejarahnya.

Kejam
Tentera Siam bermaharaja lela selama sebulan di Patani dengan menangkap dan membunuh siapa sahaja lelaki, perempuan, kanak-kanak hatta orang tua. Semua harta benda rakyat Patani telah dirampas dan Kota Cabang Tiga telah dibakar hingga menjadi arang. Seramai 4,000 orang Melayu Patani telah dijadikan tawanan dan di bawa ke Bangkok sebagai hamba tebusan

Sri Patani di Bangkok


Sebelum tentera Siam berangkat pulang ke Bangkok, Pharaya Kalahum telah mengisytiharkan undang-undang penakluk untuk menghapuskan hak orang-orang Melayu. orang Melayu telah ditangkap seramai mungkin untuk dijadikan hamba tawanan perang. Meriam Sri Patani dan Sri Nagara yang dibina semasa pemerintahan Raja Biru telah dirampas untuk dibawa pulang ke Bangkok. Namun meriam Sri Nagara telah terjatuh kedalam air ketika di Kuala Patani semasa kerja-kerja pemunggahan dilakukan. Hanya meriam Sri Patani sahaja berjaya dibawa ke Bangkok dan diletakkan di hadapan Jabatan Pertahanan di Bangkok.

Sisi lain Sri Patani

2 comments:

khairi said...

bukan siam tu serumpun dgn melayu..kenapa artikel ni tulis siam memusuhi melayu ...ada komen tak..

bertambah pening ambo..huhhuhu

@semestacode

Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan said...

Kalu ikut subjek sejarah di sekolah...kita tidak pernah diajar siam dgn Melayu itu serumpun. Yg serumpun adalah Patani. Seperti yg kita maklum, siam ini sebenarnya petunjuk arah Barat dari kedudukan di selatan semenanjung, Siam zaman Melaka merujuk kpd Patani.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...