SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday 3 December 2013

PATANI-KELANTAN : EPISOD 3- RAJA SAKTI MENYATUKAN PATANI

Pendahuluan
Setelah Raja Kuning mangkat pada  tahun 1649, Patani berada dalam keadaan huru hara kerana ketiadaan waris yang sah untuk mentadbir 43 jajahan dalam wilayahnya. Siam yang baru bangkit dibawah pimpinan Dinasti Cakri cuba meluaskan empayarnya. Lalu pada tahun 1649 itu juga Raja Sakti dari Jembal, Kelantan telah muncul dan mempertahankan Patani daripada terus diancam oleh Siam dan berjaya membuatkan Siam berundur jauh ke dalam wilayahnya. Kemudian, Raja Sakti ini ditabal sebagai Raja Patani menggantikan Raja Kuning pada tahun itu dan wujudlah satu empayar baru di kawasan Pantai Timur Semenanjung yang dikenali sebagai “Patani Besar” yang menggabungkan 43 jajahan Patani dengan Kelantan.

Persoalannya, dari mana asal usul Raja Sakti ini. Siapakah beliau dan darimanakah asalnya?



Raja Sakti
Beliau dikenali sebagai Raja Sakti 1 kerana dalam sejarah Kelantan terdapat dua sosok raja yang bergelar Raja Sakti. Beliau adalah pengasas kepada pemerintahan Raja Jembal di Jembal atau sekarang lebih dikenali dengan nama Kedai Lalat. Baginda disebut sebagai seorang daripada dua orang anak angkat Raja Bersiong dari Kedah yang datang tinggal di Jembal, seorang lagi iaitu Puteri Mani Kemenyan yang kemudian dijodohkan oleh Raja Bersiong dengan Raja Sakti. Beliau telah membuka negeri di suatu kawasan berhampiran Sungai Babong dan Pulau Melaka. Berdasarkan cerita lisan, nama jembal ini diambil nama dari sebatang pokok jambu jembal yang besar berhampiran kota yang baru siap dibina oleh pengikutnya. Maka dinamakan kota tersebut sebagai Kota Jembal yang diyakini diasaskan pada 1637.

Perkahwinan beliau dengan Puteri Mani Kemenyan telah dikurniakan dengan empat orang yang terdiri dari putera dan tiga orang puteri iaitu:
  • Raja Loyor
  • Raja Bahar
  • Raja Umar
  • Raja Sungai
  • Puteri Sayu Bari
  • Puteri Unang Melur
  • Puteri Cempaka Bongsu


Raja Sakti yang memerintah Kota Jembal, Kelantan dari tahun 1637-1649 adalah dari keturunan Sultan Qunbul iaitu Sayyid Nurul Alam (Pateh Arya Gajahmada, Perdana Menteri Kelantan 1432-1457/Sultan Qunbul).

Asal-Usul
Maklumat yang diperoleh rata-rata menyatakan Raja Sakti dan Puteri Mani Kemenyan adalah anak angkat kepada Raja Bersiong. Namun setelah dilakukan beberapa rujukan dari nama Raja Bersiong dengan rekod Kedah menunjukkan satu perbezaan ketara.

Raja Bersiong
Nama Raja Bersiong yang asal adalah Raja Seri Maha Inderawangsa dan memakai gelaran Raja Ong Maha Perita Deria. Beliau adalah raja keempat Kedah lama yang dimulakan oleh Merong Mahawangsa. Kisah Raja Bersiong ini bertarikh seawal tahun 1000 masihi, yakni 600 tahun lebih awal dari kisah Raja Bersiong yang singgah di Jembal. Jelas disini, sosok Raja Bersiong yang datang ke Jembal itu menjadi satu persoalan. Siapa sebenar beliau?

Maklumat dari Kerabat Raja Jembal pula menyatakan bahawa Kerajaan Jembal diasaskan oleh Raja Besar yang dikatakan dari keturunan Raja Bersiung yang memerintah Kedah dalam abad ke-14. Baginda juga dikenali sebagai Raja Bersiung. Beliau telah dihalau oleh adindanya yang berpangkat Raja Muda dan beliau telah melarikan diri ke Kelantan. Maklumat ini sebenarnya ketara percanggahanya kerana Raja Bersiung memerintah Kedah pada abad ke-14, sedangkan pembukaan Jembal oleh Raja Besar@Raja Bersiung ialah pada awal abad ke-17 (tahun 1600-an). Raja Besar tiba di Jembal bersama beberapa orang pengikutnya serta dua orang kanak-kanak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Kedua-duanya dipercayai cucu baginda. Yang lelaki bernama Raja Sakti dan yang perempuan bernama Puteri Mani Kemeyan. Setelah kedua-duanya meningkat dewasa lalu mereka dikahwinkan. Sekali lagi, sosok Raja Bersiong yang membuka Kota Jembal menjadi persoalan ekoran percanggan maklumat berdasarkan selang masa antara pemerintahan di Kedah dan tarikh pembukaan Kota Jembal. Siapa sebenarnya Raja Bersiong@Raja Besar yang membuka Kota di tepi sungai Babong itu??

Wikipedia pula menyatakan bahawa Raja Sakti ini berasal dari Dinasti Champa-Jembal yang saling berkaitan. Catatan di pautan tersebut menyebut Raja Sakti ini sebagai putera kepada Sultan Abdul Kadir yang tidak jelas akan maklumatnya. Manakala maklumat daripada Kerabat Raja Jembal, menyebut Raja Sakti adalah cucu kepada Raja Bersiong.

Satu lagi persoalan muncul, iaitu perhubungan Sultan Abdul Kadir dengan Raja Besar@Raja Bersiung, apakah status mereka?

Kesimpulan yang dapat dibuat berdasarkan sejarah Patani adalah Raja Sakti ini merupakan putera kepada Sultan Abdul Kadir dari Champa kerana kesultanan dari Champa ini rata-rata dari keturunan Sultan Qunbul kerana itu beliau diterima sebagai pemerintah Patani menggantikan Raja Kuning pada 1650 setelah memimpin angkatan perang menghalau Siam ke utara semula. Kisah bagaimana Raja Sakti menjadi anak angkat Raja Bersiong akan kita rungkaikan dan pasti rujukan-rujukannya tersembunyi di sebalik bahasa Khmer dan DaiViet...

Ditabal Menjadi Raja Jembal
Pada tahun 1638, Raja Besar telah menabalkan Raja Sakti sebagai raja di Jembal dan memerintah di bahagian utara dan timur Kelantan. Jembal dijadikan pusat pemerintahannya. Tidak lama selepas pertabalan Raja Sakti, Raja Besar pun mangkat. Setengah cerita mengatakan Raja Besar ghaib menghilangkan diri, kerana itulah tidak terdapat makam baginda di kawasan Jembal itu.


Menyatukan Patani
Pada tahun 1650, Raja Sakti bin Sultan Abdul Kadir telah meninggalkan Jembal kepada Raja Loyor setelah beliau dilantik sebagai Raja Besar Patani kerana berjaya mengekang perluasan kuasa Siam. Raja Sakti telah berjaya menyatukan Kelantan dan Patani dan penyatuan ini dikenali sebagai “Patani Besar”. Beliau sempat memerintah Patani  selama 12 tahun dan mangkat pada 1662.

Ketika itu, Raja Sakti menjalankan pemerintahan secara berpusat yang mana beliau mentadbir Patani dan Jembal dengan Kota Mahligai sebagai pusat pentadbiran. Sejarah mainstream atau yang dipelopori oleh sejarahwan Inggeris mengangkat Raja Kuning sebagai Raja Patani yang agung dan cemerlang. Sebenarnya, Raja Sakti lah Raja Patani Besar kerana berjaya menyatukan Patani dan Kelantan.

Kemangkatan Raja Sakti pada 1662 telah membuka ruang kepada Raja Loyor untuk ditabalkan menjadi Raja Patani selepas memerintah Kota Jembal, Kelantan dari 1649-1662. Hanya sempat memerintah tidak lebih dari setahun, Raja Loyor telah mangkat pada 1633.


  

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...