SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 18 November 2013

Yawadwipa: pelbagai sumber rujukan

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat kaum Muslimin yang dirahmati Allah.
Syukur kehadrat Illahi kerana dikurniakan kesempatan untuk kami berkongsi dengan anda tentang kerajaan Melayu Kelantan Purba.

Kita sedia maklum, bahawa sebelum ini kami telah mengupas sedikit sebanyak tentang Yawadwipa. Namun ianya masih menimbulkan keraguan buat pengamat sejarah. Kami juga mungkin dipandang enteng kerana telah menolak beberapa sumber penting dalam kajian Kerajaan Melayu Purba. Sejujurnya, kami menghasilkan artikel ini berdasarkan artikel dan monograf yang dihasilkan oleh Allahyarham Ustaz Abdullah bin Mohamed (Nakula) yang diterbitkan oleh Perbadanan Perpustakaan Muzium Kelantan. Tulisan Nakula menjadi sumber inspirasi kami yang penting, kerana pengkaji dan penyelidik kebanyakkannya merujuk kepada hasil penyelidikan Nakula ini. Penghasilan artikel kami juga sebolehnya ringan dan mudah difahami dengan membuang unsur-unsur mistik dan misteri yang boleh memeningkan pembaca.

Namun, kami tidak nafikan ada fakta dan kenyataan yang harus dikaji dengan lebih mendalam kerana usia tulisan Nakula ini telah lama tetapi belum masih lapuk ianya boleh dijadikan asas penyelidikan. Terpulang kepada saudara dan saudari untuk mencerna dan cerakin artikel yang kami hasilkan ini.

PENDAHULUAN
Sebuah empayar besar telah bangkit di rantau Asia Tenggara dalam tahun 50 – 100 Masihi iaitu Yawadwipa namun ianya satu isu yang mencetuskan kontroversi ekoran kekurangan fakta bertulis. Ianya harus dijalankan berdasarkan kepada kerja lapangan dan juga petunjuk-petunjuk dari riwayat tradisi.
Penyelesaian untuk meredakan kontroversi ini, Nakula telah mengkaji Kerajaan Yawadwipa ini berdasarkan kepada beberapa likungan zaman tertentu bagi mengelakkan pertindahan fakta.  Terdapat empat sumber awal yang menyokong kewujudan Yawadwipa iaitu:
1.            Kenyataan dari buku Ramayana oleh Valmiki
2.            Kenyataan dari buku Geographia oleh Claudius Ptolemy
3.            Kenyataan dari buku Hou Han Shu
4.            Kenyataan dari buku Saddharmasmrityupasthana-sutra
        
KENYATAAN DARI RAMAYANA
Terdapat beberapa pendapat menyatakan usia buku Ramayana ini, pendapat dari K.A. Nilakanta Sastri menyatakan bahawa buku ini adalah satu zaman dengan buku Kanun Pali, Niddesa dan ianya dihasilkan dalam awal abad pertama masihi. Dalam buku Ramayana ini terdapat beberapa fakta mengenai Yawadwipa dalam bahagian syair keempat dari Ramayana naskhah Bombay, iaitu ianya membicarakan tentang arahan dari Sugriwa (Hanuman) kepada kumpulan keranya supaya pergi keseluruh pelusuk dunia untuk mencari Sita Dewi yang hilang. Syair tersebut berbunyi:

Yatnavanto Yavadvipam,
Saptarajyopasobhitam,
Suvarnarupyakadvipam,
Suvarnakaramanditam,
Yavadvipam-antikaramnya,
Sisiro nama parvatah,
Divam sprsati srngena,
Devadanava-sevitah.

Maksudnya:
Walau bagaimanapun, lawatilah Yavadvipa,
Tujuh kerajaan menjadi hiasan,
Itulah tanah emas dan perak,
Banyak berlombong bertukang emas,
Disebelah sana Yavadvipa,
Terletak gunung bernama Sisiro,
Puncaknya menyapu awan
Dikunjungi deva-danava.

KENYATAAN DARI GEOGRAPHIA
Buku ini ditulis oleh Ptolemy dalam tahun 150 Masihi. Ia dinyatakan bahawa penulisan bukunya ini berdasarkan kepada Marinos dari Tyre yang telah diperbaiki dan ditambah baik dengan mengambil maklumat lebih lanjut yang dikumpul oleh beliau sendiri. Buku Marinos itu pula dihasilkan pada 120 Masihi dan ia dihasilkan berdasarkan buku seorang nakhoda yang juga pengembara bernama Alexander yang dihasilkan pada tahun 75 Masihi. Buku Alexander dan Marinos ini telah hilang dan hanya diketahui melalui dari petikan-petikan yang dibuat oleh Ptolemy dalam buku Geographia. Berikut petikan Ptolemy mengenai Yawadwipa:

  1. Semenanjung disebut dengan nama “Chryse Chersonesos” yang bermaksud “Semenanjung Emas” dan beliau telah memperihalkan secara agak terperinci nama kota-kota, sungai-sungai dan gunung-gunung yang ada di Asia Tenggara ketika itu.
  2. Kesebelah Selatan dari Chryse Chersonesos ini terletak suatu pulau bernama Labadiou yang bererti Pulau Jelai.
  3. Ibu kotanya bernama Argyre yang bermaksud Kota Perak yang terletak di hujung barat Labadiou dan dibandingkan dengan Chryse Chersonesos, ibu kota ini terletak di sebelah timur.
  4. Labadiou adalah satu kawasan yang subur dan banyak menghasilkan emas.

KENYATAAN DARI HOU HAN SHU
Buku Hou Han Shu ini disusun dalam abad ke-5 Masihi, dalam buku ini terdapat beberapa fakta penting:
  1. Dalam tahun 132 Masihi, suatu perwakilan telah tiba di negeri China dari tempat bernama Ye-tio.
  2. Ye-tio ini terletak disebelah sana sempadan Jih-nan.
  3. Perwakilan ini dihantar oleh rajanya bernama Tio-pien dan menerima hadiah-hadiah balasan daripada Maharaja China terdiri dari satu mohor emas dan pita berwarna ungu.


KENYATAAN DARI  SADDHARMASMRITYUPASTHANA-SUTRA
Buku ini adalah mengenai agama Budha dalam bahasa Sanskrit. Ianya telah diterjemah ke dalam bahasa China dalam tahun 539 Masihi oleh seorang Brahman yang datang dari Benares.  Menurut Sharat Chandra Das, Asvagosha ada menulis satu tafsiran mengenai sutra ini. Ini bermakna usia sutra ini adalah seusia dengan Zaman Kanishka pada akhir abad Pertama Masihii. Dalam sutra ini mengandungi satu bahagian petikan yang menggambarkan tentang Jambuvidpa yang bermaksud kepada Benua Asia Tenggara.

Pesanan dari KPSK:
Sebelum kami melangkah lebih jauh, ingin kami nyatakan bahawa Empayar Yawadwipa ini adalah diasaskan oleh  Sri Kripawarman atau lebih dikenali dengan nama Wan Pa di Medang Gana yang terletak di Kelantan.
Dari sini Wan Pa telah melakukan ekspedisi menakluk seluruh Semenanjung. Seterusnya, kami akan paparkan sebanyak 30 rujukan dari sumber Hindu, China, Arab dan Eropah tentang Empayar Yawadwipa ini.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...