SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday 20 November 2013

PERSETERUAN KELANTAN - TERENGGANU

Kelantan dan Terengganu adalah dua buah negeri berjiran dan mempunyai sejarah yang panjang. Dua buah negeri Pantai Timur Semenanjung ini juga merupakan negeri yang wujud semenjak abad pertama tahun masihi lagi. Catatan kuno dari China banyak merekodkan dua negeri ini selain dari Patani dan Kedah.
Sejarah yang paling menarik untuk kita perhatikan adalah mengenai perseteruan dua buah negeri ini yang masih wujud dalam beberapa situasi seperti pertemuan antara penyokong pasukan bola sepak dalam stadium ketika perlawanan bola sepak yang menyaksikan pertemuan pasukan dari Kelantan dan Terengganu.
Semuanya berpunca dari sejarah silam yang menyaksikan Kelantan dan Terengganu pernah terlibat dalam beberapa siri peperangan. Sebagai contoh, Perang Kota Kubang Labu 1 dan 2. Peperangan ini menyaksikan Angkatan Perang Long Ghaffar dan Long Yunus mendapat bantuan dari Terengganu bagi mengalahkan Long Muhammad yang ketika itu bersemayam di Kota Kubang Labu.
Perang Kota Kubang Labu 1 berlaku kerana fitnah manakala Perang Kota Kubang Labu 2 berlaku kerana memungkiri janji hingga menyebabkan Kelantan dikenali dengan nama Negeri Kerat Lintang. Setelah itu juga, Kelantan diperintah oleh Raja Tunggal iaitu Long Yunus*.  Pemerintahan oleh pewaris dari Long Yunus boleh kita anggap era pemerintahan Kelantan Moden dalam kepompong feudalnya.
----------------xxxxx--------------------------------xxxxx----------------

Perang Kelantan – Terengganu dalam Hikayat Siak
Hatta tersebutlah Raja Kelantan, hendak melawan Terengganu; dan bermula, dia dibawah perintah Terengganu. Dan Yamtuan Terengganu pun marah, hendak dilanggarnya. Dan bersiap perahu. Orang Terengganu, seratus perahu yang sudah sedia. Dan orang Terengganu pun pergilah, dan segala saudaranya pergi melanggar. Setelah sampailah, lalu berperang Terengganu dan Kelantan. Banyak orang Terengganu mati. Maka lalu memberi surat kepada Yamtuan Terengganu, mengatakan hal segala hulubalang sudah mati, Wan Din. Dan kepada waktu itu, Tengku Abdullah berselisih dengan Dipertuan, sebabnya, Tengku Daud dimentak Tengku Abdullah. Semua saudaranya muafakat dengan Tengku Abdullah. Dan yang bersama dengan baginda hanyalah Tengku Musa. Maka Tengku Abdullah mentak Tengku Daud, hendak dibunuh, kerana fitnah orang, sumbang dengan Tengku Saliah. Akan Tengku Saliah, diracun oleh Tengku Enid.

Adalah Tengku Daud itu, belum baligh, titah baginda, “Jikalau sudah patut kepada hukum syarak, kita boleh bunuh.” Dan Tengku Abdullah mentak juga, oleh sebab Tengku Saliah sudah mati. Dan kata baginda, “Bukannya Tengku Saliah itu matinya kita kujut. Ia mati / muntahkan darah; dan itu pun jikalau sudah patut hukum syarak, kita bunuh juga. “Jikalau sudah patut hukum syarak, kita bunuh juga. “Jikalau tuanku tiada mahu membunuh, patik sekalian tiadalah tuanku perhamba.” Dan kata baginda, “Baiklah, kita buang ke Bugis.” Dan Tengku Abdullah tiada mahu. “Dan jikalau tuanku tiada mahu patik pertuan, tiadalah patik menyembah.” Maka baginda pun murka. “Sahaya pun tiada harap kepada Raja Abdullah.” Dan jawab Tengku Abdullah, “Patik pun tiada takut kepada tuanku.” Maka kata baginda, “Raja Abdullah selang tiada takut, jika sahaya pun tiada takut.” Maka samalah marahnya, sama mendekati.

Setelah dilihat Tengku Musa, maka ia pun datang , lalu duduk sama tengah. Ia mengadap kepada Tengku Abdullah, lalu ditunjuknya, katanya, “Perut besar ini berisi tahi sahaja. Jikalau abang hendak bertikam, marilah dengan sahaya; jangan abang melawan Yang Dipertuan, kerana dia kita rajakan.” Maka Tengku Abdullah pun bangun, lalu berjalan kembali. Dan baginda masuk ke dalam istana.

Hatta tersebutlah perkataan Raja Terengganu, hendak berangkat melanggar Kelantan. Maka Yang Dipertuan mendengar Yamtuan Terengganu berangkat itu, maka baginda menyuruh membaiki perahu. Dan tinggal dengan Tengku Abdullah lima belas perahu, hendak keluar dari Terengganu. Dan pergi dengan baginda hanyalah Tengku Musa. Maka Yamtuan Terengganu pun memanggil baginda, lalu bertitah, “Awang, datuk bawa bersama-sama.” / Sembah baginda, “Baiklah, patik mengiring.” Maka Yamtuan Terengganu pun berangkatlah pergi, diiringkan anakanda baginda. Setelah sampailah di Kelantan, lalu masuk, dan titah baginda, “Hari esok kita melanggar, dan Awanglah kita harap menjadi kepala perang.” Maka kata baginda, “Baiklah tuanku.”

Setelah hari esok, maka baginda pun berangkat dengan adinda Tengku Musa, lalu naik gajah. Dan orang Terengganu naik tiga ribu. Serta sampai di tengah jalan, sudah dekat dengan kubu, maka orang Kelantan pun menyongsong. Maka bertemu ditengah jalan, dan sama bertikamkan lembing, lalu berperang. Dan orang Terengganu pun undurlah. Maka baginda pun menyuruh marakan gajah. Serta bertemu dengan musuh, lalu berperang. Maka baginda menyuruh orang Terengganu bertahan. Dan segala orang Siak pun disuruh baginda mara, beramuk. Dan pemburas orang Siak pun berbunyilah. Dan orang Terengganu tiada mahu mara. Dan orang Kelantan pun undurlah. Maka baginda pun bertahan.

Maka hari pun petanglah. Maka baginda pun kembali mengadap Yamtuan Terengganu, dan sembah baginda, “Orang Terengganu ini tiada melawan orang.” Dan sembah baginda, “Kepada hari esok, jikalau tiada patik mati, Kelantan dapat. Patik mintak, pagi-pagi hari, orang Terengganu melanggar dahulu. Dan barang bila tiada dapat kubu itu, barulah orang Siak melanggar.” Maka kata Yamtuan Terengganu, “Mana baik kepada Awanglah.”

Setelah kepada hari, maka orang / Terengganu pun melanggar kubunya, tengah tiga puluh; yang besarnya satu. Dan serta datang orang Terengganu dipanggilnya oleh orang Kelantan, “Datanglah mari, sudah jodo(h) orang Kelantan!” Dan lima ribu orang Terengganu datang melanggar, tiada boleh dekat. Maka orang Terengganu pun hundurlah. Dan baginda hendak berangkat, maka tiada diberi oleh Tengku Musa. “Sebolah-bolehnya patik kerjakan.” Dan titah baginda, “Tiada sahaya mahu, bercakaplah betul.” Dan sembah paduka adinda, “(Jikalau tiada) patik mati, tentulah kubu orang Kelantan dapat oleh patik.”

Maka baharulah baginda tersenyum, “Dan tuanku langkahkanlah patik ini.” Dan baginda pun sembahyang zohor. Dan serta baginda sudah membaca doa, maka baginda bertitah, “Sahaya serahkanlah kepada Allah subhanahu wa taala akan diri berjalan.” Dan Tengku Musa pun menyembah baginda, lalu berangkat. Dan orang-orang yang baik-baik, dua belas orang yang mengikut baginda semuanya. Ada tengah dua ratus pemuras, dengan perisai dan tombak benderang. Baginda pun dekatlah kubu besarnya. Dan Tengku Musa selawat, lalu baginda menempuh sahaja, tiada peduli akan bedil orang Kelantan.

Dan orang Kelantan pun memaki, “Dan orang Siak, jangan masuk akan orang Terengganu.” / Dan orang Siak tiada dimakan besi. Dan dilihat orang Kelantan, orang Siak tiada perduli akan bedil dan tombak; masih juga datang, dan tiada dilihat mati. Maka kata orang Kelantan, “Orang Siak puki mak, amput mak, membedil hantu bukannya orang.” Dan orang Siak sampai di kaki kubu. Maka baharulah dibedil dengan pemuras. Dan berteriaklah orang Siak, mengatakan, “Amuk!” Maka orang Kelantan pun lari. Dan serta dapat kubu itu, maka titah Tengku Musa, “Tinggalkan kubu ini dan kita ikut.” Maka semua orang Siak pun mengejarlah semuanya, dengan dibedilnya. Maka orang Kelantan pun larilah semua, dan kubu semuanya dapat. Maka Tengku Musa pun kembali mengadap baginda.
Maka Yang Dipertuan pun menyuruh memberitahu Yamtuan Terengganu, mengatakan sudah alah Kelantan. Dan segala orang Siak pun merampas. Berapa banyak rampasan tombak, dan dipintak Yamtuan Terengganu. Maka disembah Terengganu menyuruh memanggil Raja Kelantan. Maka Raja Kelantan pun datang mengadap. Maka dipulangkan lagi menjadi raja, bersumpah, dan Yamtuan Terengganu pun bersumpah.

Dan Yang Dipertuan Siak menyuruh perahu ke Siam, mengambil orang Siam lapar, banyak mati, turun sahaja ke perahu orang. Dan baginda kembali ke Terengganu. Dan tiada berapa lamanya, orang dari Siam pun datang, membawak orang Siam lima ratus, perempuan, lelaki. Maka baginda / pun menyuruh Panglima Tuha ke Palembang, membawa orang Siam tengah dua ratus, persembah kepada Sultan Palembang, dan kepada Pangeran Ratu, dan kepada segala menteri. Maka Panglima Tuha berlayar ke Palembang. Serta sampai, lalu masuk mendapatkan Kerangkah Jelusin, menyampaikan surat baginda. Dan lalu Kerangkah Jelusin membawak Panglima Tuha mengadap Sultan, persembah surat.

Setelah sultan melihat surat itu, maka sultan pun tersenyum, lalu baginda bertanya kepada Panglima Tuha. Maka sembah Panglima Tuha, “Akan paduka anakanda, sudah beristeri di Terengganu.” Maka titah sultan, “Apakah buah tangan anak kita itu kepada isterinya?” Maka sembah Panglima Tuha, “Lebih-lebih maklumlah tuanku atas adanya akan paduka anakanda itu, miskin.” Dan jawab sultan, “Tiada anak kita miskin di dalam Palembang. Ini negeri anak kita, taidalah anak kita boleh malu.” Dan Panglima Tuha pun bermohon kembali. Dan titah sultan kepada segala menteri, di suruh berkirim semuanya. Dan Sultan Palembang berkirim cucuk sanggul intan, rial sepuluh ribu, buat belanja beristeri. Dan segala menteri, semuanya berkirim. Ada cincin intan, ada subang intan, masing-masing atas mengatas. Dan Panglima Tuha dipersalin selengkap pakaian hulubalang, dengan kerisnya. Setelah sudah, lalu Panglima Tuha menjujung duli, lalu turun ke perahu, hilir, lalu berlayar. Tiada berapa lamanya, maka sampailah / di Terengganu, mengadap baginda, persembah akan surat. Maka dibaca baginda surat; kiriman diambil baginda, adanya.

Hatta, ada satu tahun lamanya, maka Sultan Palembang menyuruh satu perahu kici, membawa timah ke Terengganu. Itu kici diwakilkan kepada Yang Dipertuan Siak. Serta sampai itu kici, maka diambil baginda, semuanya seribu pikul. Dan perahu itu disuruh kembali, membawak surat mengatakan, “Paduka anakanda mengambil, berutang, kerana anakanda kurang berbelanja.” Dan serta sampai di Palembang, mengadap sultan. Setelah dibaca surat daripada Yang Dipertuan Siak, maka sultan pun tertawa, “Sahaja kita menghantar anak kita akan belanjanya diam di Terengganu, jangan dia malu.”

Hatta, maka Tengku Abdullah hendak belayar. Tengku Abdul Rahman tiada mahu pergi. Dan baginda pun memberi segala saudaranya, dua ratus satu orang, dan Tengku Musa lima ratus, dan Tengku Abdullah lima ratus. Maka Tengku Abdullah pun datang mengadap. Dan isteri baginda, Tengku Enid, hamil. Setelah sampai bulannya, maka Tengku Enid berputera seorang perempuan, dinamakan Tengku Jenab. Dan Tengku Musa beristeri akan Tengku Embung Maimunah.   

Hatta tersebutlah perkataan Raja Kelantan, kembali lagi dia melawan. Dan dipersembahkan kepada Yamtuan Terengganu. Maka Yamtuan pun murkalah, menyuruh bersiap perahu dan menyuruh memanggil paduka anakanda / Yang Dipertuan Siak. Maka baginda pun datang mengadap paduka ayahanda. Kata Yamtuan Terengganu, “Orang Kelantan sudah melawan pula, ayahanda hendak pergi di Kelantan, melanggar. Anakanda pergi bersama-sama.” Maka sembah baginda, “Baiklah, tuanku.” Maka baginda pun menyuruh bersiap perahu. Akan adinda baginda, semuanya pergi. Maka Yamtuan Terenggan pun berangkat, diiringkan baginda.

Setelah sampailah di Kelantan dan orang Kelantan pun sudah siap kubu. Dan serta mudik perahu Terengganu, maka dibedilnya orang Kelantan. Maka Yang Dipertuan menyuruhlah mara  orang Siak, melanggar kota Kelantan. Dan penjajap orang Siak pun mudik, melanggar. Dan tiada berapa lamanya berperang, dan kota Kelantan pun dapat, dan rajanya lari. Dan Yamtuan Terengganu pun masuk kota Kelantan. Dan baginda tinggal di perahu. Dan tiada berapa hari, Raja Kelantan pun mengamuk kota, dan Yamtuan Terengganu pun turun ke perahu. Dan kota pun dapat oleh Raja Kelantan. Meriam di kota dibedilkannya ke perahu penjajap. Maka penjajap orang Terengganu pun undurlah.

Maka baginda pun murka, memaki orang Terengganu. Baginda pun bertitah kepada adinda Tengku Musa; menyuruh melanggar. Maka Tengku Musa mudik bersampan; lalu naik ke darat, mengambil rumah orang tinggal, dekat kota, lalu dinaik akan lela, dibedilnya. Maka penjajap Siak pun melanggar; semuanya memasang / meriam. Setelah sampai di jambatan, maka segala panglima berlompatan. Tengku Abdullah dengan segala saudaranya menjadi kepala amuk. Bunyi pemuras seperti bertih. Maka dikepunglah kota Kelantan. Maka Raja Kelantan pun lari dari sebelah darat kota, lalu ke hutan dengan segala orangnya. Maka Kota Kelantan dapat kembali. Dan Yamtuan Terengganu menyuruh anakanda menjadi raja, Tengku Muhammad, menjadi Yamtuan Kelantan. Maka Raja Terengganu kembali, baginda sama-sama mengiringkan.

Hatta, maka tiada berapa lamanya, datang penyuruh sultan Palembang, menyuruh perahu pokta membawa timah ke Terengganu, diwakili akan paduka anakanda, Yang Timah itu seribu pikul. Dan diberi surat, “Paduka anakanda Siak,” Dan perahu Palembang pun kembali. Serta sampai, dipersembahkan surat dari Yang Dipertuan Siak. Sudah dibaca, baginda pun tersenyum. Titah Sultan Palembang, “Sahaja dia yang punya.”

----------------xxxxx--------------------------------xxxxx----------------

Artikel di atas dipetik daripada Hikayat Siak yang menjelaskan mengenai keadaan dan pemerintahan Kesultanan Siak, dalam hikayat ini terdapat pelbagai catatan yang mengisahkan hubungan Siak dengan Kesultanan di Semenanjung seperti di Johor dan Terengganu. Namun, apa yang perlu kita perhatikan adalah mengenai peperangan antara Kelantan dan Terengganu.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...