SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday 21 November 2013

Perang Kota Kubang Labu 1

Pendahuluan

Perang Kota Kubang Labu ini berlaku sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1758 dan 1762. Konflik yang berlaku ini berlaku kerana faktor politik yang bermula sedari awal dari pentadbiran Kota Jembal lagi. Kisah Kota Jembal kita akan kisahkan pada posting yang lain. Apa yang kita ingin soroti pada kali ini adalah mengenai Perang Kota Labu itu sendiri. Sebelum kita lanjutkan, marilah kita lihat tentang penubuhan Kota Kubang Labu itu dahulu.

Kota Kubang Labu

Kota ini dibuka oleh Tuan Besar Long Bahar iaitu seorang kerabat DiRaja Patani lebih kurang dalam tahun 1717. Beliau mempunyai beberapa orang saudara iaitu Tuan Solong Kelantan (Long Sulong), Tuan Senik Genting (Long senik) dan Datuk Pasir Petani. Di Patani, Tuan Besar Long Bahar merupakan Suami dan Raja dan juga ayahanda kepada Raja Patani. Keterangan lanjut di pautan ini.

Tuan Besar Long Bahar telah membawa diri ke Kelantan bersama puteranya Long Sulaiman. Ketika di Kelantan, beliau telah berkahwin dengan Raja Pah, puteri Sultan Umar yang memerintah di Kota Jembal. Selepas perkahwinan itu, beliau telah membuka Kota Kubang Labu sebagai tempat tinggal mereka.

Setelah Sultan Umar mangkat, putera Sulung baginda yang bernama, Raja Kecil Sulong yang sedang memerintah di Kota Teras tidak mahu mengambil alih tampuk pemerintahan Kota Jembal. Dengan persetujuan Raja Kecil Sulong, tempat Sultan Umar telah digantikan oleh Tuan Besar Long Bahar yang juga adik ipar beliau. Setelah itu, pemerintahan Kota Kubang Labu telah diserahkan kepada Long Sulaiman yang juga anakanda Long Bahar yang di bawa ketika beliau berhijrah ke Kelantan.

Masa terus berlalu dan Kelantan waktu itu menyaksikan muncul beberapa city states atau Negara Kota yang wujud sekitar Kelantan dan tiada seorang raja mutlak memerintah negeri Kelantan waktu itu, dalam sejarah ianya dicatatkan sebagai interragnum.

Long Sulaiman

Long Sulaiman adalah putera kepada Long Bahar dan beliau telah dilantik untuk menjadi pemerintah Kota Kubang Labu setelah Long Bahar menaiki takhta Kota Jembal menggantikan Sultan Umar yang telah mangkat pada 1721. Kemudian pada 1746 Long Sulaiman telah ditabal menjadi Raja Kota Jembal setelah kemangkatan Long Bahar. Ini membuatkan beliau menjadi pemerintah bagi Kota Kubang Labu dan Kota Jembal.

Hal ini telah mengundang perasaan cemburu dan iri hati di kalangan ahli kerabat waktu itu memandangkan di Kelantan waktu itu wujud beberapa negara kota. Akhirnya beliau telah mati dibunuh oleh menantunya Long Deraman pada tahun 1756 di Kota Kubang Labu kerana perebutan kuasa. Beliau telah dimakamkan di Kampung Dusun Langgar, yang kini terletak di Wakaf Bharu, Tumpat.

Long Deraman sebenarnya pewaris Raja Legeh, beliau juga menantu kepada Long Sulaiman dan telah membunuh baginda dalam satu perebutan kuasa. Setelah kejadian itu, Long Deraman telah kembali ke Legeh dan menyerahkan kuasa pemerintahan Kota Kubang Labu kepada iparnya Long Pandak (Putera Long Sulong Kelantan) yang juga sepupu kepada Long Sulaiman.

Tercetusnya Perang
Long Pandak,  adalah sepupu kepada Long Sulaiman di sebelah bapa (Long Bahar) yang berasal dari Patani. Long Deraman telah menyerahkan tampuk pemerintahan Kota Kubang Labu kepada beliau pada 1756. Setelah itu, beliau melantik adiknya, iaitu Long Muhammad sebagai Raja Muda.

Pemerintahan Long Pandak ibarat pemerintahan kuku besi dan penuh dengan kezaliman, hingga pada satu saat, isteri beliau sendiri sanggup dibunuh gara-gara fitnah. Pembunuhan ini adalah punca Kota Kubang Labu menghadapi perang dari Reman dan Legeh.

Semuanya bermula dengan Kain Cindai : Chepa Melaka.

Tengku Ngah atau juga dikenali sebagai Puteri Neng Mas adalah adik kepada Long Deraman, Raja Legeh yang telah diperisterikan oleh Long Pandak. Tengku Ngah ini adalah adik angkat dan juga sepupu kepada Long Ghafar, Putera Raja Reman.

Long Ghafar telah diberi amanat oleh ayahandanya untuk melawat Terengganu. Lalu beliau telah bertolak bersama-sama Long Yunus. Dalam perjalanan ke Terengganu, beliau telah singgah di Kota Kubang Labu untuk melawat Puteri Neng Mas. Kebetulan, ketika beliau sampai di Kota Kubang Labu, Long Pandak tiada di istana kerana keluar berburu.

Menjadi amalan pahlawan zaman silam memakai Kain Cindai sebagai perisai dan kain ini ditenun dengan corak yang menarik. Dalam peristiwa ini, Puteri Neng Mas, telah tertarik dengan corak kain cindai yang dipakai oleh Long Ghafar, lantas puteri Neng Mas telah meminta untuk untuk meminjam kain tersebut untuk ditiru coraknya. Long Ghafar telah memberikan kain tersebut dengan disaksikan oleh Long Yunus. Menjadi kisah, apabila Long Ghafar meninggalkan kain tersebut dengan sepupunya itu dan telah bertolak ke Terengganu sebagaimana titah ayahandanya.

Sekembalinya Long Pandak dari perburuan, beliau telah menemui Kain Cindai Chepa Melaka yang ditinggalkan oleh Long Ghafar dan telah menuduh Puteri Neng Mas bermukah (zina) dengan Long Ghafar. Tanpa usul periksa, Long Pandak telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap isterinya itu. Tidak cukup dengan itu, mayat Puteri Neng Mas telah dibelah perutnya dan diikat dibelakang Neng Malai, seekor gajah yang dihadiahkan Raja Legeh (Long Deraman).

Raja Reman dan Raja Legeh murka terhadap apa yang dilakukan oleh Long Pandak dan mereka menghantar bala tentera yang diketuai oleh Long Gaffar untuk menuntut bela dan berlakulah peperangan di Kota Kubang Labu. Peperangan ini menyaksikan Long Deraman, Raja Legeh telah membunuh Long Pandak dan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Long Muhammad adik Long Pandak yang juga waktu itu adalah Raja Muda Kota Kubang Labu.

Long Ghafar dan Long Yunus kembali semula ke Terengganu selepas peristiwa itu.

Deskripsi Kota Kubang Labu

Ketika Kota Kubang Labu dibina oleh Long Bahar ia digambarkan sebagai sebuah kota yang dibina di kawasan datar dan luas. Kotanya dibina dari kayu keras dipercayai kayu jati atau cengal, ia dibina dengan cantik dan kemas. Ia juga dibina dengan tiga lapis dinding dan tahan daripada serangan musuh. Ibarat kata seperti tinggi dan kebal. Mempunyai 5 pintu utama yang dibina sepanjang kota tersebut. Pintu Utamanya adalah dipercayai  dilokasi roundabout Wakaf Bharu kini. Anker Rentse adalah pengkaji sejarah yang pertama muncul mencungkil sejarah Kota Kubang Labu. Kemudian disertai oleh beberapa sejarawan seperti Allahyarham Dato Adi Taha dan Allahyarham Nasir Abdul Halim.

Ikuti posting seterusnya mengenai Perang Kota Labu 2.

Sumber :

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...